Assalamualaykum.
Semoga semuanya sentiasa di bawah rahmat dan kasih sayang Allah.
Kali ini saya nak berkongsi cerita tentang pengalaman pertama saya ke negara Stan.
Uzbekistan, atau lebih spesifik, ke Khiva.
Uzbekistan ni merupakan salah satu negara dari 15 negara yang penah berada di bawah tadbir Soviet Union, sehinggalah mencapai kemerdekaan pada tahun 1991. Antara negara lain termasuklah Azerbaijan, Armenia, Estonia, Rusia, Turkmenistan, dan lain-lain negara lagi.
Saya ke sini atas urusan kerja, maka informasi agak terhad berkenaan tempat tersebut.
Cerita saya ini lebih kepada pemerhatian, sepanjang saya berada di sana selama 4 malam.
Perjalanan kerja kali ini adalah kedua terjauh dalam rekod saya selama hampir 18 tahun bekerja. Rekod pertama masih belum boleh ditandingi, perjalanan 48 jam saya dari Malaysia ke Chile tahun 2021 dahulu. 48 jam termasuk waktu transit, kerana pada waktu itu kebanyakan tiket penerbangan yang terdekat dah tak available. Maka berpusing 1 globe lah saya. 2 hari juga lah tak mandi.
Dari segi kiraan transit, samalah juga dengan perjalanan kali ini.
Dari Jeddah ke Istanbul dan Tashkent (ibu negara Uzbekistan) menaiki Turkish Airlines, dan dari Tashkent ke Urgench menggunakan Uzbekistan Airways. Urgench merupakan bandar di sebelah Khiva, bandarnya tidaklah besar, dari Urgench ke Khiva kira-kira 25 minit perjalanan menaiki kenderaan darat.
Satu cabaran apabila perjalanan yang lama ni adalah perbezaan masa, dan waktu menunggu. Dalam kes saya kali ini saya melalui 3 negara berbeza (termasuk tempat saya bermukim - Saudi, Turki dan Uzbekistan), dengan 3 time zone yang berbeza.
Pening-pening ayam juga.
Hari sebelum bertolak ke Istanbul, Turki, saya sempat berehat di rumah kurang 15 jam kerana baru balik dari urusan kerja di Jordan. Banyak sungguh perkara yang harus disyukuri, Allah memberi kesihatan yang baik,stamina yang cukup untuk menampung perjalanan ini subhanallah. Kerana setiap kali urusan kerja di luar negara, hati saya mesti berdebar-debar, walaupun perkara ini tidak asing bagi saya sejak belasan tahun yang lalu.
Maka setelah melalui 3 negara, tibalah saya ke negara yang tidak pernah terdetik di hati untuk saya ke sini.
Sesungguhnya bumi Allah itu terlalu luas, subhanallah wa bihamdih, subhanallah il adzim.
Allah menciptakan sesuatu perkara itu dengan penuh halus dan hikmah, agar kita hambaNya dapat menikmati setiap perbezaan yang Dia ciptakan sesama makhluk dan sentiasa saling belajar.
Tujuan Mesyuarat kami adalah untuk memperkenalkan bandar-bandar yang mempunyai nilai dan warisan-warisan Islam (Islamic Heritage), memperkenal dan mempromosikan tempat-tempat yang penuh dengan kesenian dan sejarah Islam, terutamanya di bandar-bandar kecil, yang belum cukup diterokai umum.
Pentingnya sejarah Islam diketengahkan, agar kita bukan sahaja memahami budaya negara tersebut, tetapi meraikan kehebatan pahlawan-pahlawan dan sarjana Islam suatu masa dahulu serta mengambil pengajaran.
Dan Khiva, subhanallah...tempat yang majestik.
Gambar ini bukan dari kamera saya. Ia di ambil dari jurugambar rasmi. Subhanallah.
Khiva, mendapat namanya dari Khawarizm, tempat kelahiran sarjana Islam antara yang paling terkenal dalam bidang matematik, algebra dan astronomi, Al-Khawarizmi.
Tempat ini dipenuhi dengan madrasah, masjid dan juga pernah menjadi kubu. Kalau dilihat tiang tinggi berwarna turquoise tu, ianya adalah minaret - iaitu menara yang bersambung dengan masjid, tempat muazin melaungkan azan. Namanya ialah Kaltaminor, ianya merupakan simbol kebesaran dan kedatangan Islam, yang dibina sejak tahun 1851 lagi.
Sehingga kini binaannya masih cantik, dipenuhi dengan jubin-jubin yang berwarna warni, dikelilingi oleh binaan-binaan berwarna perang tanah, Khiva juga dikenali dengan binaan yang diperbuat dari lumpur (mud) yang menjadikannya cantik secara semula jadi.
Secara peribadi, saya memang suka melihat bangunan-bangunan yang diperbuat dari bahan-bahan semula jadi, tanah, yang pada saya memberi warna yang sangat natural, dibandingkan dengan bahan-bahan binaan moden, sebab ia memberi perspektif yang sangat hebat tentang binaan pada zaman dahulu kala, yang membuktikan kehebatan pembina pada zaman dahulu, sehingga ia masih kekal utuh hingga hari ini.
Khiva tempatnya masih virgin. Virgin dalam erti kata dari segi seninya, budayanya, rakyat tempatannya, bidang pekerjaan dan ekonominya. Subhanallah. Aman dan kaya dengan hasil buminya sendiri, serta menggunakan hasil buminya sebagai sumber makanan sendiri dan ekonomi. Ia bukanlah bandar perindustrian, manakala suhunya agak panas sekitar 32C di waktu tengahari dan 23C di waktu malam. Udaranya agak kering, kerana penempatannya berdekatan dengan kawasan gurun - Karakum dan Kyzylkum. Cuacanya sepanjang tahun boleh jadi agak ekstrim, terlalu sejuk atau terlalu panas.
Alhamdulillah, waktu yang dipilih untuk urusan kerja ni bukan dipilih pada waktu sejuk, saya bukanlah peminat cuaca sejuk, tahan lagi saya panas dari sejuk. Hehe
Kebanyakan pekerja yang saya jumpa disana boleh saya katakan 100% adalah rakyat tempatan. Dari driver, waiter, pekerja hotel, cleaner, penjual di pasar, serta pernah saya lalu di celah-celah bangunan rumah yang sedang dibina, pekerja yang sedang membina bangunan juga semuanya rakyat tempatan. Saya ada bertanya pada rakan sekerja saya yang asalnya dari Uzbek (bukan Khiva), yang saya tak nampak pekerja dari luar di sana. Katanya ada, tetapi tidak ramai.
Kebanyakan dari mereka juga kurang fasih berbahasa Inggeris, masih teguh dengan bahasa tempatan iaitu bahasa Turki. Yang membezakan mereka adalah dialek. Rakan-rakan sekerja saya di pejabat yang datangnya dari negara berbeza, Turki, Azerbaijan, Uzbekistan, mereka semua apabila berkomunikasi dalam bahasa Turki. Rakan saya yang dari Uzbek juga boleh berbahasa Rusia, malahan bahasa Turki nya adalah lebih baik dari rakan Turki kami sendiri. Dialek dari Uzbek, tidak banyak berevolusi dari bahasa Turki beberapa generasi dahulu, berbanding generasi Turki yang kini. Kerana itu dia lebih faham dialek orang-orang tua di Turki, berbanding orang-orang muda Turki sendiri, atas faktor perbezaan bahasa yang tidak ketara. Dan, asal usul bahasa mereka juga datangnya dari Parsi (Persian), ada juga beberapa perkataan yang saya jumpa yang sama dengan Bahasa Melayu seperti Pahlavan, iaitu Pahlawan yang merujuk kepada warrior/heroes.
Dalam erti kata lain, negara-negara yang saya sebut di atas, mereka adalah serumpun, sama seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, yang sesetengah tempatnya kita masih menggunakan bahasa yang sama dan saling boleh berkomunikasi dalam bahasa tempatan.
Subhanallah, Allah Maha Kaya dalam menciptakan makhlukNya.
Dari segi rupa paras pula, pemerhatian saya melihat orang-orang tempatan Uzbek ini kebanyakan mereka sejenis bermuka lebar, matanya sedang-sedang besar sama seperti rakyat Asia, dan kulit mereka sawo matang. Kebanyakannya berdahi luas, dan air mukanya lebih lembut berbanding dengan negara di bawah Soviet Union yang lain. Tidaklah saya punya pengalaman ke negara Soviet yang lain, hanyalah melalui pemerhatian saya sahaja.
Sewaktu dalam perjalanan dari Tashkent ke Urgench yang hanya memakan masa kira-kira 1 jam 50 minit, kami dihidangkan dengan sandwich dan air. Oleh kerana masa transit yang agak lama iaitu 6 jam, dan fizikal yang agak keletihan, saya gigihkan juga untuk makan walaupun tersangatlah mengantuk kerana flight pada waktu itu seawal 6 pagi.
Saya tertidur tatkala pramugari memberikan sandwich, dan bila saya sedar, sandwich saya telah diletakkan di dalam poket tempat duduk di hadapan saya. Saya kira, orang di sebelah saya bantu untuk letakkan untuk saya kerana saya tertidur dan tempat duduk saya adalah di sebelah tingkap (my favourite seat spot).Sewaktu saya sedar, tanpa berlengah saya terus membuka sandwich tersebut, kerana tidak tahu bila lagi waktu makan seterusnya. Maka lebih baiklah saya mengisi perut dahulu.
Seorang rakan saya sewaktu dalam perjalanan dari airport ke hotel bertanya, sama ada saya telah sarapan. Saya katakan ya, merujuk kepada sandwich di dalam flight tadi. Dengan berseloroh dia bertanya, "Are you sure it is not horse meat, Farha?" Subhanallah!
Saya hanya terdetik beberapa saat sebelum makan tadi, tidaklah pula saya berfikir sampai ke situ. Setahu saya pemakan tegar daging kuda adalah di Kazakhstan (teringat kawan saya dari Sudan yang bekerja di Kazak, mengadu tentang tidak banyak pilihan daging di Kazakhstan, tak habis-habis dengan kuda katanya!), dan bukanlah di Uzbek. Saya pun terfikir, sebab itu jugakah saya lihat tidak ramai yang makan sandwich tersebut, atau mereka memang kepenatan?
"It looks and tastes like chicken, and im sure it is!" balas saya. Dan rakan saya pun mentertawakan saya. Terpinga-pinga saya, sebenarnya nervous juga dalam hati.
Apa-apapun, khalas, dah selamat dah pun saya makan alhamdulillah.
Makanan di Khiva, kebanyakannya segar-segar. Sumbernya dari bandar itu sendiri, sayur yang ditanam, daging hasil ternakan sendiri, yang membuatkan saya jatuh hati dengan makanannya. Tidak ada yang pelik pada saya, semuanya sedap belaka subhanallah.
Mereka pemakan daging merah tegar, red meat eater compared to white meat. Jarang saya jumpa hidangan lauk ayam. Dan yang pasti, pemakan sayur, tomato dan terungnya sangatlah fresh, dan cara masakannya sedap membuatkan kita suka untuk makan sayur. Ulam mereka banyak, terutamanya tomato, ditambah dengan daun mint, dan lemon, fresh sungguh!
Satu lagi hidangan mereka adalah mee yang diadun sendiri, berwarna hijau cair. Sama seperti handmade pasta dan mee kuning jika di Malaysia, tidak ada rasa kapur kerana ia di buat secara segar, warna hijaunya datang dari sayur dill (saya tak pasti apa namanya dalam bahasa Melayu). Dill ini jika kita ke pasaraya, selalunya diletakkan sekali dengan daun-daun seperti parsli dan mint. Maka air sayur itu dimasukkan sekali dengan tepung untuk di buat mee hijau. Mee tersebut di makan bersama daging dan kentang dengan sedikit kuah. Selain mee, makanan utama mereka adalah roti dan nasi. Nasi pulao/palov/palov/plov, dimakan bersama daging, carrot, lebih kurang sama seperti nasi daging di Malaysia. Di makan bersama-sama timun dan ulam-ulaman, kadang kala disertakan dengan sup daging atau sup ayam dan kentang.
Bagi yang sukakan pedas, boleh juga minta cili potong, sama seperti Malaysia, tetapi mereka menggunakan cili besar berbanding cili kecil. Boleh tahan juga pedasnya.
Satu lagi hidangan yang saya tak boleh lupa adalah terung. Pelbagai jenis masakan, kadang kala daging dibalut dengan terung, atau terung masak garing berkuah, semua sedap-sedap. Walaupun asalnya saya bukanlah peminat terung, tapi berlainan bila saya di sana.
Kebanyakan wanita-wanita di sana memakai long dress, diperbuat dari kain kapas, polos. Cantik dan sopan, sesuai dengan cuaca panas ketika itu. Ada yang bertudung, dan masih ramai lagi yang belum. Persamaannya di Khiva dan di Saudi, mereka saling memberi salam di mana sahaja apabila bertemu, antara sunnah yang amat digalakkan.
Pada hari terakhir saya dan beberapa delegasi Malaysia makan malam di sebuah restoran di Urgench, kami berkesempatan bertemu pemilik dan pengurus restoran. Kedua-duanya adalah lokal, pengurus adalah wanita. Rakan-rakan dari Malaysia mengucapkan terima kasih, dan memuji keenakan makanan di kedai mereka, dan sebelum berpisah, pengurus tersebut salam dan memeluk saya dan delegasi wanita lain sambil berkata, "Mashaa Allah you are a good muslim with proper hijab. We are still learning". Allahumma barik lahu, sesungguhnya kami juga masih belajar menjadi muslim yang baik, semoga kita semua saudara Islam sama-sama terus belajar dan menjadi hambaNya yang soleh.
Sama seperti negara kita pada zaman 60-70an dahulu, selepas tempoh dijajah, sedikit sebanyak prinsip Islam mula berkembang lagi, semoga dengan pertukaran budaya melalui pelancongan atau apa jua asbab sekalipun, menyebabkan ilmu dan budaya Islam sebenar itu terus berkembang, in shaa Allah.
Banyak lagi yang saya ingin berkongsi, dari segi jenis kenderaan yang digunakan dan macam-macam lagi. In shaa Allah ada rezeki di lain entri.
Saya kongsikan sedikit gambar-gambar di Khiva, sebagai memori 4 hari di sana. Semoga Allah melimpahkan rahmat di atas permusafiran pendek ini, Amin.
.jpeg)




.jpeg)
.jpeg)






No comments:
Post a Comment