tergerak untuk berkongsi sebuah artikel dari editor majalah Solusi, saudara Muhammad Luqman Makhtar untuk Solusi edisi ke 71.
Mengenai bersangka baik.
"Kita suka menghukum orang pada pandangan pertama. Hanya melihat luarannya kita mengulas itu dan ini. Mungkin betul sangkaan kita. Tetapi kalau salah, bagaimana?Dosa percuma!
Allah mengingatkan kita : "Wahai orang beriman, jauhilah daripada bersangka-sangka. Sesungguhnya ada antara sangkaan itu dosa." [Al-Hujurat 49:12]
Rasulullah kemudian menegaskan : "Jaga-jaga kamu daripada persangkaan. Sesungguhnya bersangka-sangka itu kata-kata yang paling dusta!" [Riwayat al-Bukhari]
Begitu juga Saiyidina Umar turut mengingatkan : "Jangan kamu terus membuat sangkaan berdasarkan hanya satu ucapan yang keluar daripada saudaramu yang Muslim, melainkan yang baik-baik." [Riwayat Ahmad]
Menjadi orang baik, tidak cuai solat dan puasa, lain pula strategi syaitan membodohkan kita. Perangkap ujub, takbur, riyak dan sum'ah mungkin lebih berkesan. Lalu, sifat-sifat buruk itu semakin membesar dalam diri seiring amalan yang ditambah!
Maka senjata ampuh untuk menangkisnya ialah kukuhkan sifat tawaduk. Tawaduk itu kita menganggap semua orang yang kita lihat adalah lebih baik daripada kita. Bahkan mungkin pun mereka lebih baik daripada kita."
Demikian betapa terkesannya ayat editor untuk orang-orang biasa seperti saya.
Ada juga diselitkan beberapa tips untuk kita menangkis sikap bersangka buruk pada orang seperti di bawah :
Semoga menjadi panduan, pedoman untuk kita semua..
Apabila melihat orang yang lebih tua...
Fikirkan, mungkin bakti dan pahalanya lebih banyak daripada kita. "Sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang umurnya lagi baik amalannya."[Riwayat al-Tirmizi]
Apabila melihat orang yang lebih muda...
Fikirkan, mungkin maksiat dan dosanya lebih sedikit daripada kita...
Apabila melihat kanak-kanak...
Fikirkan, mereka masih suci daripada dosa dan maksiat, Rasulullah suka menyapa dan bergurau dengan kanak-kanak...
Apabila melihat orang yang lebih miskin...
Fikirkan, mereka lebih berpeluang ke syurga. "Aku berdiri di pintu syurga lalu aku dapati kebanyakan yang memasukinya ialah orang yang miskin."[Riwayat Muslim]
Apabila melihat orang yang lebih kaya...
Fikirkan, mungkin mereka lebih banyak membela agama dan membantu manusia daripada kita. "Tidak boleh dengki melainkan terhadap dua orang: orang yang dikurnai Allah harta lalu dia habiskan demi kebenaran."[Riwayat al-Bukhari]
Apabila melihat ibu tunggal...
Fikirkan, mereka lebih dekat dengan Rasulullah berbanding kita "Aku dan penanggung anak yatim seperti ini. [Nabi mengisyaratkan dua jari baginda]"[Riwayat al-Bukhari]
Apabila melihat orang jahat...
Fikirkan, mungkin ada suatu amal baiknya yang menyebabkan Allah reda lalu mengampuninya. "Diampunkan dosa seorang pelacur yang mendapati seekor anjing yang berada ditepi telaga dengan lidahnya terjelir. Kehausan hampir membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia mencedok air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu."[Riwayat al-Bukhari]
Apabila melihat orang kafir...
Fikirkan, mungkin suatu masa nanti dia menjadi Muslim lalu lebih baik Islamnya daripada kita.
Sesiapa sahaja yang kita bersua baik orang yang bodoh, orang terkenal, pengutip sampah, orang kelainan upaya, pendatang asing dan sebagainya..fikirkan, 'mungkin mereka lebih baik daripada kita.'
Semoga beroleh manfaat,amin...
1 comment:
betul itu// ramai antara kita suka membuat komen yg macam macam/ contoh org tua berkahwin lain. Laugh/
Allah knows better right?
Post a Comment