Monday, December 23, 2024

Tanzania

Jumaat lepas 20 Disember sewaktu menunggu waktu solat Jumaat, saya direzekikan duduk di sebelah 2 kanak-kanak kecil perempuan, datang bersama ibu dan makciknya.

Sementara menunggu, mereka kadang kala bergilir membuat hafazan dengan ibunya.

Perbualan mereka dalam bahasa Inggeris, lalu saya mengambil kesempatan bertanya pada si anak yang kecil, mereka dari mana?

Dengan semangatnya kedua-dua anak kecil ini menjawab, "from Tanzania".

Subhanallah, pertama kali saya jumpa dengan orang berasal dari Tanzania.

Saya bertanya lagi, "how long does it takes for you to come here?"

kali ni, si kakak pula menjawab, "2 days. We travelled from Tanzania then to Cairo we stay for 1 day then we come here".

Kami berbual pendek. bertanyakan umur, dan hafazan Al-Quran. Gembira melihat anak-anak dibawa bersama membuat ibadah, subhanallah.

Saya kemudian meminta kebenaran ibunya jika boleh saya rakamkan gambar sebagai kenang-kenangan.



Semoga kedua anak ini dan generasi umat Islam akan datang membesar menjadi anak soleh, berjiwa besar, kuat dan hebat.Amin..

Cuaca mendung dan berangin sejuk nyaman pada hari ini. Sesak seperti biasa, tetapi nyaman dengan cuaca yang mendung.



Seusai kami meredah lautan manusia dan tiba ke kereta untuk mencari tempat makan, hujan pun turun membasahi bumi.

Allahumma soyyiban nafi'an.

Semoga Allah ampunkan dosa kita semua dan terima doa dan amal kita semua.



Friday, November 29, 2024

Turkiye

 


Gambar ini keluar di facebook saya kelmarin.
Memori kali pertama saya menjejakkan kaki ke bumi Turki. Tahun 2021. Ketika ini saya berkhidmat di MITI, dan ke sini atas urusan negosiasi FTA Free Trade Agreement -  Perjanjian Perdagangan Bebas di antara Malaysia dan Turki.

Mashaa Allah. Sesungguhnya tidak ada yang memungkinkan semua ini berlaku jika bukan dengan kehendak Allah swt.

Hari ini, dan sekarang ini saya di dalam perut kapal terbang dari Istanbul untuk pulang ke Jeddah, tempat yang sama Allah rezekikan saya 3 tahun yang lepas. Dan siapa tahu, ini adalah kali ke-8 ziarah saya ke sini sejak dari itu, subhanallah.

Allah المهيمن Al Muhaymin - Yang Maha Mengatur, القادير Yang Maha Menentukan.

Kecilnya kita hamba Allah, tiada daya kecuali dengan ketentuanNya.

Setiap langkah, tempat dan waktu kita semuanya di bawah kuasa Allah swt.

Minggu ini Allah rezekikan saya menghadiri World Halal Summit di Istanbul, mewakili organisasi saya. Bercakap di hadapan ratusan/ribuan manusia sesungguhnya bukanlah forte saya. Apatah lagi dihadiri oleh menteri-menteri besar dari serata negara. Tidak terbendung rasanya darah gemuruh saya.

Saya cuba. Allah ada. Semoga sedikit pengalaman ini memberi pengajaran dan peluang kepada saya, in shaa Allah.




SV 256, Istanbul ke Jeddah, 28 Nov 2024. 





Sunday, November 24, 2024

Qalb - the feather that keeps flying

I love the fact that as you are getting older, the circle of friends is getting smaller.

It is indirectly allow us to increase our dependency towards Him the AlMighty, and reduce the sense of belonging towards His creatures.

Training our Qalb (the heart in Arabic), as it is volatile by nature. There is a hadith that explained in details about this and I wish to share this beautiful reminder for self. Im pretty sure I will not get bored in rereading this in future.

"Qalb, is what keeps turning and changing. It points to an intense volatility. The heart continuously moves from one emotion to another, from one intent to its opposite in the span of minutes or even seconds, and this taqallub (fluctuation) demonstrates how unpredictable and weak our hearts are.

The example that the Prophet Muhammad saw gave of this is a feather carried by wind in an empty, flat land. The wind blows its hardest in an empty space. As the wind blows, the feather is helplessly tossed in theair, turning from one side to the other, carried from one place to the other. Like the light feather, the heart is also vulnerable organ that is unstable and is easily susceptible to outside influences. As the feather keeps flying and turning, so does the heart fly between different emotions, thoughts and intentions."

"The heart of the child of Adam is more volatile and quicker to change than the completely boiling pot" 

Welcoming 40 years of life in this dunya, full of blessings..and mixed of emotions..


Friday, November 22, 2024

Pusat Tuisyen Mewah

 Awal Oktober lepas, terima Whatsapp message dari seorang sahabat saya, Jasril.

katanya mahu video call. Ada perkara mahu diceritakan katanya.

Saya pun beritahu pada suami, mesti ada perkara baik yang nak disampaikan ni.

Setelah set pada hari minggu, kami pun berhubung.

Khabar gembira, Jasril dan seorang sahabat kami An akan datang untuk melaksanakan umrah.

Gembiranya kami.

Dan dengan izin Allah, kami bertemu di Madinah, kerana pada tempoh mereka ke Mekah untuk menunaikan umrah, saya akan ke Turki.

Kedua-dua sahabat ini saya kenal sejak sekolah menengah.

Walaupun saya bersekolah hanya perempuan dan mereka sekolah lelaki, perkenalan kami bermula di tempat tuisyen berdekatan dengan rumah saya.

Sudah hampir lebih kurang 25 tahun persahabatan ni, alhamdulillah.

Sahabat yang tidaklah sentiasa ada, tetapi apabila berjumpa dan berhubung, terasa ikhlasnya.

Teringat dulu suatu hari, Jasril menelefon saya untuk memberitahu bahawa An akan berkahwin. Katanya yang saya tak akan lupa,

"Ko tau tak apa perasaannya bila kawan baik ko nak kahwin?"

Saya pun tanya, apa dia?

"Macam kena rompak".

Tergelak besar saya. Dapat rasa sayu di hatinya. Gembira tetapi sayu.

Sahabat baik dan rapat. Mereka pada saya masing-masing mempunyai karakter yang unik, kontra dan kerana kedua-dua faktor inilah mereka boleh menjadi sahabat baik. I have never tell them that I am always amazed by their strong friendship, tolerance and support towards each other until now.

Semoga ukhwah ini berterusan hingga ke syurga, Amin.

Gambar di bawah adalah sewaktu penemuan kami di Madinah bulan lepas. Selesai Isyak, kami ke Shariq Qurban, kira-kira 5-10 minit memandu dari Masjid Nabawi.

Saya sekeluarga pernah ke sini tahun lepas, tapi ini kali pertama kami makan nasi Arab kambing di sini.

Tempat ini dikenali dengan Samak = Ikan, juga nasi arab kambing. Pada yang ingin cuba makan kepala/pipi kambing, boleh datang ke sini. Bukan rezeki kami untuk mencuba pada waktu ini kerana menu tersebut dah sold out.

Mashaa Allah, 5 bintang saya bagi!



Makanan yang sedap, bersama keluarga dan sahabat-sahabat yang baik, Alhamdulillah!

Wednesday, November 20, 2024

Makkah 15 November 2024

Hari minggu lepas ke Makkah.

tempat yang tidak pernah jemu.

Tempat yang apabila kita datang dengan pelbagai emosi dan rasa dan apabila kita tiba, hati menjadi redup dan sayu.

Melihat banjiran manusia yang hadir dengan doa dan harapan.

Menantikan apa kejutan atau 'suprise' yang bakal tiba kali ini.

Membuat diri terasa kecil sekecil-kecilnya, mengingatkan kita kebesaranNya dan kekuasaanNya subhallah.

Perjalanan ke Tanah Haram kali ini tidak dirancang awal.

Anak cuti panjang minggu lepas, tidaklah kami ke mana-mana tempat yang istimewa. Meluangkan masa dengan aktiviti di rumah dan aktiviti rutin dengan jadual seperti biasa.

Bila dilihat pada jadual sekolah sehingga Januari tahun depan, setiap bulan anak soleh ada cuti sekolah.

Bulan ini seminggu fall break, bulan depan long weekend dan exam (yang mana jadual exam hanyalah 3 hari selang sehari,dan pelajar hanya datang pada waktu exam. Boleh pulang awal juga selepas selesai exam), dan seminggu lagi cuti di bulan Januari 2025.

Maka Jumaat lepas kami mengambil masa sendiri, bergerak dari rumah sesudah Subuh. Perjalanan ke Mekah sebelum2 ini kebanyakannya sama ada ke Mekah pada Khamis malam dan bermalam sehari, atau bergerak sebelum Subuh Jumaat, tiba di Haram untuk solat Subuh berjemaah dan pulang pada atau selepas Asar.

Masuk ke kawasan Haram, seperti biasa kami meletakkan kereta di Kuday, tempat khas disediakan untuk para jemaah yang memandu dan ingin ke Masjidil Haram. Ada 2 kemudahan dari Kuday ke masjid, menggunakan bas, ataupun teksi. Bas yang disediakan adalah percuma, jadualnya agak kerap tetapi tidak menentu.

Seperti biasa, pemandu-pemandu teksi dan prebet sapu akan meronda-ronda di kawasan ini, melihat kereta yang masuk ke kawasan parking Kuday, menawarkan perkhidmatan masing2 sambil tawar menawar harga. 

Dari Kuday melalui Ajyad kira-kira 3-5 minit perjalanan menaiki kereta. Setelah sampai, kami mengisi perut dahulu, sebelum masuk ke masjid sementara menunggu waktu solat Jumaat. Perlu cepat untuk mendapat tempat di dalam masjid. 

Selalunya jam 10 pagi sudah dikira agak lewat dan masjid hampir penuh, perlu bersesak-sesak untuk mendapatkan ruang.

Memikirkan keadaan ini, saya tidak boleh lupa pengalaman kali pertama kami ke sini pada waktu seperti ini, hari Jumaat dan berniat utk solat Jumaat di Masjidil Haram, pada tahun lepas. Tidaklah kami sangka jam 10 pagi pada waktu itu panas terik, pertengahan tahun hujung bulan 7, matahari seterik-teriknya dan sudah berkumpul lautan manusia di luar masjid. Pintu masjid telah ditutup oleh polis penjaga. Kami bertiga masih sedaya upaya berusaha merayu pada polis di pintu masuk masjid sedangkan untuk ke pintu itu sahaja harus melepasi lautan manusia. Saya melihat sekeliling di luar, dan terdetik di hati saya betapa kuatnya mental dan fizikal mereka yang sudah duduk di luar masjid ini, hamba Allah yang ingin beribadah. Duduk di bawah terik mentari suhu kira-kira 48C tanpa alas lantai. Semoga Allah beri setinggi-tinggi ganjaran buat mereka dan menjauhkan api neraka dari mendekati kulit mereka, asbab kesabaran mereka amin..Subhanallah wa biham dih subhanallah il adzim..

Setiap kali ke sini penuh dengan kejutan, adakala crowdnya terlalu ramai, adakalanya ok. Ok maksudnya masih ramai, dan boleh nampak laluan kita berbeza dengan terlalu ramai, sekeliling hanya dipenuhi manusia sehingga tidak nampak lantai. Adakala pintu ini ditutup, di sebelah sana dibuka. Waktu lain, boleh masuk melalui pintu kebiasaan kami masuk, tapi perlu ke tingkat atas. Adakala rijal dan nisa' boleh masuk bersekali melalui pintu yg sama, adakalanya harus berpecah dari luar pintu masuk lagi.

Setiap kali itu juga harus memasang beberapa strategi, perlu pantas berfikir dan bergerak, ibaratnya mahu pergi berperang. Jika strategi A tak menjadi, bagaimana plan seterusnya.

Yang pasti, semua orang yang ada di sana, mempunyai misi yang sama. Mahukan ganjaran berganda 100,000 dan sanggup meredah apa sahaja rintangan. Panas dan sesak, mana pasti ada laluan yg mudah bagi merebut ganjaran yang telah Allah janjikan.

Kali ini, saya berpecah dengan suami dan anak sedari luar pintu masjid lagi. Nisa' melalui pintu lain, Rijal di pintu lain. Saya akui saya agak teruja dengan kesesakan ni kadangkalanya kerana saya tidak tahu ke mana saya akan di bawa arus. Kadangkala seperti adrenaline rush, kadang kala rasa tenang melihat sekeliling. Kedua-duanya membuatkan hati saya mudah tersentuh. Agaknya seperti inilah gambaran di padang mahsyar nanti ya. Masing-masing tidak peduli tentang orang lain, hanya diri sendiri untuk mendapat rahmat dan kasih sayang Allah sebanyak-banyaknya. Teruja kerana sentiasa memohon pada Allah agar direzekikan mendapat ruang utk beribadah. Subhanallah.

Arus kali ini membawa saya ke tingkat 1.

Kesesakan sementara hilang selepas masuk ke dalam kawasan masjid yang berhawa dingin. Di kiri kanan, bentangan karpet masjid telah dipenuhi dengan jemaah. Ruangan laluan jemaah yang selalunya akan dibuka pada saat-saat akhir sebelum solat masih belum boleh diisi. Jemaah harus terus berjalan. Jalanlah kalian, cari sahaja mana2 ruang yang boleh asalkan tidak mengganggu jemaah lain.

Saya berjalan terus, setiap ruang kecil untuk masuk ke ruang solat telah penuh. Sambil mata saya melilau-lilau mencari ruang di dalam kawasan solat. Saya terus lagi menghala ke ruang tawaf tingkat 1, dan tahu-tahu, saya sudah berada di kawasan jemaah yg sedang menjalankan ibadah tawaf.

Agak gembira kerana walaupun ramai dan saya belum pasti di mana saya akan duduk, dengan masa berbaki 2 jam sebelum masuk waktu Zohor, saya boleh berjalan. Target saya untuk mencari tempat duduk paling lewat sejam sebelum masuk waktu Zohor. Melihat ada jemaah yg berzikir dan membaca Al Quran, masing-masing ralit dengan ibadah masing-masing, hati jadi gembira. Perasaan yg tidak dapat digambarkan. Ia adalah me-time terbaik untuk saya.

Gambarannya seperti setiap jemaah sedang membawa sebanyak-banyak bekas untuk diisi dgn perkara-perkara baik, dengan mengharapkan sebanyaknya ganjaran dari Yang Maha Pemurah dan Maha Esa. Semuanya berebut-rebut,  sedar bahawa Allah itu Al-Karim, yang Maha Pemurah. Dilimpahkan kasih sayang dan rahmat pada semua hambaNya yang memohon dan mengingatiNya.

Dipendekkan cerita, saya mendapat ruang untuk solat di tingkat 1. Pada waktu ini banyak kerja-kerja penambahbaikan sedang dijalankan. Semua jemaah sedang menunggu waktu solat Zohor utk solat Jumaat, leka dengan ibadah masing-masing.


Rezeki kali ini, saya duduk di antara wanita dari South Africa di sebelah kiri saya dan Turkiye di sebelah kanan. Asalnya kami tiada ruang untuk duduk pun, hanya berdiri bersempit-sempit dan tidak boleh bergerak ke mana2 kerana ruangan tersebut telah 'diikat' dengan tape oleh polis penjaga. Perlahan-lahan selang beberapa minit kemudian, semua jemaah mendapat tempat duduk. Alhamdulillah, ruang saya di belakang wanita tua berkerusi roda. Pada asalnya wanita tua berkerusi roda itu mengambil 'ruang' yang saya fikir kepunyaan saya. Sedang saya berdiri dan baru berniat untuk duduk, datang seorang jemaah lelaki meluru betul-betul di hadapan saya dan terus 'parking' wanita tersebut di hadapan saya. Terdetik dalam hati, bagaimana ya untuk ruang solat saya nanti. Rupa-rupanya Allah rezekikan saya dapat ruang di belakang kerusi roda itu, dan saya dapat mengambil ruang selesa saya di belakangnya setelah penghadang 'diikat' oleh polis penjaga. Allahuakbar.

Wanita di sebelah kiri saya fasih berbahasa Inggeris. Umurnya beza 1 tahun dengan Ibu saya. Permulaan perbualan kami tercetus apabila melihat keadaan sekeliling yang agak hiruk pikuk dan sibuk, katanya lebih kurang begini,

"You know, 'they' only speaking 1 language that not all people understand, and 'they' also don't understand what we say. They should have been telling us properly where to go and guide us, but they are treating us like we are in a camp instead".

Saya hanya tersenyum. Saya faham. Tapi itulah dia cara dan gayanya di sini. Perbezaan cara kadangkala mengundang rasa tidak puas hati di kalangan jemaah.  Kita faham kenapa ianya dilaksanakan, dan perlu dilaksanakan, tetapi untuk menjaga beratus ribu jemaaah juga bukannya mudah. Datang dari pelbagai pelusuk seluruh dunia dengan pelbagai cara, pemahaman dan jangkaan masing-masing. 

Ikut sahajalah, ini yang terbaik. Peringatan ini pun banyak kali harus saya sematkan dalam hati dan fikiran saya. Bagusnya di sini, kita semua tahu semua datang dengan niat untuk beribadah. Maka tiadalah pilihan lain melainkan bersabar. Alangkah baiknya kalau diterapkan begitu di mana sahaja kita berada, kan? Bukan ibadah khusus sahaja, setiap perbuatan kita kalau kita niatkan untuk beribadah hatta sedang memandu, atau memasak, mengemas rumah, sekalipun, dan di sewaktu itulah kita berdepan dengan pelbagai cabaran, bersabar dan bertenanglah. Ya, bukan mudah. tapi itulah latihan hati. 

Bersangka baiklah bahawa kita semua mahu yang terbaik, baik jemaah, mahupun penjaga. Bersangka baiklah yang Allah juga sedang melihat kita dengan kasih sayangNya.

"Staying & being here require lots of patience", kata saya.

Peringatan lebih kepada diri sendiri.

Struggle setiap kali ke sini berbeza, tetapi yang pasti saya akan ingat..lelah itu hilang apabila kita telah mendapat ruang. Semoga perasaan ini kekal sebagai ingatan dan motivasi buat diri. What ever it is, things will end up okay, in shaa Allah.


"It truly is. Its a test for us", kata wanita itu lagi.

Kami bertukar pandangan, lebih kepada peringatan. Dan katanya, 

"U know, there are millions of flowers around the world, and have you ever imagined Allah will pick you up to be here today?"

"We are here and Allah wants us to be the ambassador. Tell people, your family and friends how its like to be here, in His house. The lesson learnt. Pray for them to come. We may not be the same people as we are when Allah has given us this chance."

"Be a better person,we shall be".

What another beautiful day with beautiful people around mashaa Allah.

Terima kasih Allah. Semoga Allah menerima ibadah kita semua di mana sahaja kita berada, memelihara hati dan iman kita selalu..Amin..



Dari tingkat 1 Haramain, 15 November 2024.


Pemandangan dari tingkat 1, ribuan jemaah seusai solat Jumaat.





Wednesday, October 2, 2024

Sarawat

Such a devastating news to received 3 days ago.

This is the first market we've been intoduced to by our first Malaysian friend in Jeddah more than a year ago. 

It has been our favourite groceries shopping  place since then. We called it pasar Filipina, more to Asian market, where I  usually get fresh paru, whenever I feel like having it with nasi lemak..also home made mee kuning, pisang to make pisang goreng, fresh serai at reasonable price, tauhu, Malaysian frozen fishballs, frozen durians and many more.

The vibes are laid-back and relax, different than any other  modern and busy hypermarkets you can find around Jeddah. You'll see familiar Asian faces here, make you feel like home. Once a while, u can sit and enjoy coffee at small cafes inside the building.

They have small and some conventional shops too, just like we used to have in Malaysia, like Arked MARA, but with big market inside.  Not to forget a small paintings shop and nurseries where they sell colorful flowers in pot for home-garden, just right outside the building.

Ma'assalamah Sarawat. Thank you for the good memories 😢






Sunday, September 22, 2024

Cuti di Malaysia dan kisah durian

Rindunya menulis.

Kadang kala banyak yang hendak ditulis. Masih ada beberapa post yang tergantung belum disambung lagi.

Tapi, kadang kala datang juga rasa kosong fikiran ni.

Alhamdulillah, bulan lepas, saya pulang bercuti ke tanah air.

Setelah genap setahun berhijrah di tanah Arab.

Mashaa Allah, sungguh. Siapa pernah sangka ke mana Allah rezekikan kita, dan masa begitu pantas berlalu, 

ا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، فَتَكُونُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ، وَالشَّهْرُ كَالْجُمُعَةِ، وَتَكُونُ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ، وَيَكُونُ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ، وَتَكُونُ السَّاعَةُ كَالضَّرَمَةِ بِالنَّارِ

Maksudnya: “Tidak akan berlaku Kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.” [Riwayat al-Tirmizi (2332)][Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban di dalam sahihnya]

 

Alhamdulillah hampir sebulan juga saya bercuti kembali ke Malaysia. 

Jujurnya, bercampur baur perasaan saya. Pertama, kerana tak pernah bercuti selama ini. Kedua, kerana tak pernah meninggalkan Malaysia selama ini. Dan perasaan saya, sudah pastinya teruja!

Saya ada sediakan list makanan yang saya ingin makan sewaktu balik cuti nanti. Kadangkala malu juga dengan diri sendiri, macamlah tak cukup makan setahun sampai kena sediakan list. Manusia dan nafsu memang tak pernah cukup, hehehe. Sudah ada macam-macam makanan yang sedap, masih dicari yang lain juga.

Rezeki saya dan keluarga, pulang ke tanah air sewaktu itu musim durian. Cerita tentang durian ni memang panjang. Kisahnya, saya memang penggemar (hantu) durian. Dari kecil, saya tak ingat umur berapa saya mula makan durian dan yang pasti terus jadi hantu durian!

Teringat kenangan waktu kecil, ayah bawa kami sekeluarga bercuti, tak silap saya ke Penang sewaktu kami di umur awal sekolah rendah. Ada satu gambar yang saya dan adik saya berdiri di tepi jalan besar (highway), kami sedang menikmati durian, di sebelah kami ada gerai durian dan sebuah bakul besar berisi durian. 

Dalam gambar tersebut, saya seorang sedang menikmati durian, adik saya hanya berdiri..dan ayah menunggu. Teringat waktu tu ayah kata, "Makanlah puas2, Ha. Orang lain dah habis dah."

Nikmat sungguh.

Sehinggalah saya sudah berkahwin, pernah suatu ketika saya teringin makan durian, waktu tu bukan musimnya. Rezeki ada gerai menjual durian di Bangi ketika itu, kami terus berhenti dan makan. Tutup mata dengan harganya pada waktu bukan musim.

Semuanya berubah sewaktu saya mengandung. Waktu itu kandungan saya 4 bulan, kejadian di waktu malam, kami pulang dari menziarahi saudara di Taman Melawati. Kami dalam kereta sewaktu ternampak gerai-gerai menjual durian di tepi-tepi jalan di hadapan. Saya beritahu suami yang saya nak makan durian. Sampai sahaja depan gerai durian, tekak saya terasa mual dan kembang seperti hendak muntah.

Terus kami bergerak dari situ dan selang beberapa minit kemudian saya muntah. Bau durian tu tak boleh diterima, menusuk sungguh pancaindera bau saya ni.

Yang kelakarnya, selama saya mengandung, saya tiada alahan..dan pernah 2 kali muntah, sekali selepas kena minum air gula selepas check up di Klinik , dan yang pertamanya adalah ini, bau durian!

Dari situlah bermulanya kisah penggemar durian yang tak boleh terima durian lagi...

Semuanya dah kembali berubah selepas 8 tahun, saya kini kembali kepada team penggemar durian.

Ceritanya bermula dengan jemputan sahabat kami, kami panggil kak Pon. Hobinya suka menjamu tetamu, dan pada waktu tu dia teringat kisah saya. Dijemput khas ke rumahnya untuk menjamu selera. Mula-mula dikeluarkan makanan-makanan lain..semuanya sedap-sedap belaka. Akhir sekali, dijamunya kami durian. Suami saya dah tersenyum lebar, sambil menjeling saya.

Secara jujurnya, selama 8 tahun, dipenghujung tahun ke-8 memang ada rasa teringin makan durian. Lagi-lagi bila lihat ada kawan yang berkongsi kuningnya isi durian di sosial media. Tapi, bila sampai ke bau tu..aduh...memang tak boleh langsung. Pernah sekali saya nampak gerai durian dan minta suami saya berhentikan kereta. Kami berhenti betul-betul di depan gerai tersebut. Nampak seperti penjual juga sudah bersedia untuk menyambut kami. Tapi bila buka sahaja tingkap, terus kembang tekak dan hidung saya, tak tahan! Terus cepat-cepat gerak dari situ. Kasihan betul penjual tu.

Bersambung dengan kisah di rumah kak Pon, kak Pon perlahan-lahan memujuk saya. "Makanlah Ha, jangan risau. Tak ada bau. Akak ada sediakan air yang ditapis dalam rumah, untuk hilangkan bau2nya".

Sikit-sikit dia pujuk kita.



Itu dia, pecah rekod selepas 8 tahun, hehe. Kejadian pada Ogos 2021.

 Maka, kami pun ambil kesempatan makan sepuasnya waktu pulang ke Malaysia tempoh hari, Alhamdulillah.

Saya terharu, bila balik, ada kawan-kawan yang sangat bermurah hati mengirim macam-macam jenis makanan. Ada yang mengirim pisang goreng, sanggup hantar di depan rumah, berserta sambal kicap. Ada seller yang saya biasa order makanan, bila saya balik Malaysia dan order, dikirimkan makanan extra subhanallah. Ada yang sampai hari terakhir saya di Malaysia bertanya lagi, ada apa-apa yang saya teringin makan yang saya belum dapat lagi. Allahuakbar, semoga Allah kurniakan ganjaran yang baik buat kawan-kawan yang bermurah hati ini. Amin..

Shah Alam, Penjara, dan Karipap

 




Alkisahnya ada seorang anak ni ajak ibunya main Saidina minggu lepas.

Sambil menjinjit kotak Saidina..Ibu kata, Ibu boleh main tapi sekejap je sebab Ibu nak kelim karipap.


Anak pun setuju, katanya nanti bila Ibu nak kelim karipap, ayah boleh tolong sambungkan main.

Maka permainan pun bermula..


Habis 1 round, giliran Ibu berhenti di Shah Alam.

Ibu : "Saya nak beli tanah ni", sambil keluarkan not RM1000.

Si anak pula dalam strategi menyimpan. Nak kumpul cash banyak2. Dia ingat Cash is the only King. Lagi byk duit lagi kaya dan seperti biasa, ultimate goal dia nak kalahkan Ibu je.


Pusing punya pusing..si Ibu beli lagi 2 tanah, Kuala Terengganu dan Kuantan. Kena beberapa kali ambil kad Keputusan, Ibu kena bayar juruauditlah, bayar bil letriklah,mcm2. Si Ibu pun mengeluh sebab tunai semakin susut..sang Anak nampak gembira sebab nampak ada chance nak menang..sambil sekali sekala dia luahkan simpati, "kesian...tu la siapa suruh beli tanah banyak2, duit dah tinggal sikit kikikiki".


Si Ibu tahan je telinga.


Beberapa round, si anak 2 kali kena masuk penjara. Kerana tercabar, ada sekali sanggup bayar utk keluar penjara. Lepas keluar penjara, ambik kad keputusan, kena bayar pula..susut lagi tunai 😝

Tak cukup tu, lepas baling dadu, dia singgah Shah Alam!

Ibu pun kutiplah sewa orang duduk atas tanah kita, walau tak banyak..tapi puas hati sebab 2 kali anak singgah tanah kat Shah Alam 😂

Nasib Ibu pula makin baik bila ambil kad keputusan, 3 kali Ibu dpt bayaran, bonus dan dividen..satu lg paling puas hati, pemain lain (anak) kena bayar pampasan kat Ibu 😝😝😝

Anak cuba nego mintak diskaun...takde harapan...


Tiba masa Ibu pegi kelim karipap, ayah pun sambung ambil giliran Ibu.

Sambil Ibu kelim karipap, sambil dengar live update Saidina 2 beranak tu..

Yang paling menarik, bila ayah ganti Ibu, si anak 4 kali masuk penjara, keluar penjara je singgah Shah Alam. masuk penjara lagi keluar penjara singgah Shah Alam lagi 😂😂😂

Tak tahulah nak kesian ke nak ketawa, yang pasti si anak geram betul kat diri sendiri sampai xboleh beza nak ketawa ke menangis hahahaha!

Setiap round Saidina, pemain dapat RM1,400. Habis buat bayar pegi Shah Alam je 😂 Sekali singgah ke Kuala Terengganu. Ayah bina rumah kat Shah Alam, siapa singgah kena bayar RM2,600. Tak sia-sia dapat kutip hasil dari anak tu lah yang suka sangat singgah Shah Aley.


Anak makin stres. Nak nego xdapat, nak tamatkan permainan..nak kira tengok cash siapa paling banyak.


Kira punya kira, cash dengan aset ayah ibu lagi banyak.

Susah anak nak terima kekalahan.

Ibu ketawa besar sambil kelim karipap.

Yang paling tak tahan bila habis tu anak cakap, "Ayah yang menang,bukan Ibu"

😂😂😂😂


Dia lupa ke Ibu yang beli Shah Alam tu 

Hahahaha

Aduihai anak soleh

Monday, June 24, 2024

Cupcakes

Innalillahi wa inna ilaihi roji'un...

Sesungguhnya ajal itu dekat..

4 tahun lepas kenal kak Belle dari arwah kak Fifi..Arwah kak Fifi orangnya pemurah, setiap tahun bagi hadiah pada kawan-kawan dia, dia minta kak Belle yang berniaga cupcakes hantarkan pada kawan-kawan,arwah buat list siap2 birthday kawan-kawan dia untuk penghantaran setiap bulan setiap tahun..both arwah kak Fifi & kak Belle berkawan baik sejak sekolah.

First time jumpa kak Belle 4 tahun lepas, masa kak Belle nak deliver cupcakes sempena hari lahir saya. Saya tanya, kenapa sampai ikut saya di bank sehingga saya selesai urusan untuk hantar? kenapa tak tinggalkan di pejabat sahaja?

"Kak Fifi kesayangan amanahkan akak sampaikan sendiri di tangan Ha", kata kak Belle, sambil hulurkan hadiah dan nota hari jadi selain dari cup cakes. Kak Fifi memang ceria dan pandai mengambil hati kawan-kawan sekelilingnya. Semoga Allah balas kebaikan kak Fifi,Amin..

Selepas pemergian arwah kak Fifi 3 tahun lepas, barulah saya kenal kak Belle lebih rapat,beberapa kali order cup cakes dari dia. Dapat pengkhabaran pemergian kak Fifi pun secara terkejut dan kami menangis bersama2 sambil bermessage. Adalah juga kawan dapat berkongsi rasa sedih. 

Im not a fan of cup cakes, but kak Belle punya is really an exception. Few times kami hanya berhubung melalui order dan delivery. Sedapnya cup cakes kak Belle sampai teringat-ingat.

Semalam saya teringat lagi cup cakes kak Belle, saya pun message lah kak Belle.

Lamanya nak tunggu reply, terdetik saya dalam hati.

Cukup 24 jam, dapat message ni seperti di dalam gambar di bawah.

Allahuakbar, semoga Allah tempatkan kak Belle, dan kak Fifi dikalangan para solehin..

Sesungguhnya kawan-kawan yang baik itu rezeki, dan ianya juga pinjaman. Cukup masa umur dan rezeki kita sampai penghujungnya, semuanya akan dikembalikan pada Yang Maha Berkuasa.


Kawan yang baik dan cup cakes sedap yang saya akan ingat sampai bila-bila..


Al fatihah buat kak Fifi dan kak Belle. Semoga Allah menempatkan mereka di kalangan orang-orang soleh, Amin..




Wednesday, June 12, 2024

Khiva, Uzbekistan 2024

Assalamualaykum. 

Semoga semuanya sentiasa di bawah rahmat dan kasih sayang Allah.

Kali ini saya nak berkongsi cerita tentang pengalaman pertama saya ke negara Stan.

Uzbekistan, atau lebih spesifik, ke Khiva.

Uzbekistan ni merupakan salah satu negara dari 15 negara yang penah berada di bawah tadbir Soviet Union, sehinggalah mencapai kemerdekaan pada tahun 1991. Antara negara lain termasuklah Azerbaijan, Armenia, Estonia, Rusia, Turkmenistan, dan lain-lain negara lagi. 

Saya ke sini atas urusan kerja, maka informasi agak terhad berkenaan tempat tersebut.

Cerita saya ini lebih kepada pemerhatian, sepanjang saya berada di sana selama 4 malam.

Perjalanan kerja kali ini adalah kedua terjauh dalam rekod saya selama hampir 18 tahun bekerja. Rekod pertama masih belum boleh ditandingi, perjalanan 48 jam saya dari Malaysia ke Chile tahun 2021 dahulu. 48 jam termasuk waktu transit, kerana pada waktu itu kebanyakan tiket penerbangan yang terdekat dah tak available. Maka berpusing 1 globe lah saya. 2 hari juga lah tak mandi.

Dari segi kiraan transit, samalah juga dengan perjalanan kali ini.

Dari Jeddah ke Istanbul dan Tashkent (ibu negara Uzbekistan) menaiki Turkish Airlines, dan dari Tashkent ke Urgench menggunakan Uzbekistan Airways. Urgench merupakan bandar di sebelah Khiva, bandarnya tidaklah besar, dari Urgench ke Khiva kira-kira 25 minit perjalanan menaiki kenderaan darat.

Satu cabaran apabila perjalanan yang lama ni adalah perbezaan masa, dan waktu menunggu. Dalam kes saya kali ini saya melalui 3 negara berbeza   (termasuk tempat saya bermukim - Saudi, Turki dan Uzbekistan), dengan 3 time zone yang berbeza.

Pening-pening ayam juga.

Hari sebelum bertolak ke Istanbul, Turki, saya sempat berehat di rumah kurang 15 jam kerana baru balik dari urusan kerja di Jordan. Banyak sungguh perkara yang harus disyukuri, Allah memberi kesihatan yang baik,stamina yang cukup untuk menampung perjalanan ini subhanallah. Kerana setiap kali urusan kerja di luar negara, hati saya mesti berdebar-debar, walaupun perkara ini tidak asing bagi saya sejak belasan tahun yang lalu.

Maka setelah melalui 3 negara, tibalah saya ke negara yang tidak pernah terdetik di hati untuk saya ke sini.

Sesungguhnya bumi Allah itu terlalu luas, subhanallah wa bihamdih, subhanallah il adzim.

Allah menciptakan sesuatu perkara itu dengan penuh halus dan hikmah, agar kita hambaNya dapat menikmati setiap perbezaan yang Dia ciptakan sesama makhluk dan sentiasa saling belajar.

Tujuan Mesyuarat kami adalah untuk memperkenalkan bandar-bandar yang mempunyai nilai dan warisan-warisan Islam (Islamic Heritage), memperkenal dan mempromosikan tempat-tempat yang penuh dengan kesenian dan sejarah Islam, terutamanya di bandar-bandar kecil, yang belum cukup diterokai umum.

Pentingnya sejarah Islam diketengahkan, agar kita bukan sahaja memahami budaya negara tersebut, tetapi meraikan kehebatan pahlawan-pahlawan dan sarjana Islam suatu masa dahulu serta mengambil pengajaran.

Dan Khiva, subhanallah...tempat yang majestik.

Gambar ini bukan dari kamera saya. Ia di ambil dari jurugambar rasmi. Subhanallah.



Khiva, mendapat namanya dari Khawarizm, tempat kelahiran sarjana Islam antara yang paling terkenal dalam bidang matematik, algebra dan astronomi, Al-Khawarizmi. 

Tempat ini dipenuhi dengan madrasah, masjid dan juga pernah menjadi kubu. Kalau dilihat tiang tinggi berwarna turquoise tu, ianya adalah minaret - iaitu menara yang bersambung dengan masjid, tempat muazin melaungkan azan. Namanya ialah Kaltaminor, ianya merupakan simbol kebesaran dan kedatangan Islam, yang dibina sejak tahun 1851 lagi.

Sehingga kini binaannya masih cantik, dipenuhi dengan jubin-jubin yang berwarna warni, dikelilingi oleh binaan-binaan berwarna perang tanah, Khiva juga dikenali dengan binaan yang diperbuat dari lumpur (mud) yang menjadikannya cantik secara semula jadi.

Secara peribadi, saya memang suka melihat bangunan-bangunan yang diperbuat dari bahan-bahan semula jadi, tanah, yang pada saya memberi warna yang sangat natural, dibandingkan dengan bahan-bahan binaan moden, sebab ia memberi perspektif yang sangat hebat tentang binaan pada zaman dahulu kala, yang membuktikan kehebatan pembina pada zaman dahulu, sehingga ia masih kekal utuh hingga hari ini.

Khiva tempatnya masih virgin. Virgin dalam erti kata dari segi seninya, budayanya, rakyat tempatannya, bidang pekerjaan dan ekonominya. Subhanallah. Aman dan kaya dengan hasil buminya sendiri, serta menggunakan hasil buminya sebagai sumber makanan sendiri dan ekonomi. Ia bukanlah bandar perindustrian, manakala suhunya agak panas sekitar 32C di waktu tengahari dan 23C di waktu malam. Udaranya agak kering, kerana penempatannya berdekatan dengan kawasan gurun - Karakum dan Kyzylkum. Cuacanya sepanjang tahun boleh jadi agak ekstrim, terlalu sejuk atau terlalu panas.

Alhamdulillah, waktu yang dipilih untuk urusan kerja ni bukan dipilih pada waktu sejuk, saya bukanlah peminat cuaca sejuk, tahan lagi saya panas dari sejuk. Hehe

Kebanyakan pekerja yang saya jumpa disana boleh saya katakan 100% adalah rakyat tempatan. Dari driver, waiter, pekerja hotel, cleaner, penjual di pasar, serta pernah saya lalu di celah-celah bangunan rumah yang sedang dibina, pekerja yang sedang membina bangunan juga semuanya rakyat tempatan. Saya ada bertanya pada rakan sekerja saya yang asalnya dari Uzbek (bukan Khiva), yang saya tak nampak pekerja dari luar di sana. Katanya ada, tetapi tidak ramai.

Kebanyakan dari mereka juga kurang fasih berbahasa Inggeris, masih teguh dengan bahasa tempatan iaitu bahasa Turki. Yang membezakan mereka adalah dialek. Rakan-rakan sekerja saya di pejabat yang datangnya dari negara berbeza, Turki, Azerbaijan, Uzbekistan, mereka semua apabila berkomunikasi dalam bahasa Turki. Rakan saya yang dari Uzbek juga boleh berbahasa Rusia, malahan bahasa Turki nya adalah lebih baik dari rakan Turki kami sendiri. Dialek dari Uzbek, tidak banyak berevolusi dari bahasa Turki beberapa generasi dahulu, berbanding generasi Turki yang kini. Kerana itu dia lebih faham dialek orang-orang tua di Turki, berbanding orang-orang muda Turki sendiri, atas faktor perbezaan bahasa yang tidak ketara. Dan, asal usul bahasa mereka juga datangnya dari Parsi (Persian), ada juga beberapa perkataan yang saya jumpa yang sama dengan Bahasa Melayu seperti Pahlavan, iaitu Pahlawan yang merujuk kepada warrior/heroes.

Dalam erti kata lain, negara-negara yang saya sebut di atas, mereka adalah serumpun, sama seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, yang sesetengah tempatnya kita masih menggunakan bahasa yang sama dan saling boleh berkomunikasi dalam bahasa tempatan.

Subhanallah, Allah Maha Kaya dalam menciptakan makhlukNya.

Dari segi rupa paras pula, pemerhatian saya melihat orang-orang tempatan Uzbek ini kebanyakan mereka sejenis bermuka lebar, matanya sedang-sedang besar sama seperti rakyat Asia, dan kulit mereka sawo matang. Kebanyakannya berdahi luas, dan air mukanya lebih lembut berbanding dengan negara di bawah Soviet Union yang lain. Tidaklah saya punya pengalaman ke negara Soviet yang lain, hanyalah melalui pemerhatian saya sahaja.

Sewaktu dalam perjalanan dari Tashkent ke Urgench yang hanya memakan masa kira-kira 1 jam 50 minit, kami dihidangkan dengan sandwich dan air. Oleh kerana masa transit yang agak lama iaitu 6 jam, dan fizikal yang agak keletihan, saya gigihkan juga untuk makan walaupun tersangatlah mengantuk kerana flight pada waktu itu seawal 6 pagi.

Saya tertidur tatkala pramugari memberikan sandwich, dan bila saya sedar, sandwich saya telah diletakkan di dalam poket tempat duduk di hadapan saya. Saya kira, orang di sebelah saya bantu untuk letakkan untuk saya kerana saya tertidur dan tempat duduk saya adalah di sebelah tingkap (my favourite seat spot).Sewaktu saya sedar, tanpa berlengah saya terus membuka sandwich tersebut, kerana tidak tahu bila lagi waktu makan seterusnya. Maka lebih baiklah saya mengisi perut dahulu.

Seorang rakan saya sewaktu dalam perjalanan dari airport ke hotel bertanya, sama ada saya telah sarapan. Saya katakan ya, merujuk kepada sandwich di dalam flight tadi. Dengan berseloroh dia bertanya, "Are you sure it is not horse meat, Farha?" Subhanallah!  

Saya hanya terdetik beberapa saat sebelum makan tadi, tidaklah pula saya berfikir sampai ke situ. Setahu saya pemakan tegar daging kuda adalah di Kazakhstan (teringat kawan saya dari Sudan yang bekerja di Kazak, mengadu tentang tidak banyak pilihan daging di Kazakhstan, tak habis-habis dengan kuda katanya!), dan bukanlah di Uzbek. Saya pun terfikir, sebab itu jugakah saya lihat tidak ramai yang makan sandwich tersebut, atau mereka memang kepenatan?

"It looks and tastes like chicken, and im sure it is!" balas saya. Dan rakan saya pun mentertawakan saya. Terpinga-pinga saya, sebenarnya nervous juga dalam hati.

Apa-apapun, khalas, dah selamat dah pun saya makan alhamdulillah.

Makanan di Khiva, kebanyakannya segar-segar. Sumbernya dari bandar itu sendiri, sayur yang ditanam, daging hasil ternakan sendiri, yang membuatkan saya jatuh hati dengan makanannya. Tidak ada yang pelik pada saya, semuanya sedap belaka subhanallah.

Mereka pemakan daging merah tegar, red meat eater compared to white meat. Jarang saya jumpa hidangan lauk ayam. Dan yang pasti, pemakan sayur, tomato dan terungnya sangatlah fresh, dan cara masakannya sedap membuatkan kita suka untuk makan sayur. Ulam mereka banyak, terutamanya tomato, ditambah dengan daun mint, dan lemon, fresh sungguh! 

Satu lagi hidangan mereka adalah mee yang diadun sendiri, berwarna hijau cair. Sama seperti handmade pasta dan mee kuning jika di Malaysia, tidak ada rasa kapur kerana ia di buat secara segar, warna hijaunya datang dari sayur dill (saya tak pasti apa namanya dalam bahasa Melayu). Dill ini jika kita ke pasaraya, selalunya diletakkan sekali dengan daun-daun seperti parsli dan mint. Maka air sayur itu dimasukkan sekali dengan tepung untuk di buat mee hijau. Mee tersebut di makan bersama daging dan kentang dengan sedikit kuah. Selain mee, makanan utama mereka adalah roti dan nasi. Nasi pulao/palov/palov/plov, dimakan bersama daging, carrot, lebih kurang sama seperti nasi daging di Malaysia. Di makan bersama-sama timun dan ulam-ulaman, kadang kala disertakan dengan sup daging atau sup ayam dan kentang.

Bagi yang sukakan pedas, boleh juga minta cili potong, sama seperti Malaysia, tetapi mereka menggunakan cili besar berbanding cili kecil. Boleh tahan juga pedasnya.

Satu lagi hidangan yang saya tak boleh lupa adalah terung. Pelbagai jenis masakan, kadang kala daging dibalut dengan terung, atau terung masak garing berkuah, semua sedap-sedap. Walaupun asalnya saya bukanlah peminat terung, tapi berlainan bila saya di sana.

Kebanyakan wanita-wanita di sana memakai long dress, diperbuat dari kain kapas, polos. Cantik dan sopan, sesuai dengan cuaca panas ketika itu. Ada yang bertudung, dan masih ramai lagi yang belum. Persamaannya di Khiva dan di Saudi, mereka saling memberi salam di mana sahaja apabila bertemu, antara sunnah yang amat digalakkan. 

Pada hari terakhir saya dan beberapa delegasi Malaysia makan malam di sebuah restoran di Urgench, kami berkesempatan bertemu pemilik dan pengurus restoran. Kedua-duanya adalah lokal, pengurus adalah wanita. Rakan-rakan dari Malaysia mengucapkan terima kasih, dan memuji keenakan makanan di kedai mereka, dan sebelum berpisah, pengurus tersebut salam dan memeluk saya dan delegasi wanita lain sambil berkata, "Mashaa Allah you are a good muslim with proper hijab. We are still learning". Allahumma barik lahu, sesungguhnya kami juga masih belajar menjadi muslim yang baik, semoga kita semua saudara Islam sama-sama terus belajar dan menjadi hambaNya yang soleh.

Sama seperti negara kita pada zaman 60-70an dahulu, selepas tempoh dijajah, sedikit sebanyak prinsip Islam mula berkembang lagi, semoga dengan pertukaran budaya melalui pelancongan atau apa jua asbab sekalipun, menyebabkan ilmu  dan budaya Islam sebenar itu terus berkembang, in shaa Allah.  

Banyak lagi yang saya ingin berkongsi, dari segi jenis kenderaan yang digunakan dan macam-macam lagi. In shaa Allah ada rezeki di lain entri.

Saya kongsikan sedikit gambar-gambar di Khiva, sebagai memori 4 hari di sana. Semoga Allah melimpahkan rahmat di atas permusafiran pendek ini, Amin.

















Monday, March 11, 2024

Selamat datang 2024

Sebenarnya sudah ada deraf penulisan bagi tajuk ini. Tapi tergendala di tengah jalan, lalu langsung tidak diteruskan. Terlalu hanyut dengan emosi.

Kerana hari baru tahun baru 2024 dikejutkan dengan berita pemergian sahabat. Kita ini manusia kadangkala suka menggunakan perkataan yang tidak kena pada situasi. 

"Tak sangka."

"Dia masih muda."

"Tak ada sakit apa-apa pun. "

"Dia sihat je"

"Gone too soon."

Mahu kata apa kita ini? Hamba yang mempunyai kuasa untuk mengetahui perkara di luar kuasa kita? 

Mahu menggambarkan betapa terkejutnya kita, cukuplah dengan mendoakan.

Peringatan ini buat diri saya sendiri.

Kerana pahit kehilangan itu sesungguhnya sukar untuk ditelan.

Setengah orang kata, grief take time. No matter how long.

Pada saya, kesedihan atas kehilangan itu sentiasa ada, cuma kita memanjangkan pause nya. Bila tiba waktu teringat, kita sedih. Dan sedih kita mungkin tidak berkurangan, hanya terkejut yang telah hilang dan digantikan dengan rindu.

Ibarat terkapai-kapai. Dan hanya pada Allah kita berdoa dan mengadu. Agar dipertemukan semula ahli keluarga dan kawan-kawan yang kita senangi di tempat yang lebih baik suatu hari nanti, in shaa Allah.

Pernah ada ketika, saya berasa media sosial ini lebih menyakitkan. Di sosial media kita lebih banyak berkongsi gambar, dengan harapan satu hari ianya menjadi memori yang manis. Tidak dinafikan, saya suka mengambil gambar untuk disimpan sebagai memori. Kerana dengan gambar, saya akan lebih mengingati peristiwa yang terjadi pada waktu tersebut. Momen-momen manis, kejayaan dan sejauh mana kita pernah mendorong diri kita membuat sesuatu. 

Kadang kala senyum sendiri sambil berbisik dalam hati, wah..tak sangka aku pernah daki gunung. Walau hanya itulah sekali, itulah juga yang seronok. Dan itu jugalah checklist hidup yang saya berjaya capai,walau tak sebesar mana. 

Alhamdulillah.

Ada ketika, saya rasa media sosial ini menyakitkan. Kerana kita lupa selain ianya menyimpan momen-momen manis yang kita sendiri pilih untuk diletakkan di media sosial kita, kita juga menyimpan gambar-gambar dari watak orang yang kita sayang. Sehingga apabila ianya lalu di post kita sebagai memori, kita menjadi sedih.

Pernah terdetik di fikiran saya, sekiranya inilah perasaannya, saya tidak mahu berkongsi lebih banyak gambar di media sosial. Kerana dengan melihat gambar, hati akan menjadi sedih.

Semoga dengan kesedihan dan kerinduan ini membuatkan kita tidak lupa untuk panjatkan doa buat ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang telah menemui Sang Pencipta Allah Taala terlebih dahulu.

Al Fatihah.


Kelmarin, keluar gambar ini di sosial media saya.



Apalah yang boleh saya katakan. Menggamit memori sungguh. Ada di post saya sebelum ini, pemergian seorang yang saya anggap seperti kakak sendiri, yang sentiasa tahu soalan yang tepat untuk ditanya setiap kali kami berjumpa.

Walau tidak sekerap dahulu, semenjak saya melangkah masuk ke alam kerja kerajaan, kami akan cuba untuk berjumpa setahun sekali. Meluangkan masa, bukan hanya bertanya khabar, tetapi lebih dari itu. Kak Fifi, seorang yang tahu apa yang ada di hati saya, mudah untuk dia jangka apa yang ada dalam hati saya, dan seorang kakak yang sangat memahami dan pandai memujuk.

Cupcake di atas, cupcake terakhir hadiah tahunan dari arwah. Usah ditanya tentang sedapnya, saya jarang sukakan cupcake, but this is really an exception. 

Istimewanya dibuat khas oleh rakan sekolahnya dari sekolah rendah, yang berniaga kecil-kecilan dari rumah.
Saya masih ingat lagi waktu ini, kak Belle pertama kali menghubungi saya di hari kelahiran saya. Katanya ada delivery. Hari ini ada di mana,Whatsapp kak Belle. Yang saya belum pernah kenali.
Hari tersebut, saya di pejabat. Di antara waktu tengahari, saya ada urusan di bank.

Kak Belle ke sana ke mari standby, menunggu saya hingga akhir selesai urusan sehinggalah dia menghantar sendiri cupcakes pada saya di hadapan bank. Terdetik juga, kenapa tak ditinggalkan sahaja di pejabat? Istimewa betul delivery ni sampai mengikut saya ke mana sahaja asalkan sampai di tangan saya sendiri.

Rupanya kak Fifi tersayang buat suprise. Kata kak Belle, dia sampaikan amanah dari arwah agar hadiah ini sampai sendiri ke tangan saya. Bersekali dengan hadiah sejadah, yang saya kira mahal harganya mashaa Allah. 

Di hari pemergian kak Fi, dapat dilihat di media sosial rakan-rakan yang tidak putus-putus berdoa, bersedih atas berita yang diterima. Di waktu seluruh dunia bimbang akibat Covid, kak Fifi juga tidak terkecuali dalam statistik kematian. Innalillahi wa inna ilaihi roji'un..

Tidak ramai yang tahu kak Fi dijangkiti Covid, selepas menjaga ahli keluarganya yang terkena jangkitan yang sama, sehinggalah hari pemergiannya. Semoga Allah berikan setinggi-tinggi ganjaran buat kak Fifi atas kebaikannya menjaga ahli keluarganya.

Hikmah pemergiannya, terwujudnya silaturrahim yang baru diantara saya dengan kak Belle. Kami saling berkongsi cerita dan kesedihan. Lega rasanya apabila dapat berkongsi. Kata kak Belle, arwah sentiasa menyokong kawan-kawannya, lebih-lebih lagi kak Belle sahabat baiknya yang berniaga kecil-kecilan. Setiap bulan setiap tahun, arwah akan memberi senarai tarikh hari kelahiran kawan-kawannya kepada kak Belle. Untuk kak Belle sediakan cupcakes dan membuat penghantaran kepada mereka, termasuklah saya.

Subhanallah, baik sungguh hatimu, kakak.
Dengan kebaikannya jugalah kami mengingatinya, seorang yang ceria, penyayang, pemurah. Semoga dengan asbab kebaikan ini, Allah tempatkan arwah di kalangan para solehin..
Amin..

Dan selang beberapa hari yang lepas, muncul pula memori ni di Facebook saya.




Manis. Lama saya tenung gambar ini. Rindu.
Semoga Allah tempatkan sahabat ini di kalangan hambaNya yang beriman.

Post saya yang tertunda tempoh hari, ingin saya kongsikan tentang pemergian sahabat menemui Allah swt pada tanggal 1 Januari 2024. Kira-kira jam 10.00 pagi ketika saya di pejabat, masuk Whatsapp message di dalam group di kalangan kawan-kawan di MITI dulu bertanya tentang kesahihan berita itu.

Subhanallah, perginya kawan yang baik ketika dalam tidur. Fadzilah Abu Hasan, seorang yang unik karakternya, baik, dan disenangi ramai. Sesungguhnya Allah amat menyayangi hamba-hambaNya.

Fitrah manusia, bila perginya seorang yang kita kenal, secara automatik akan mengenang bila kali terakhir kita berjumpa dengannya, bila dan apakah perbualan terakhir kita dengan arwah, mencari-cari sebanyak boleh momen-momen manis baik dari gambar, perbualan, jenaka, dan perbuatan dengan mereka.

Subhanallah...alangkah baiknya jika kita sentiasa sedar untuk berbuat baik sesama manusia, kerana kita tidak tahu bila kali terakhir kita berjumpa dan berbual dengannya.

Arwah Fadz orangnya kelakar, blunt and blur sometimes. Pernah kami travel bersama, atas urusan kerja. Seperti biasa seusai mesyuarat, sewaktu di hotel..sambil menunggu bos turun dari bilik hotel, untuk kami sama-sama pergi dinner, saya menyiapkan report ditemani arwah.

Turunnya bos, duduk di sebelah kami..saya pun bertanyakan pada bos untuk semak report saya.

Bos tak tengok pun report yang saya tunjukkan di komputer riba, distracted dengan orang yang lalu lalang di hadapan kami.

Apa lagi, naikla darah saya sampai kepala. Sebenarnya bukan nak marah, tapi arwah Fadz yang memahami cepat-cepat bagi warning pada bos.

"Bos nak check sekarang ke tak? kalau tak kita pegilah makan dulu. Farha ni bukan boleh kalau lapar."

Hahahaha waktu-waktu seperti ini memang bersyukur ada teman yang memahami.
Kenangan manis dengan arwah, suka dia berseloroh kata saya orang yang kuat makan tapi badan tak naik-naik. Pernah arwah kata pada saya dan entah mengapa teringat-ingat ayat dia tu. Nanti u tunggu umur 35, your metabolism rate will drop tau.

Its funny when other than work, we love t talk about food, family, relationship and any other random things. Sebagaimana randomnya dia setiap kali message saya.
I will miss you, Fadz.

Selang dua hari pemergiannya ke rahmatullah, saya bermimpi tentangnya. Saya kongsikan dengan kawan yang rapat dengannya. Moga Allah lapangkan kubur you dan terima segala amalan dan kebaikan you, Fadz.

There was a random apology message through Whatsapp sent by arwah, kata minta maaf kalau terlebih kata and gurau when we met earlier. Dalam message tu kata, I minta maaf, bukan maksud I sekian-sekian, I am trying to improve in my words, in shaa Allah.

How sweet.

Ada beberapa gambar kita berdua, last was with our friends, Fae dan Alia, di hari terakhir saya di MITI sebelum berpindah ke Putrajaya. You commented few of my postings, I will miss that surely.

Gambar you selfie dengan phone I pun ada, kononnya nak test phone baru. Cerita hampir 10 tahun lepas. I simpan buat kenangan.

Pemergian Fadz di negara orang, membuatkan saya dan rakan-rakan yang ain yang bertugas di luar negara rasa sedikit terganggu. Kami sama-sama saling bertanya khabar dan perasaan masing-masing. Jauh dari keluarga, inilah ujiannya. Tapi itulah juga ujian untuk kita meningkatkan tawakal kita pada Allah swt.
Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Pelindung dan Perancang. Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.


Semoga dengan perkenalan singkat dan kenangan manis pinjaman Allah swt ini mendekatkan kita padaNya, dan semoga Allah temukan kita semua di tempat yang lebih baik. Ameen.

Al Fatihah buat insan-insan yang pernah bertapak di hati saya. Terima kasih Allah dan Selamat Datang 2024