Kelmarin sewaktu di meja makan, kami berborak.
Selesai berbuka puasa, saya cerita pada suami, ibu dan anak saya tentang apa yang berlaku di pejabat hari tu.
Harini di pejabat, minggu pertama 3 hari selepas cuti raya Syawal, Secretary General (SG), atau Ketua di pejabat saya turun ke setiap pejabat untuk berjumpa dengan para pegawai untuk mengucapkan Salam Syawal.
Cerita kemudiannya bersambung, orang-orang di sini (merujuk kepada pegawai-pegawai di tempat kerja saya - Arab dan bukan Arab), apabila berjumpa akan memberi Salam, sambil bertanya "Kayfa haluk?" iaitu apa khabar? dan soalan seterusnya, "How's family?"
Memang sejak saya di sini, hanya diajukan soalan yang sama dari semua. Yang berbeza pun bahasa, sama ada bahasa Arab, atau bahasa Inggeris. Tidak ada soalan lain. Budaya mereka akan bertanya khabar kita, dan juga keluarga. Dan ianya habis di takat itu sahaja.
Merujuk kembali tentang ziarah oleh SG saya tadi, sama juga. Dia bertanya khabar semua, mengucapkan Eid Mubarak dan bertanya khabar keluarga. Tidak lebih dan tidak kurang.
Tiada kuih raya, gift set, ataupun hidangan air, baik dari pihak pegawai, mahupun pejabat dan SG sendiri.
Yang lucunya, selepas sahaja ketua lalu, datang seorang pegawainya ke tempat saya. Dengan terujanya dia berkata, "Selamat Hari Raye!" "Dah makan?"
Being the only Malaysian in this office, of course saya rasa lucu bila ada yang mengucapkan Selamat Hari Raya. Agak janggal untuk terima ucapan tersebut di sini. Bila mengenangkan, pegawai tu asalnya dari salah satu negara Arab juga, dan pernah mengajar di salah sebuah universiti di Malaysia selama lebih kurang 7 tahun sebelum ini.
Saya ketawa dan ucapkan Selamat Hari Raya kembali.
Bezanya budaya kita di Malaysia, setiap kali bertanya khabar, mesti diselitkan sekali soalan "Dah makan?", berbeza dengan di sini. Budaya mereka lebih berorientasikan keluarga. Apa juga mesti bertanya tentang keluarga.
Itulah uniknya perbezaan budaya. Saya kira kawan saya tu dah belajar budaya Malaysia sewaktu dia mengajar di sana sebab bila diingatkan kembali, setiap kali saya terserempak dengan dia, dia akan tanya, "Dah makan?"
Pernah juga saya terfikir untuk bertanya soalan yang sama bila terserempak dengan rakan-rakan sekerja, terutamanya ketika terserempak di dalam lif. Pernah sekali saya bertanya, tapi agak janggal pada mereka untuk menjawab. Sepertinya tidak bersedia dengan jawapan, lebih kepada tak expect soalan saya ni. Hahaha. Selepas dari tu saya tak pernah bertanya, saya copy cara mereka, Kayfa haluk? How's family? Tamam?
Anak saya mencelah, katanya cikgu yang mengajarnya di sekolah dan pernah menetap di Malaysia juga tanya soalan yang sama apabila terserempak dengan dia. "Dah makan?"
Nampak sangat priority kita yang sukakan makanan, hehe.
Di sini, tak janggal apabila berjumpa dan bertanyakan hal keluarga. Maksud saya, bukan untuk ingin tahu secara mendalam. Cukup sekadar bertanya khabar keluarga dan mendoakan untuk mereka.
Tidaklah bertanya dengan niat untuk tahu berlebih-lebih.
Saya pernah menonton satu video di intagram satu ketika dulu, pertemuan di antara Presiden Turkiye, Erdogan dengan Elon Musk. Selesai bersalam, Presiden bertanyakan khabar dan khabar keluarga Elon. Ianya adalah culture.
Ada netizen-netizen yang komen, "kenapa dia tanya tentang keluarga?" lalu terus membuat andaian bahawa Presiden berminat mengambil tahu tentang perkahwinan Elon Musk kerana pada waktu itu Elon membawa anaknya bersama dalam pertemuan bersama Presiden, ditambah lagi sebelum itu kecoh khabar angin mengatakan Elon baru sahaja berpisah dengan pasangannya.
Untuk yang faham budaya sesetengah negara, ia adalah perkara biasa.
Bagi sesetengah budaya seperti di Malaysia, ianya bukan kebiasaan dan sensitif bagi sesetengahnya.
Bertanya hal dah makan dan makan apa lebih menarik di Malaysia. Mana tahu boleh kongsi tempat makan sedap-sedap. Hehe
P/S : Semalam ada seorang lagi pegawai kebetulan lalu dan singgah di bilik saya. Saya terima ucapan yang sama. "Selamat Hari Raya!" Hows family?"
Bila ada yang berbahasa Malaysia dengan saya tetapi saya tidak cam, mengingatkan saya yang saya pernah terserempak dengan rakan ini sewaktu hari pertama saya melapor diri di sini. Dia adalah antara orang pertama yang saya jumpa di lobi pejabat.
Saya meminta bantuan dia untuk merakam gambar saya di lobi pada hari pertama sebelum dia kemudian berbahasa Malaysia dengan saya. Terkejut saya.
Bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Saya tak ingat dari negara mana. Segan untuk bertanya lagi. Tapi ada satu kata-kata dia yang saya ingat sewaktu itu (saya masih terkejut, rezeki saya jumpa dengan orang boleh berbahasa Malaysia di hari pertama bekerja di negara Arab). Katanya, Malaysia is a very good country. We owe you a lot, your country help many people like us to get education.
Subhanallah. Dan saya juga pernah dapat review yang sama dari orang lain juga.
Betapa besarnya jasa negara kita pada negara Muslim lain. Semoga kita dapat terus dapat memberi manfaat pada yang lain.
Kecil pada kita, sangat besar pada mereka.
No comments:
Post a Comment