Thursday, August 27, 2026

Salman Al-Farisi

Kelmarin dengar Youtube kuliah Ustaz Azlan Shah, sirah impak sosial.

Sudah beberapa kali saya mendengarnya, tidak jemu-jemu.  Topik yang dikupas juga menarik, sangat dekat dengan realiti pada masa sekarang.

Bahasa yang digunakannya ringkas, cara penyampaiannya jelas, tonenya tenang.

Ada beberapa asatizah yang saya gemar untuk mendengar kuliahnya, cara penyampaiannya kena dengan jiwa. Tetapi ada juga beberapa asatizah yang saya sedar semakin lama tone suara dan penyampaiannya semakin lebih kepada bebelan, tone semakin nyaring..Mungkin juga faktor usia, kalau dahulu dengar suara ustaz/ustazah yang tonenya mendatar, monotonous, kita akan mudah mengantuk. Tapi sekarang, yang sebegitulah pilihannya, pada saya lebih tenang, lebih fokus, dan lebih sampai ke hati.

Apa-apapun, masing-masing punya cara penyampaian tersendiri, kadang kala sesuai dengan topiknya.

Kuliah kali ini berkaitan dengan Surah Al-Maun.

Antara points penting dalam kuliah ustaz Azlan adalah tentang membezakan agama dan agamawan. Sangat dekat dengan keadaan sekarang. Kita selalu lupa bahawa dalam apa jua keadaan yang bercanggah dengan agama, sekalipun perkara tersebut di buat oleh agamawan, atau seseorang berpakaian seperti agamawan (semoga kita semua terhindar dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah), maka kesalahannya adalah pada agamawan, dan bukan pada agama. Kerana perlu diingat bahawa agamawan adalah manusia dan tidak ada manusia di dunia ini yang terkecuali dari melakukan dosa.

Maka kita sebagai manusia biasa, haruslah berhati-hati dalam menjaga hati kita, akidah kita, mencari ilmu mengikut jalan yang benar dan sentiasa berdoa agar kita dilorongkan melalui jalan yang lurus. 

اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمَ

Surah AlFatihah, ayat 6 : Tunjukilah kami jalan yang lurus

Ambil teladan dari kisah Salman Al-Farisi, dengan kegigihannya mencari tauhid.

Berasal dari Parsi, Salman Al-Farisi datang dari keluarga yang agak berada. Ayahnya agamawan, menganut agama majusi. Malah ayahnya rapat dengan ketua negara dan sedang dalam proses merangka strategi negara tersebut. Ayah Salman Al-Farisi mempunyai banyak kebun dan harta, dan Salman sendiri jarang dibenarkan keluar dari rumah oleh ayahnya dengan niat supaya Salman tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran lain di luar.

Ceritanya apabila Salman dikehendaki oleh ayahnya untuk keluar mengambil barang dan sewaktu itulah Salman terjumpa kumpulan kecil ahli Nasrani (Kristian) yang masih di dalam susur galur yang benar dan dia tertarik untuk mendalami agama tersebut. 

Salman Al-Farisi kemudian pulang dan menceritakan apa yang dijumpainya kepada ayahnya dan beritahu betapa dia percaya akan agama tersebut. Salman Al-Farisi kemudian berusaha mencari dan menuntut ilmu dengan guru-guru yang tepat dari Parsi, kemudian ke Turki dan kemudian kembali ke Parsi sebelum akhirnya berjumpa dengan Rasulullah saw di kota Madinah. Guru terakhir Salman Al-Farisi yang memberi gambaran tentang Rasulullah saw memberitahu 3 perkara tentang Nabi saw. Pertama, apabila diberikan tamar kepadanya dan menyatakan bahawa ianya adalah sedekah, Baginda tidak akan makan. Kedua, apabila diberikan tamar kepada Baginda dan menyatakan bahawa ianya adalah hadiah, Baginda akan makan. Dan yang ketiga, tanda di belakang badan Nabi sebagai bukti bahawa Baginda adalah Rasulullah saw.

Perjalanan sebelum Salman Al-Farisi berjumpa dengan Rasulullah saw, Salman telah menjadi hamba sebanyak 13 kali, di jual dan di beli, subhanallah. Dari seorang yang berada di kalangan orang yang senang, Salman  memilih jalan yang tidak mudah untuk mencari tauhid yang sebenar-benarnya. Dan di antara perjalanan itu juga dia pernah terjumpa dengan agamawan yang melakukan perkara yang mungkar, dan dia tetap tidak berputus asa.

Semoga menjadi tauladan buat kita semua, agar terus berusaha mencari ilmu dan berdoa agar ditetapkan hati dan iman kita dan dilorongkan ke jalan yang lurus, Ameen.


Ayah

Ayah mengajarkanku erti bebas.

Bebas itu bukan bermakna tanpa batas.

Tetapi bebas dari perasaan takut untuk mengembara dan mencuba sesuatu yang baru.

Jangan takut mencuba, kerana tanpa cuba, kita tidak akan tahu. Sifat ingin tahu akan mengerakkan akal dan membesarkan hati dan jiwa.

Cuba dan buatlah benda baru, biarlah kecil pun. Kita tak tahu sejauh mana potensi diri kita. Kekuatan kita. Kerana dengan cuba, kita akan belajar erti berani, dan berdaya tahan.

Al-fatihah buat ayah. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa ayah, terimalah amal ibadah dan kebaikannya, lapangkan kuburnya, jadikanlah kuburnya taman-taman syurga dan letakkanlah dia di kalangan para solehin..Amin.

Ha rindu ayah selalu.

Tuesday, August 18, 2026

Diplomat

Ada ketika sewaktu kita berasa kurang bermotivasi, Allah hadirkan kejadian yang membuatkan kita berfikir dan ketawa.

Kejadian lucu kelmarin apabila saya pulang dari pejabat menaiki Uber. Di sini, jarang sekali pemandu 'berbual' dengan penumpang, tidak seperti di Malaysia. Orang di Malaysia secara general lebih ramah dalam konteks ini. Saya pula jenis selesa tidak bersembang di dalam kereta dengan orang yang saya tidak kenal. Maka kejadian hari ini lain dari hari-hari sebelum ini. 

Pemandu Uber ini agak muda, saya jangkakan Gen Z. Berbeza dengan pemandu-pemandu yang sebelum ini. Sewaktu saya masuk ke dalam kereta, dia cuba untuk memulakan perbualan. Tetapi perbualan kami agak terbatas. Dia cuba berbahasa Inggeris dengan saya, "u speak Arabic?" tanyanya.

"A little. Anta taqallam Inglizi?", saya pula test Arabic sendiri. 

"La', Arabi" katanya.

Maka bermulalah komunikasi ayam itik kami, translate menggunakan teknologi melalui telefon bimbit.

Curious saya melihat dia yang agak gigih memandu sambil menaip untuk berbual dengan saya. Apalah agaknya yang dia nak tahu.

Kami berbual pendek. Sambil dia bertanya, saya menjawab. 

Dia tanya kenapa di luar pejabat saya banyak bendera? Pejabat apakah ni? Any problem?

Saya tak faham, cuma menjawab, "Ma fi problem". Saya akui, saya tidak berasa seperti mahu berbual. Tetapi bila tengok anak muda yang bersemangat ini, saya layankan curiousitynya. Bukan semua orang mahu tahu, getus hati saya. 

"Kullu muslim?" 

"Na'am. kullu muslim"

"Subhanallah very good. Muslim is good". Katanya semangat.

Dia tanya lagi, adakah saya Diplomat? bekerja di pejabat yang punya banyak bendera.

Saya akui, saya cuba bergurau dengan mengatakan ya. Niat saya pada awalnya untuk mematikan perbualan, kerana secara amnya pegawai di pejabat saya adalah diplomat, jadi tidak salah. Tetapi lain pula jadinya. 

Dengan curious pemandu itu bertanya lagi. Mana escort dan polis saya? 

Geli hati saya. Serba salah pun iya. Tapi, nak bersembang panjang tak pandai.

Tak sempat nak menjawab, bertalu-talu pula soalan dia bagi saya sambil menghulurkan telefonnya untuk saya baca.

Antaranya apa yang saya belajar dahulu sehinggakan saya boleh menjadi wakil Malaysia? (pada awalnya dia tanya saya dari mana). Di mana saya belajar berbahasa Inggeris? Berapa jauh Malaysia dari Saudi? Berapa lama masa yang diambil kalau dia ingin belajar berbahasa Inggeris?

Dia memberitahu bahawa dia dari Abha. Kami berbual pendek, saya kata saya baru sahaja melawat Abha, cuti raya Aidiladha beberapa bulan lalu. Abha sangat cantik. Tetapi baru-baru ini kawasan airportnya rosak asbab serangan Houtis.

Sambil tu beberapa kali dia kata It is a pleasure to meet you. Terima kasih kerana memberi peluang untuk berbual dalam bahasa Inggeris, katanya lagi melalui telefon.

Subhaallah anak muda, semoga dengan perkongsian yang terbatas ini dapat memberi semangat buat kita semua.

Julai 2026

Cuti musim panas tahun ini, sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Kami pulang ke Malaysia. Istimewanya tahun ini, adik perempuan bongsu saya ke sini untuk mengerjakan umrah sebelum kami pulang.

Semoga dikurniakan umrah yang mabrur adik dan suaminya, Ameen.

Saya membuat kejutan kepada Ibu, tidak memberitahunya akan kepulangan kami. Tidak ada dalam pelan asal untuk membuat kejutan, Ibu hanya sangkakan kami akan bersama adik di Jeddah. Gembira dan mengalir air mata Ibu saat memeluk cucunya.

Subhanallah.

Jauh dari keluarga membuatkan kita lebih nampak 'banyak' perbezaan yang berlaku di sekeliling kita. Sebab kita jauh, pulang sekali dua setahun, dah tentu nampak banyak bezanya berbanding berjumpa sehari-harian. 

Termasuklah bagaimana Ibu kita yang sudah semakin tua, semakin sensitif. Kalau dulu duduk berdekatan dan selalu jumpa, tak mungkin boleh nampak situasi ni.

Manusia dan fitrah yang Allah jadikan, yang jauh pasti akan dirindui dan lebih 'nampak' disayangi.

Setiap kali balik berjumpa keluarga dan kawan-kawan, pasti akan ada moment yang diluangkan untuk 'update' tentang kehidupan masing-masing. 

Dua tahun lepas sewaktu kami pulang bercuti, suami kepada seorang sahabat saya telah pulang ke rahmatullah. Saya masih ingat wajahnya yang sugul, dan sedih sewaktu kami jumpanya di kubur. Saya menjadi saksi sahabat saya seorang isteri dan ibu yang baik. Menjaga suaminya yang sakit, kerap berulang alik menghantar suaminya ke pusat dialisis, ke hospital, dalam masa yang sama menjaga anak-anaknya. Struggle, tetapi tetap ikhlas berkasih sebagai isteri dan ibu.

Baru-baru ini kami makan tengahari bersama. Seusai makan,dia bangun kerana perlu pulang awal. Ditariknya tangan saya, "Farha, I ada benda nak cakap sikit".

Nervous saya.

Kami masuk ke sebuah bilik kecil di restoran. Dia memegang tangan saya, tenung mata saya dengan senyuman.

"Kenapa ni?" tanya saya.

Senyap, senyum manis terukir di wajah sahabat saya.

"Nak kahwin ya?" tanya saya lagi.

Senyumnya bertambah manis.

Subhanallah. 

Allahuakbar. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Allah sebaik-baik Perancang dan yang Maha Mengetahui.

"Allah hantarkan pelangi selepas hujan, Farha. Doakan I dan anak-anak I"

Besar dan gembiranya hati saya untuk sahabat saya.

Sesungguhnya Allah yang Maha mengatur, meletakkan perasaan sedih, gembira dalam hati kita bila-bila masa yang Dia mahu. 

Cerita lain pula, bila sahabat lebih 25 tahun  yang sama-sama dari sekolah menengah, baru-baru ini dikurniakan cahaya mata setelah lebih 15 tahun berkahwin. Kami selalu berbincang perihal anak. Doktor  pakar mana yang boleh bantu, makanan apa yang sesuai, ke mana harus kami pergi dan jumpa, dan terus usaha dan tawakal.

Saya saksi usaha dia dan suami bersungguh-sungguh untuk mendapatkan cahaya mata, we always there for each other, share and talk about life. Hanya Allah yang Maha Mengetahui, dari selepas kahwin sewaktu umur 26 tahun (kami berkahwin lebih kurang tahun yang sama), Allah kurniakan sahabat saya cahaya mata pada umur 42 tahun. Alhamdulillah, Allahuakbar. Kita semua bergerak atas perancangan dan takdir Allah. Hanya usaha adalah hak kita.

Bahagia apabila kita sentiasa diingatkan dengan perkara ini. 

Semoga kita semua menjadi hamba yang sentiasa mengingati Allah dan sentiasa bersyukur, Ameen.



 

Friday, August 7, 2026

cerita Zulhijjah : Sedekah apa kita hari ini?

 

cerita Zulhijjah : Sedekah apa kita hari ini?

Mei 24, tahun 2026



Duduk berlama-lama di sini, terutamanya waktu maghrib dan Isya', dapat dilihat ramai orang suka bersedekah. Dari tamar, gahwah, air, coklat, gula2.

Kanak2 kecil, orang dewasa, datang bawa termos dan cawan-cawan kecil. Masing-masing ingin sama-sama berkongsi kebaikan dan mengejar pahala.

Sewaktu menunggu Zohor tadi, saya duduk seorang di sini. Di hadapan saya seorang anak kecil lelaki kira-kira usia 3 tahun, sedang berusaha membuka bungkusan biskut. Kerana tenaga yang terlalu kuat membuka bungkusan, plastik terkoyak besar dan 1 biskut terjatuh di lantai. Dari jauh saya lihat, dengan senang hati dia mengambil biskut yang jatuh tadi dan masuk ke dalam mulut.

Kemudian terkedek-kedek dia berjalan ke arah saya, dihulurkan biskut yang telah separuh di makan. Saya tengok muka dia, mulut masih penuh biskut, pipi comot, tangan hulur biskut. Anak bijak comel. Semoga terus jernih hatimu anak kecil.