Sunday, September 22, 2024

Cuti di Malaysia dan kisah durian

Rindunya menulis.

Kadang kala banyak yang hendak ditulis. Masih ada beberapa post yang tergantung belum disambung lagi.

Tapi, kadang kala datang juga rasa kosong fikiran ni.

Alhamdulillah, bulan lepas, saya pulang bercuti ke tanah air.

Setelah genap setahun berhijrah di tanah Arab.

Mashaa Allah, sungguh. Siapa pernah sangka ke mana Allah rezekikan kita, dan masa begitu pantas berlalu, 

ا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، فَتَكُونُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ، وَالشَّهْرُ كَالْجُمُعَةِ، وَتَكُونُ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ، وَيَكُونُ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ، وَتَكُونُ السَّاعَةُ كَالضَّرَمَةِ بِالنَّارِ

Maksudnya: “Tidak akan berlaku Kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.” [Riwayat al-Tirmizi (2332)][Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban di dalam sahihnya]

 

Alhamdulillah hampir sebulan juga saya bercuti kembali ke Malaysia. 

Jujurnya, bercampur baur perasaan saya. Pertama, kerana tak pernah bercuti selama ini. Kedua, kerana tak pernah meninggalkan Malaysia selama ini. Dan perasaan saya, sudah pastinya teruja!

Saya ada sediakan list makanan yang saya ingin makan sewaktu balik cuti nanti. Kadangkala malu juga dengan diri sendiri, macamlah tak cukup makan setahun sampai kena sediakan list. Manusia dan nafsu memang tak pernah cukup, hehehe. Sudah ada macam-macam makanan yang sedap, masih dicari yang lain juga.

Rezeki saya dan keluarga, pulang ke tanah air sewaktu itu musim durian. Cerita tentang durian ni memang panjang. Kisahnya, saya memang penggemar (hantu) durian. Dari kecil, saya tak ingat umur berapa saya mula makan durian dan yang pasti terus jadi hantu durian!

Teringat kenangan waktu kecil, ayah bawa kami sekeluarga bercuti, tak silap saya ke Penang sewaktu kami di umur awal sekolah rendah. Ada satu gambar yang saya dan adik saya berdiri di tepi jalan besar (highway), kami sedang menikmati durian, di sebelah kami ada gerai durian dan sebuah bakul besar berisi durian. 

Dalam gambar tersebut, saya seorang sedang menikmati durian, adik saya hanya berdiri..dan ayah menunggu. Teringat waktu tu ayah kata, "Makanlah puas2, Ha. Orang lain dah habis dah."

Nikmat sungguh.

Sehinggalah saya sudah berkahwin, pernah suatu ketika saya teringin makan durian, waktu tu bukan musimnya. Rezeki ada gerai menjual durian di Bangi ketika itu, kami terus berhenti dan makan. Tutup mata dengan harganya pada waktu bukan musim.

Semuanya berubah sewaktu saya mengandung. Waktu itu kandungan saya 4 bulan, kejadian di waktu malam, kami pulang dari menziarahi saudara di Taman Melawati. Kami dalam kereta sewaktu ternampak gerai-gerai menjual durian di tepi-tepi jalan di hadapan. Saya beritahu suami yang saya nak makan durian. Sampai sahaja depan gerai durian, tekak saya terasa mual dan kembang seperti hendak muntah.

Terus kami bergerak dari situ dan selang beberapa minit kemudian saya muntah. Bau durian tu tak boleh diterima, menusuk sungguh pancaindera bau saya ni.

Yang kelakarnya, selama saya mengandung, saya tiada alahan..dan pernah 2 kali muntah, sekali selepas kena minum air gula selepas check up di Klinik , dan yang pertamanya adalah ini, bau durian!

Dari situlah bermulanya kisah penggemar durian yang tak boleh terima durian lagi...

Semuanya dah kembali berubah selepas 8 tahun, saya kini kembali kepada team penggemar durian.

Ceritanya bermula dengan jemputan sahabat kami, kami panggil kak Pon. Hobinya suka menjamu tetamu, dan pada waktu tu dia teringat kisah saya. Dijemput khas ke rumahnya untuk menjamu selera. Mula-mula dikeluarkan makanan-makanan lain..semuanya sedap-sedap belaka. Akhir sekali, dijamunya kami durian. Suami saya dah tersenyum lebar, sambil menjeling saya.

Secara jujurnya, selama 8 tahun, dipenghujung tahun ke-8 memang ada rasa teringin makan durian. Lagi-lagi bila lihat ada kawan yang berkongsi kuningnya isi durian di sosial media. Tapi, bila sampai ke bau tu..aduh...memang tak boleh langsung. Pernah sekali saya nampak gerai durian dan minta suami saya berhentikan kereta. Kami berhenti betul-betul di depan gerai tersebut. Nampak seperti penjual juga sudah bersedia untuk menyambut kami. Tapi bila buka sahaja tingkap, terus kembang tekak dan hidung saya, tak tahan! Terus cepat-cepat gerak dari situ. Kasihan betul penjual tu.

Bersambung dengan kisah di rumah kak Pon, kak Pon perlahan-lahan memujuk saya. "Makanlah Ha, jangan risau. Tak ada bau. Akak ada sediakan air yang ditapis dalam rumah, untuk hilangkan bau2nya".

Sikit-sikit dia pujuk kita.



Itu dia, pecah rekod selepas 8 tahun, hehe. Kejadian pada Ogos 2021.

 Maka, kami pun ambil kesempatan makan sepuasnya waktu pulang ke Malaysia tempoh hari, Alhamdulillah.

Saya terharu, bila balik, ada kawan-kawan yang sangat bermurah hati mengirim macam-macam jenis makanan. Ada yang mengirim pisang goreng, sanggup hantar di depan rumah, berserta sambal kicap. Ada seller yang saya biasa order makanan, bila saya balik Malaysia dan order, dikirimkan makanan extra subhanallah. Ada yang sampai hari terakhir saya di Malaysia bertanya lagi, ada apa-apa yang saya teringin makan yang saya belum dapat lagi. Allahuakbar, semoga Allah kurniakan ganjaran yang baik buat kawan-kawan yang bermurah hati ini. Amin..

No comments: