Alhamdulillah, awal bulan tempoh hari saya sekeluarga diberi rezeki kesempatan ke Mekah.
kali ni, Allah merezekikan kami berjumpa dengan sahabat-sahabat dari Malaysia.
pasangan suami isteri, ustaz Amirudin..sama-sama dengan saya sewaktu di JPA. Saya menerima mesej Whatsapp dari ustaz Amir seminggu sebelum dia dan isteri ke sini untuk urusan melaksanakan umrah. Beliau menyampaikan hajat untuk menziarahi kami di sini, alhamdulillah.
Walaupun kami 1 bahagian sewaktu di JPA, tetapi kami tidak pernah bekerja sekali. Kerana portfolio yang berbeza, selain dari skala Bahagian itu sendiri yang agak besar. Walau bagaimanapun di JPA dulu, walau hanya 8 bulan rezeki saya di sana, pegawai-pegawai di Bahagian kami saling kenal mengenali kerana banyak program diadakan hampir setiap minggu. Alhamdulillah, rezeki berjumpa dengan orang-orang baik.
Kami ke Mekah, sama seperti aturan sebelum-sebelum ini juga. Kami bergerak ke Mekah seusai waktu pejabat hari Khamis. Cuma ini kali pertama kami memandu dari Jeddah. Sebelum ini kami menaiki uber, atau keretapi laju. Perjalanan Jeddah ke Mekah kira-kira 40 ke 60 minit pemanduan bergantung kepada trafik. Kalau naik keretapi laju, dalam 40 minit. Tapi selalunya waktu perjalanan lebih dari itu sebab trafik di hari minggu (di sini hami minggu adalah Jumaat dan Sabtu), agak tinggi. Kepadatan trafik terlalu tinggi pada hari Khamis kerana ramai orang mengambil kesempatan untuk ke Mekah dan Madinah.
Kami kemudian parking di Kudai parking untuk semalaman, tiada bayaran alhamdulillah, kemudian kami menaiki teksi, dalam 10 minit ke Masjidil haram. Dari Kudai parking pun sudah boleh nampak Menara Jam Masjidilharam, menunjukkan dekat sahaja tempatnya. Dengan teksi, kira-kira dalam SAR5 seorang dari Kudai parking ke Masjidil haram.
Alhamdulillah, keesokan harinya berkesempatan juga jumpa sahabat dari zaman sekolah rendah. Rafiecca, dan suami serta anak bongsunya Asma'. Hebat aturan Allah, kali terakhir kami berjumpa 4 tahun yang lepas, sebelum Fiecca sekeluarga berpindah ke Ipoh. Sebelum itu, hampir setiap minggu kami berjumpa di kelas tadabbur, semuanya asbab ajakan Fiecca sendiri. Rindu betul kelas malam, sama-sama menuntut ilmu. Semoga kami berpeluang bertemu lagi atas sebab yang baik, in shaa Allah.
Sejurus selepas bertemu, kami kemudian membuat haluan masing-masing. Alhamdulillah, kami sekeluarga awal menunggu waktu tibanya solat Jumaat. Sejam sebelum, kami mengambil ruang di masjid, di tingkat atas. Ini adalah me-time kegemaran saya, saya pasti untuk saudara-saudara Islam yang lain juga. Mengambil masa menyendiri, menyatakan isi hati terus pada Allah SWT.
Saya mendapat saf depan di ruang Nisa' (perempuan). Di hadapan kami saf Rijal (laki-laki). Tidak nampak Kaabah, kerana untuk mendapat ruang itu, kami harus masuk masjid lebih awal. Ada jemaah yang iktikaf dari Subuh berdekatan Kaabah, untuk secure ruang solat. Dapat masuk ke masjid untuk solat Jumaat juga adalah rezeki besar untuk kami. Pengalaman kami masa awal sampai di sini beberapa bulan lepas, kami agak lewat tiba, 2 jam sebelum masuk waktu Zohor di hari Jumaat. memang pintu masjid telah ditutup dan jemaah boleh solat di luar.
Di sebelah saya, mengikut raut wajah, adalah seorang wanita Asia. Putih dan manis. Dia juga seorang, sama seperti saya. Kadang kala dia bercakap sepatah dua dengan lelaki di saf hadapan, yang mana kami dipisahkan dengan pembahagi ruang. Saya agak, mungkin itu suaminya, juga raut wajah Asia. Kami masing-masing tenggelam dalam hal sendiri, sekali sekala kedengaran wanita tersebut bercakap di telefon, berbahasa Indonesia. Kadang-kadang terasa juga wanita tersebut menjenguk-jenguk ke arah saya apabila saya sedang membaca Al-Quran, namun saya biarkan sahaja.
Sejam lamanya, sementara menunggu azan waktu Zohor yang pertama. Sebelum waktu solat sebenar setengah jam berikutnya.
Aman.
Damai.
Perasaan yang tidak dapat digambarkan.
Wanita Asia sebelah saya menegur. "Dari Indonesia?"
saya menggeleng. sudah biasa ditegur begitu. Kalau bukan tekaan saya dari Indonesia, kadang kala orang ingat saya dari Filipina. Tapi tekaan Filipina tu selalunya kalau di Jeddah, bukan di Mekah. Dek kerana ramai orang Filipina datang merantau ke sini.
Saya geleng.
"Malaysia"
Manis wanita di sebelah saya ini. Masih muda, saya jangkakan umurnya dalam awal 30-an.
"Saya masih baru. Saudara baru, baru 14 hari." katanya lagi. Tanpa saya bertanya.
Ayatnya menusuk hati saya. Subhanallah
Besarnya nikmat Allah beri selepas 14 hari kembali kepada agama Allah, langsung terus Allah jemput menjadi tetamuNya.
"Perjalanan saya seorang. Sebelum ini saya Nasrani. Ayah saya sendiri ketua paderi. Doakan saya" katanya lagi, mahu berbual.
kami berbual pendek. sedikit sebanyak bertukar pandangan.
Beberapa soalan darinya membuat saya berfikir.
"Waktu tahajud itu yang terbaik bila ya?"
Allahuakbar.
Sesungguhnya Allah amat menyayangi hambaNya dan memanggil hambaNya dalam pelbagai cara.
Semua hambaNya datang dengan penuh pengharapan, pelbagai latar belakang dan ujian dan yang pasti, semua ingin menjadi yang terbaik, mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Semoga Allah terima segala amal kebaikan dan ibadah hambaNya, ampunkan dosa kita semua dan bantu kita dalam membantu saudara seIslam kita di seluruh dunia...Amin...

No comments:
Post a Comment