Monday, March 11, 2024

Selamat datang 2024

Sebenarnya sudah ada deraf penulisan bagi tajuk ini. Tapi tergendala di tengah jalan, lalu langsung tidak diteruskan. Terlalu hanyut dengan emosi.

Kerana hari baru tahun baru 2024 dikejutkan dengan berita pemergian sahabat. Kita ini manusia kadangkala suka menggunakan perkataan yang tidak kena pada situasi. 

"Tak sangka."

"Dia masih muda."

"Tak ada sakit apa-apa pun. "

"Dia sihat je"

"Gone too soon."

Mahu kata apa kita ini? Hamba yang mempunyai kuasa untuk mengetahui perkara di luar kuasa kita? 

Mahu menggambarkan betapa terkejutnya kita, cukuplah dengan mendoakan.

Peringatan ini buat diri saya sendiri.

Kerana pahit kehilangan itu sesungguhnya sukar untuk ditelan.

Setengah orang kata, grief take time. No matter how long.

Pada saya, kesedihan atas kehilangan itu sentiasa ada, cuma kita memanjangkan pause nya. Bila tiba waktu teringat, kita sedih. Dan sedih kita mungkin tidak berkurangan, hanya terkejut yang telah hilang dan digantikan dengan rindu.

Ibarat terkapai-kapai. Dan hanya pada Allah kita berdoa dan mengadu. Agar dipertemukan semula ahli keluarga dan kawan-kawan yang kita senangi di tempat yang lebih baik suatu hari nanti, in shaa Allah.

Pernah ada ketika, saya berasa media sosial ini lebih menyakitkan. Di sosial media kita lebih banyak berkongsi gambar, dengan harapan satu hari ianya menjadi memori yang manis. Tidak dinafikan, saya suka mengambil gambar untuk disimpan sebagai memori. Kerana dengan gambar, saya akan lebih mengingati peristiwa yang terjadi pada waktu tersebut. Momen-momen manis, kejayaan dan sejauh mana kita pernah mendorong diri kita membuat sesuatu. 

Kadang kala senyum sendiri sambil berbisik dalam hati, wah..tak sangka aku pernah daki gunung. Walau hanya itulah sekali, itulah juga yang seronok. Dan itu jugalah checklist hidup yang saya berjaya capai,walau tak sebesar mana. 

Alhamdulillah.

Ada ketika, saya rasa media sosial ini menyakitkan. Kerana kita lupa selain ianya menyimpan momen-momen manis yang kita sendiri pilih untuk diletakkan di media sosial kita, kita juga menyimpan gambar-gambar dari watak orang yang kita sayang. Sehingga apabila ianya lalu di post kita sebagai memori, kita menjadi sedih.

Pernah terdetik di fikiran saya, sekiranya inilah perasaannya, saya tidak mahu berkongsi lebih banyak gambar di media sosial. Kerana dengan melihat gambar, hati akan menjadi sedih.

Semoga dengan kesedihan dan kerinduan ini membuatkan kita tidak lupa untuk panjatkan doa buat ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang telah menemui Sang Pencipta Allah Taala terlebih dahulu.

Al Fatihah.


Kelmarin, keluar gambar ini di sosial media saya.



Apalah yang boleh saya katakan. Menggamit memori sungguh. Ada di post saya sebelum ini, pemergian seorang yang saya anggap seperti kakak sendiri, yang sentiasa tahu soalan yang tepat untuk ditanya setiap kali kami berjumpa.

Walau tidak sekerap dahulu, semenjak saya melangkah masuk ke alam kerja kerajaan, kami akan cuba untuk berjumpa setahun sekali. Meluangkan masa, bukan hanya bertanya khabar, tetapi lebih dari itu. Kak Fifi, seorang yang tahu apa yang ada di hati saya, mudah untuk dia jangka apa yang ada dalam hati saya, dan seorang kakak yang sangat memahami dan pandai memujuk.

Cupcake di atas, cupcake terakhir hadiah tahunan dari arwah. Usah ditanya tentang sedapnya, saya jarang sukakan cupcake, but this is really an exception

Istimewanya dibuat khas oleh rakan sekolahnya dari sekolah rendah, yang berniaga kecil-kecilan dari rumah.
Saya masih ingat lagi waktu ini, kak Belle pertama kali menghubungi saya di hari kelahiran saya. Katanya ada delivery. Hari ini ada di mana,Whatsapp kak Belle. Yang saya belum pernah kenali.
Hari tersebut, saya di pejabat. Di antara waktu tengahari, saya ada urusan di bank.

Kak Belle ke sana ke mari standby, menunggu saya hingga akhir selesai urusan sehinggalah dia menghantar sendiri cupcakes pada saya di hadapan bank. Terdetik juga, kenapa tak ditinggalkan sahaja di pejabat? Istimewa betul delivery ni sampai mengikut saya ke mana sahaja asalkan sampai di tangan saya sendiri.

Rupanya kak Fifi tersayang buat suprise. Kata kak Belle, dia sampaikan amanah dari arwah agar hadiah ini sampai sendiri ke tangan saya. Bersekali dengan hadiah sejadah, yang saya kira mahal harganya mashaa Allah. 

Di hari pemergian kak Fi, dapat dilihat di media sosial rakan-rakan yang tidak putus-putus berdoa, bersedih atas berita yang diterima. Di waktu seluruh dunia bimbang akibat Covid, kak Fifi juga tidak terkecuali dalam statistik kematian. Innalillahi wa inna ilaihi roji'un..

Tidak ramai yang tahu kak Fi dijangkiti Covid, selepas menjaga ahli keluarganya yang terkena jangkitan yang sama, sehinggalah hari pemergiannya. Semoga Allah berikan setinggi-tinggi ganjaran buat kak Fifi atas kebaikannya menjaga ahli keluarganya.

Hikmah pemergiannya, terwujudnya silaturrahim yang baru diantara saya dengan kak Belle. Kami saling berkongsi cerita dan kesedihan. Lega rasanya apabila dapat berkongsi. Kata kak Belle, arwah sentiasa menyokong kawan-kawannya, lebih-lebih lagi kak Belle sahabat baiknya yang berniaga kecil-kecilan. Setiap bulan setiap tahun, arwah akan memberi senarai tarikh hari kelahiran kawan-kawannya kepada kak Belle. Untuk kak Belle sediakan cupcakes dan membuat penghantaran kepada mereka, termasuklah saya.

Subhanallah, baik sungguh hatimu, kakak.
Dengan kebaikannya jugalah kami mengingatinya, seorang yang ceria, penyayang, pemurah. Semoga dengan asbab kebaikan ini, Allah tempatkan arwah di kalangan para solehin..
Amin..

Dan selang beberapa hari yang lepas, muncul pula memori ni di Facebook saya.




Manis. Lama saya tenung gambar ini. Rindu.
Semoga Allah tempatkan sahabat ini di kalangan hambaNya yang beriman.

Post saya yang tertunda tempoh hari, ingin saya kongsikan tentang pemergian sahabat menemui Allah swt pada tanggal 1 Januari 2024. Kira-kira jam 10.00 pagi ketika saya di pejabat, masuk Whatsapp message di dalam group di kalangan kawan-kawan di MITI dulu bertanya tentang kesahihan berita itu.

Subhanallah, perginya kawan yang baik ketika dalam tidur. Fadzilah Abu Hasan, seorang yang unik karakternya, baik, dan disenangi ramai. Sesungguhnya Allah amat menyayangi hamba-hambaNya.

Fitrah manusia, bila perginya seorang yang kita kenal, secara automatik akan mengenang bila kali terakhir kita berjumpa dengannya, bila dan apakah perbualan terakhir kita dengan arwah, mencari-cari sebanyak boleh momen-momen manis baik dari gambar, perbualan, jenaka, dan perbuatan dengan mereka.

Subhanallah...alangkah baiknya jika kita sentiasa sedar untuk berbuat baik sesama manusia, kerana kita tidak tahu bila kali terakhir kita berjumpa dan berbual dengannya.

Arwah Fadz orangnya kelakar, blunt and blur sometimes. Pernah kami travel bersama, atas urusan kerja. Seperti biasa seusai mesyuarat, sewaktu di hotel..sambil menunggu bos turun dari bilik hotel, untuk kami sama-sama pergi dinner, saya menyiapkan report ditemani arwah.

Turunnya bos, duduk di sebelah kami..saya pun bertanyakan pada bos untuk semak report saya.

Bos tak tengok pun report yang saya tunjukkan di komputer riba, distracted dengan orang yang lalu lalang di hadapan kami.

Apa lagi, naikla darah saya sampai kepala. Sebenarnya bukan nak marah, tapi arwah Fadz yang memahami cepat-cepat bagi warning pada bos.

"Bos nak check sekarang ke tak? kalau tak kita pegilah makan dulu. Farha ni bukan boleh kalau lapar."

Hahahaha waktu-waktu seperti ini memang bersyukur ada teman yang memahami.
Kenangan manis dengan arwah, suka dia berseloroh kata saya orang yang kuat makan tapi badan tak naik-naik. Pernah arwah kata pada saya dan entah mengapa teringat-ingat ayat dia tu. Nanti u tunggu umur 35, your metabolism rate will drop tau.

Its funny when other than work, we love t talk about food, family, relationship and any other random things. Sebagaimana randomnya dia setiap kali message saya.
I will miss you, Fadz.

Selang dua hari pemergiannya ke rahmatullah, saya bermimpi tentangnya. Saya kongsikan dengan kawan yang rapat dengannya. Moga Allah lapangkan kubur you dan terima segala amalan dan kebaikan you, Fadz.

There was a random apology message through Whatsapp sent by arwah, kata minta maaf kalau terlebih kata and gurau when we met earlier. Dalam message tu kata, I minta maaf, bukan maksud I sekian-sekian, I am trying to improve in my words, in shaa Allah.

How sweet.

Ada beberapa gambar kita berdua, last was with our friends, Fae dan Alia, di hari terakhir saya di MITI sebelum berpindah ke Putrajaya. You commented few of my postings, I will miss that surely.

Gambar you selfie dengan phone I pun ada, kononnya nak test phone baru. Cerita hampir 10 tahun lepas. I simpan buat kenangan.

Pemergian Fadz di negara orang, membuatkan saya dan rakan-rakan yang ain yang bertugas di luar negara rasa sedikit terganggu. Kami sama-sama saling bertanya khabar dan perasaan masing-masing. Jauh dari keluarga, inilah ujiannya. Tapi itulah juga ujian untuk kita meningkatkan tawakal kita pada Allah swt.
Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Pelindung dan Perancang. Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.


Semoga dengan perkenalan singkat dan kenangan manis pinjaman Allah swt ini mendekatkan kita padaNya, dan semoga Allah temukan kita semua di tempat yang lebih baik. Ameen.

Al Fatihah buat insan-insan yang pernah bertapak di hati saya. Terima kasih Allah dan Selamat Datang 2024





No comments: