Kebetulan pinjam majalah Al-Islam dari library di office, jumpa satu artikel menarik di halaman Tazkirah.
Terasa nak share kerana isi yang menarik dan supaya sentiasa menjadi peringatan untuk diri sendiri dan pembaca sekalian...
Menurut Imam Ghazali, apabila Tuhan memperbaiki keadaan hamba-Nya diberikan hamba itu peluang buat mengetahui cacat diri sendiri sehingga dia pun berupaya mengubatinya. Kerana memang amat banyak jumlahnya orang yang tidak mengenal diri dan tidak tahu diri.
Bagaimana untuk mengetahui kekurangan diri?
1) Carilah guru, pendidik yang berpandangan luas tentang jiwa dan mengerti cacat yang tersembunyi. Lalu dituruti segala nasihat dan saranannya.
2) Carilah seorang sahabat karib yang jujur dan berpandangan luas lagi beragama. Mintalah teman itu tujukan kita mana perangai atau perbuatan dan kelakuan kita yang buruk, baik ataupun batin.
3) Ambil faedah mengetahui cacat cela kita dari mulut musuh-musuh. Kerana, apabila orang telah benci, dia lekas benar dapat melihat cacat orang yang dibencinya sebagaimana jika orang sedang saling sayang menyayangi hanya melihat yang baik sahaja.
4) Bergaul sesama manusia. Pergaulan adalah pendidikan sopan santun yang baik sekali. Kalau semua manusia meninggalkan perbuatan yang tidak disukai orang, nescaya walaupun tidak ada seorang ahli pendidik yang mendidiknya namun dia akan terdidik juga.
Contohilah peribadi Umar al Khattab ketika menjadi Khalifah. Beliau tidak segan-segan menanyakan kepada orang lain yang dipercayai akan kesalahan-kesalahannya. Kepada Salman al-Farisi pernah juga beliau bertanya walaupun Salman segan untuk menjawab. Setelah didesak akhirnya Salman menjawab, "Saya mendengar khabar bahawa engkau makan dengan dua macam lauk. Dan saya dengar pula engkau memakai dua persalinan, sehelai pakaian siang dan sehelai pakaian malam. Itu sudah termasuk boros."
Lalu Umar bertanya, "Selain daripada dua kesalahan itu, adakah engkau nampak yang lain lagi?" Salman menjawab, "Tidak ada."
Lalu Umar berkata, "Mulai hari ini, kedua-dua kebiasaan itu saya tinggalkan." Dan kepada sahabat yang lain, Huzaifah, beliau tanyakan juga, "Huzaifah, engkau banyak diberi pengetahuan oleh Nabi tentang tanda-tanda orang munafik. Adakah engkau melihat tanda-tanda itu pada diriku sendiri?"
Umar yang begitu tinggi kedudukannya dalam Islam, seorang Amirul Mukminin namun masih bertanyakan tentang cacat cela dirinya kepada orang lain.
Orang yang lebih tinggi martabat akalnya, lebih rendahlah hatinya dan lebih banyak dia mengakui kekurangannya. Mereka lebih suka mendekati teman yang setia dan jujur yang dapat menegur terus-terang kesilapannya.
*SUMBER : Lembaga Budi - sebuah karya Hamka.
No comments:
Post a Comment