Thursday, June 13, 2013

Pengalaman pertama bersalin...

baru nak mula menaip tentang pengalaman saya melahirkan Wan Ahmad Fawwaz, saya sudah terfikir sejauh mana saya mampu menghabiskan post kali ini.
Sekiranya dapat habis dalam sekali hadap, alhamdulillah...


Oklah, EDD saya atau tarikh jangkaan saya bersalin adalah pada 17 Mei 2013 (Jumaat).
Saya telah mula mengambil cuti seawal 2 minggu iaitu selepas dari tarikh pilihanraya umum pada 5 Mei.
Kalau diikutkan larat atau tidak untuk ke pejabat, sebenarnya masih larat.
Cuma yang kurang selesanya bila memandu pulang dari pejabat.
Sejak kebelakangan ini dengan cuaca dan trafik yang tidak menentu..jarak dari/ke rumah dan pejabat yang mengambil masa kira-kira 15 minit pun boleh jadi sejam setengah!
Malamnya sakit kaki..so saya ambil keputusan cuti awal,boleh berehat-rehat sambil mengemas rumah sebagai persediaan menyambut si kecil. =)

Sehinggalah tiba minggu ke-40 (17 Mei 2013), masih lagi belum ada tanda-tanda mahu bersalin.
Sebelum itu, hampir setiap kali check up di Hospital Putrajaya, doktor akan menyarankan supaya saya berjalan dengan lebih kerap untuk memudahkan proses bersalin nanti.
Seminggu sebelum tarikh EDD, saya dan suami tinggal di rumah mertua di Cyberjaya, mudah sekiranya waktu bersalin tiba,memandangkan saya akan bersalin di Putrajaya dan suami juga bekerja di Putrajaya.

Pada minggu terakhir itulah saya semakin kerap berjalan.
Mengetahui yang saya sendiri bukan jenis yang boleh duduk diam..
Pagi sebelum suami ke tempat kerja,suami akan menemani saya berjalan di tepi tasik berdekatan dengan rumah mertua. Ataupun, saya akan mengajak adik bongsu perempuan saya di Putrajaya untuk berjalan-jalan dengan saya.
Tengah hari, saya akan berjalan di Alamanda..disambung dengan berjalan lagi pada waktu petang bersama suami..






sehinggalah doktor menetapkan tarikh untuk saya 'menyerah diri' di hospital pada 21 Mei 2013 (Selasa) sekiranya masih belum ada tanda-tanda untuk bersalin.

hari Selasa tiba,saya mula menyerah diri pada jam 9.30 malam.
Ceria rasanya ditemani suami kerana tak lama lagi akan bertemu dengan si kecil di dalam perut ini.
Tapi, ramai yang kata induce tu sakit. Kerana ia seolah-olah kita 'memaksa' atau trigger kesakitan itu datang.
Saya tawakkal. 
Hari Rabu pagi, Dr Hamidah memberikan induce yang pertama. Kira-kira jam 8.30 pagi.
Induce pertama tidak sesakit apabila doktor check bukaan rahim (lebih sakit apabila belum ada bukaan).

Mula terasa contraction selepas induce pertama, tapi masih belum kuat.
Bila di tanya nurse di hospital sama ada saya pernah rasa sakitnya period pain..saya kata buat masa ini period pain lebih sakit.
Makanya belum lagi, kata nurse.
Tepat jam 3 petang hari yang sama.Tiada lagi rasa contraction. Hilang seperti tiada apa-apa.

Doktor check bukaan lagi, baru 1cm.
Induce kedua diberikan pada Khamis pagi. Saya tidak ingat sekuat mana contractionnya sehinggalah induce ketiga diberikan pada hari yang sama jam 2 petang hari Khamis 23 Mei.
Doktor memberitahu saya, sekiranya masih belum ada bukaan..tiada pilihan lain melainkan c-sec.
Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu. Sedih, tetapi masih mengharapkan dapat melahirkan secara normal.
Sedang elok doktor keluar dari bilik, saya menangis semahunya.
Pertama kerana c-sec adalah pilihan terakhir saya, dan kedua, contraction sudah menjadi semakin kuat.
Kuat sehinggakan saat paling lama ia berhenti hanyalah 15 saat.
Selainnya adalah contraction yang amat kuat.

Tetapi masih belum rasa mahu melahirkan.
Dari jam 2 petang itu sehinggalah jam 7 pagi keesokan harinya, bukaan hanyalah 2 cm.
Allah Maha Mengetahui.

Saya diberikan petidin iaitu ubat tahan sakit selepas dipujuk oleh suami kerana kasihan melihat saya menahan sakit.
Pada awalnya nurse ada menawarkan tetapi ditolak oleh saya kerana saya telah bertekad awalnya untuk meminimumkan penggunaan ubat ke atas diri saya.
Akhirnya, petidin pertama dimasukkan melalui bahagian belakang berdekatan dengan pinggang di sebelah kanan untuk saya menahan sakit.
Petidin adalah sejenis ubat tahan sakit yang mana ia memberi kesan mengantuk kepada pesakit.
Apa yang saya rasa? Mengantuk, tetapi rasa sakit masih sama.

Contractions berlarutan sehingga malam. Ketika itu, saya sudah tidak ingat berapa kali doktor datang untuk check bukaan pintu rahim. Katanya pada jam 5 petang.."baru 2cm".
Doktor ada menawarkan supaya operation dijalankan pada malam itu juga.
Pertama, kerana esoknya adalah hari wesak dan dia akan bercuti. Kedua, katanya dia merasakan mungkin bukaan rahim adalah kecil (kemungkinan c-sec adalah tinggi) dan Ketiga, sanggupkah saya menahan sakit sehingga hari esok?

Saya masih ingat lagi jawapan saya pada doktor, alang-alang saya sudah tahan sakit..saya tunggu sehingga esok in shaa Allah. Mana tahu ada rezeki untuk melahirkan secara normal.

Jam 1.30 pagi saya di bawa turun ke labor room setelah di check bukaan lagi oleh doktor yang lain. Masih 2cm katanya.
Sewaktu di bawa turun dari katil, saya dan nurse perasan ada beberapa tompok darah di katil.
Alhamdulillah,petanda baik in shaa Allah. Detik saya dalam hati.

Di labor room, doktor akan memecahkan air ketuban saya. 
Dalam hati saya, saya tidak tahu kesakitan macamana lagikah akan saya hadapi lagi.
Teringat saya perbualan dengan suami sebelum masuk hospital..kata suami..
"ibu kata,untuk pecahkan air ketuban..doktor akan gunakan satu alat macam cangkuk."
Telan liur saya.

Dalam pada saya dengan doktor dan nurse bersedia untuk memecahkan air ketuban saya, saya merasakan air ketuban saya telah pecah sendiri.
Alhamdulillah, petanda baik kedua. Mungkin masih ada kebarangkalian untuk bersalin secara normal, saya cuba berfikiran positif.

Check lagi bukaan, 2cm. Ya Allah.
Ibu, nenek dan suami tidak putus-putus berdoa supaya semuanya selamat.
Mereka menemani saya sehingga jam 4 pagi.
Suami senantiasa berada di sisi saya. Tidak tidur,kasihan saya melihatnya.

Saya meminta lagi petidin kerana sudah terlalu lama menahan sakit.
Tetapi pihak hospital tidak dapat memberi kerana mereka sedang menjalankan CTG (cardiotocography) iaitu untuk memantau degupan jantung bayi.
Hampir menangis saya. Suami tidak putus-putus memberi kata semangat supaya saya bersabar.

Apabila doktor bertanya sama ada saya ingin mengambil epidural (bius separuh badan), saya bersetuju kerana ibu awal-awal telah menyarankan saya mengambilnya memandangkan sudah lama saya menahan sakit.
Dan risau sekiranya saya tidak punya tenaga lagi nanti.

Jam 6 pagi (24 Mei 2013, Jumaat) saya sedar nurse sedang mempersiap sediakan saya untuk masuk ke operation theatre (OT).
Ibu saya dulu bekerja di OT sehinggalah pada 2 tahun lepas dia bertukar ke Kementerian Kesihatan.
Banyak prosedur yang dilakukan..menandatangani borang itu dan ini..
dan yang agak menjengkelkan apabila didatangi oleh 2 orang pelatih perubatan bertanyakan macam-macam...

Bayangkanlah dalam pada kita sedang tahan sakit dia boleh tanya bila kali terakhir puan datang bulan, bila check up pertama, hari apa masuk hospital.
Mujur saya masih lagi waras pada waktu itu.

Jam 7 pagi saya dimasukkan ke OT.
Saya dapat melihat di situ wajah-wajah kesayangan saya..suami,ibu,nenek, dan adik saya.
Sayu wajah mereka..sayu sungguh.

Sehingga saya sedar mereka memberikan epidural kepada saya..
Apa yang saya rasa seperti ada sesuatu yang lalu di bahagian kiri kaki saya dan terus hilang.
Masih ingat ada seorang nurse/doktor wanita bertanya..
"Puan, puan dapat rasa kaki puan kebas tak?Puan tak dapat angkat kaki kan?"
Saya cuma mengangguk kerana terlalu penat.
Tapi..saya rasa saya masih mampu mengangkat kaki saya.
Cumanya saya tidak dapat membezakan sama ada saya berasa kebas atau penat.

Muka saya ditutup dengan kain.
Doktor memanggil ibu saya untuk masuk.
Kerana Dr.Hazim (doktor yang akan menyambut bayi saya) kenal dengan ibu sewaktu sama bekerja di OT.
Sebelum mula, saya dengar ibu memanggil saya..
"Ha..ibu ni"

Disusuli suara Dr tadi.."Farha,ibu panggil".
"Ya"..saya menjawab dengan lemah.

Sehinggalah saya dapat merasakan pisau membelah perut saya dan Dr memasukkan tangan ke dalam perut saya..

Saya mengumpul kekuatan untuk berkata..
"Dr, saya boleh rasa sakit"
Proses terhenti. Ada seorang wanita datang kepada saya dan bertanya, puan rasa apa?
"Sakit dan pedih"..

Sehinggalah saya diberikan gas, pengsan sepenuhnya sehingga saya di bawa keluar dari OT kira-kira jam 8.50 pagi dan terdengar suami memanggil saya..

"Sayang...ni i ni.."
"Mana baby?" tanya saya..
"Ni ada gambar..tengoklah.semuanya dah selamat..alhamdulillah.." =)

Syukur ya Allah.
Terima kasih atas nikmat ini, terima kasih kerana meminjamkan insan-insan yang senantiasa bersama-sama dengan saya, terima kasih kerana memberi saya peluang untuk berhadapan dengan cabaran ini..Alhamdulillah.

1 comment:

hidayah fadzil said...

Alaaa c-sect jugak ke? Xpela mungkin rezeki anak pertama mcm tu kot. Aku pun kes mcm ko jgak last min kena c-sect. Pantang btol2 ha. C-sect paling seksa masa pantang. Nway, selamat berpantang. Pati ikan haruan jgn missed minum. Lagiiu cepat baik nnt ;)