Wednesday, September 16, 2026

Amaran penggera

Pagi tadi 15 September 2026 jam 4.30 pagi pertama kali saya dapat amaran penggera dari telefon saya. Bunyinya kuat sama seperti bunyi siren ambulans/bomba di tengah jalan.

Terkejut lantas saya capai telefon membaca mesej yang di hantar oleh Civil Defense Saudi.


Kebetulan malam tadi saya tidur awal seusai Isyak, saya lupa untuk setkan alarm untuk bangun. Dan waktu ini adalah waktu yang sama saya set alarm selalunya memandangkan subuh pada waktu sekarang adalah sebelum jam 5 pagi.

Hasbunallah wa nik mal wakeel..

Selang dalam 15 minit kemudian keluar satu lagi mesej.


Alhamdulillah.

Aktiviti harian sambung seperti biasa. 
Sehinggalah amaran yang sama kali ke pada kira-kira jam 12.18pm. Waktu itu saya di pejabat. Kali ini meliputi kawasan Mekah, info dari sahabat2 di Mekah menerusi WA komuniti Malaysia di sini. Berbanding pagi tadi, 4 kawasan yang menerima amaran, Ta'if, Yanbu, Jeddah dan Abha.

Semalam di berita memberitahu bahawa puak militan Houthi di Yemen telah menguasai perairan Laut merah.
Konflik di antara militan Houthi dengan negara ini yang sudah terlalu lama dan kompleks masih belum berkesudahan, sudah semakin berpanjangan sehingga membawa kepada konflik serantau yang semakin serius.

Semoga kita semua dijauhkan dari fitnah dunia dan fitnah Dajjal, dilindungi Allah swt dari mara bahaya dunia dan akhirat, Ameen.


Thursday, August 27, 2026

Salman Al-Farisi

Kelmarin dengar Youtube kuliah Ustaz Azlan Shah, sirah impak sosial.

Sudah beberapa kali saya mendengarnya, tidak jemu-jemu.  Topik yang dikupas juga menarik, sangat dekat dengan realiti pada masa sekarang.

Bahasa yang digunakannya ringkas, cara penyampaiannya jelas, tonenya tenang.

Ada beberapa asatizah yang saya gemar untuk mendengar kuliahnya, cara penyampaiannya kena dengan jiwa. Tetapi ada juga beberapa asatizah yang saya sedar semakin lama tone suara dan penyampaiannya semakin lebih kepada bebelan, tone semakin nyaring..Mungkin juga faktor usia, kalau dahulu dengar suara ustaz/ustazah yang tonenya mendatar, monotonous, kita akan mudah mengantuk. Tapi sekarang, yang sebegitulah pilihannya, pada saya lebih tenang, lebih fokus, dan lebih sampai ke hati.

Apa-apapun, masing-masing punya cara penyampaian tersendiri, kadang kala sesuai dengan topiknya.

Kuliah kali ini berkaitan dengan Surah Al-Maun.

Antara points penting dalam kuliah ustaz Azlan adalah tentang membezakan agama dan agamawan. Sangat dekat dengan keadaan sekarang. Kita selalu lupa bahawa dalam apa jua keadaan yang bercanggah dengan agama, sekalipun perkara tersebut di buat oleh agamawan, atau seseorang berpakaian seperti agamawan (semoga kita semua terhindar dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah), maka kesalahannya adalah pada agamawan, dan bukan pada agama. Kerana perlu diingat bahawa agamawan adalah manusia dan tidak ada manusia di dunia ini yang terkecuali dari melakukan dosa.

Maka kita sebagai manusia biasa, haruslah berhati-hati dalam menjaga hati kita, akidah kita, mencari ilmu mengikut jalan yang benar dan sentiasa berdoa agar kita dilorongkan melalui jalan yang lurus. 

اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمَ

Surah AlFatihah, ayat 6 : Tunjukilah kami jalan yang lurus

Ambil teladan dari kisah Salman Al-Farisi, dengan kegigihannya mencari tauhid.

Berasal dari Parsi, Salman Al-Farisi datang dari keluarga yang agak berada. Ayahnya agamawan, menganut agama majusi. Malah ayahnya rapat dengan ketua negara dan sedang dalam proses merangka strategi negara tersebut. Ayah Salman Al-Farisi mempunyai banyak kebun dan harta, dan Salman sendiri jarang dibenarkan keluar dari rumah oleh ayahnya dengan niat supaya Salman tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran lain di luar.

Ceritanya apabila Salman dikehendaki oleh ayahnya untuk keluar mengambil barang dan sewaktu itulah Salman terjumpa kumpulan kecil ahli Nasrani (Kristian) yang masih di dalam susur galur yang benar dan dia tertarik untuk mendalami agama tersebut. 

Salman Al-Farisi kemudian pulang dan menceritakan apa yang dijumpainya kepada ayahnya dan beritahu betapa dia percaya akan agama tersebut. Salman Al-Farisi kemudian berusaha mencari dan menuntut ilmu dengan guru-guru yang tepat dari Parsi, kemudian ke Turki dan kemudian kembali ke Parsi sebelum akhirnya berjumpa dengan Rasulullah saw di kota Madinah. Guru terakhir Salman Al-Farisi yang memberi gambaran tentang Rasulullah saw memberitahu 3 perkara tentang Nabi saw. Pertama, apabila diberikan tamar kepadanya dan menyatakan bahawa ianya adalah sedekah, Baginda tidak akan makan. Kedua, apabila diberikan tamar kepada Baginda dan menyatakan bahawa ianya adalah hadiah, Baginda akan makan. Dan yang ketiga, tanda di belakang badan Nabi sebagai bukti bahawa Baginda adalah Rasulullah saw.

Perjalanan sebelum Salman Al-Farisi berjumpa dengan Rasulullah saw, Salman telah menjadi hamba sebanyak 13 kali, di jual dan di beli, subhanallah. Dari seorang yang berada di kalangan orang yang senang, Salman  memilih jalan yang tidak mudah untuk mencari tauhid yang sebenar-benarnya. Dan di antara perjalanan itu juga dia pernah terjumpa dengan agamawan yang melakukan perkara yang mungkar, dan dia tetap tidak berputus asa.

Semoga menjadi tauladan buat kita semua, agar terus berusaha mencari ilmu dan berdoa agar ditetapkan hati dan iman kita dan dilorongkan ke jalan yang lurus, Ameen.


Ayah

Ayah mengajarkanku erti bebas.

Bebas itu bukan bermakna tanpa batas.

Tetapi bebas dari perasaan takut untuk mengembara dan mencuba sesuatu yang baru.

Jangan takut mencuba, kerana tanpa cuba, kita tidak akan tahu. Sifat ingin tahu akan mengerakkan akal dan membesarkan hati dan jiwa.

Cuba dan buatlah benda baru, biarlah kecil pun. Kita tak tahu sejauh mana potensi diri kita. Kekuatan kita. Kerana dengan cuba, kita akan belajar erti berani, dan berdaya tahan.

Al-fatihah buat ayah. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa ayah, terimalah amal ibadah dan kebaikannya, lapangkan kuburnya, jadikanlah kuburnya taman-taman syurga dan letakkanlah dia di kalangan para solehin..Amin.

Ha rindu ayah selalu.