Dari airport, kami terus check-in apartment berdekatan dengan Bascarsija-old town Sarajevo. Tempat tumpuan pelancong. Hujan sepanjang hari, sama seperti ramalan cuaca.
Selepas check-in, kami berjalan sekitar Bascarsija untuk alas perut. Sudah tentu kami teruja untuk cuba makanan tempatan yang famous, Burek dan Cevapi.
Saya makan Cevapi, manakala anak saya makan doner kebab. Berbanding doner yang dagingnya dihiris nipis, Cevapi atau Cevapcici adalah daging yang dikepal dan dibentukkan seperti hot dog kecil, di makan bersama roti lembut yang berongga dan berpoket. Jika di tempat lain, kebab dihidangkan dengan roti pita yang rotinya agak nipis dan teksturnya agak padat. Cevapi dihidangkan dengan bawang Holland yang dicincang bagi menambah kemanisan dan ada di sesetengah tempat, dihidangkan dengan cili. Dagingnya juicy, dan manis, cukup lengkap, sedap dan mengenyangkan.

Kami kemudian ke pejabat Meet Bosnia Travel, kami telah mendaftar pakej Sarajevo Free Walking Tour - untuk mengikuti tour di sepanjang kawasan bersejarah di Bascarsija. Yang menariknya, syarikat ini tidak meletakkan sebarang harga, pelancong hanya perlu membayar tips dan pada saya ini adalah tawaran yang sangat menarik, bukan kerana ianya percuma, tetapi kerana 'harga' sebuah pengalaman dan ilmu yang tidak ternilai, diletakkan harganya pada penerima perkhidmatan sebagai tanda penghargaan.
Tour guide kami adalah seorang wanita warga tempatan, berumur sekitar 50an dan membesar di Bosnia. Atuk dan neneknya merupakan 'survivor' dan saksi sewaktu Perang Dunia Pertama dan Kedua, dan dia menginap di kawasan sekitar sahaja. Dari awalnya dia sudah beritahu kami, anggaran tour ni akan mengambil masa lebih kurang 2 jam. Tetapi kemungkinan besar lebih dari itu kerana terlalu banyak perkara yang ingin dikongsi.
Hujan membasahi Bascarjica, Sarajevo.
Perjalanan kami agak perlahan dengan keadaan hujan sederhana lebat tanpa henti. Banyak tempat-tempat bersejarah di sekitar Bascarjica yang dibawa olehnya. Kumpulan kami kira-kira 8 orang, terdiri dari pelbagai warganegara. Ada dari Greece, US, Itali dan sebagainya. Kebanyakannya adalah di kalangan generasi muda, yang berminat dengan sejarah.
Di atas ini adalah bahagian luar Perpustakaan (Biblioteka) Gazi Husrev-beg. Perpustakaan ni dibina pada tahun 1537, menempatkan pelbagai jenis manuskrip Islam dari segenap negara - Arab, Turki, Parsi. Ianya musnah sewaktu Perang Bosnia pada 1992 dan kemudian dibina semula pada tahun 2014 dengan sumbangan besar dari Qatar dan dibahagikan kepada bahagian perpustakaan yang moden dinamakan sebagai National and University Library (Vijecnica).

Di bawah ini pula adalah Gazi- Husrev-beg Mosque. Masjid yang dibina pada abad ke-16. Reka bentuk seni binanya sama seperti masjid-masjid di Turkiye, dengan bentuk kubah (dome) separa bulat, lambang pemerintahan empayar Ottoman di Bosnia dari pertengahan kurun ke-14 hingga kurun ke-18. Masjid ni adalah masjid terbesar di Bosnia dan Herzegovina, tempat berkumpulnya umat Islam di kawasan sekitar melaksanakan ibadah bukan hanya semata-mata solat, tetapi tempat mereka melaksanakan pelbagai aktiviti. Berdekatan ini juga dibina madrasah utk melahirkan generasi ilmuwan dalam pelbagai bidang - astronomi, sains, matematik.
Kami juga di bawa ke kedai-kedai peniaga kecil menjual hasil kraf yang diperbuat dari tembaga, dan kedai menjual manisan-manisan tempatan.
Juga ke kedai makan kebiasaan warga tempatan, sama seperti di Malaysia, kedai makanan berlauk, kami diperkenalkan dengan pelbagai jenis lauk-lauk yang agak common bagi warga tempatan seperti bendi kecil yang di masak berkuah, sayuran, daging dan ayam dan pelbagai jenis masakan.
Pada awal tour, saya berasakan informasi yang dikongsi oleh guide kami pada saya agak 'berat'. Kerana Bosnia sendiri sarat dengan sejarah, latar belakang negara yang unik serta memerlukan pemahaman susur galur politik dan pembentukan negara itu sendiri. Terlalu banyak untuk dihadamkan dalam tempoh yang pendek. Salah saya kerana tidak sempat untuk buat 'homework' sebelum ke sini, menjadikan saya agak lost pada awalnya.
Yugoslavia, negara yang tidak lagi wujud. Yugoslavia dipecahkan kepada 7 negara kecil - Slovenia, Croatia, Montenegro, Kosovo, Bosnia dan Herzegovina, Serbia, dan North Macedonia. Pada masa kini, Slovenia dan Croatia adalah ahli EU manakala yang lain sedang dalam proses negosiasi.
Bosnia, negara kecil dengan populasi hanya 3 juta, terdiri daripada 51% Islam, 30% Christian Orthodox dan 15% Catholic, menjadikannya sebagai negara kecil yang pelbagai dan rumit dari pelbagai segi. Di sini ada masjid, church, sinagog, semuanya berdekatan. Dan dari mana lahirnya penduduk Islam Bosnia? Sewaktu penjajahan Ottoman 1463-1902.
Pada waktu penjajahan Ottoman, rakyat digalakkan untuk memganut agama Islam. Penduduk Islam dikecualikan dari membayar cukai, tetapi diwajibkan untuk pergi untuk berperang. Manakala bagi yang tidak memilih Islam tidak diwajibkan pergi berperang tetapi diwajibkan membayar cukai.