Wednesday, April 23, 2025

Ramadhan & Syawal 1446H

Hati masih tisu. Kadang kala rasa sebu.

Sekali sekala mengalir air mata tatkala mahu pejamkan mata.

Sudahnya berjurai air mata di bawah selimut sehingga tertidur.

Pernah terbaca, grieving takes time. Time will heal. 

I disagree. Pada saya, kita hanya pause kesedihan dan gantikan dengan kerinduan. Jalani hari-hari selebihnya seperti biasa. Luka rindu tetap sama.

Semoga Allah tingkatkan kekuatan dan iman kita agar kita menjadi anak soleh, dimakbulkan doa kita dan kumpulkan kita semua di syurgaNya nanti, Ameen.

Hidup ini indah dengan pelbagai emosi. Allah tetapkan sambutan Ramadhan dan Syawalku tahun ini dengan Ibu disisi. 

Memang begitulah cadangannya sebelum ayah pergi, dan aturan Allah itu juga sebaik-baik aturan.

Tahun ini tahun kedua kami sekeluarga kecil menyambut Ramadhan dan Syawal di bumi Anbiya'. Memilih untuk menjadi anak perantau.

Perasaan? Allah sahaja yang tahu. Sejujurnya saya gembira, walau tidak dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri bersama keluarga besar di tanah air. Di sini sambutan Aidilfitri tidak semeriah Malaysia. Cukup sekadar solat Aidilfitri beramai-ramai memeriahkan masjid, anak-anak kecil berpakaian cantik melebihi hari-hari biasa, ibarat puteri raja dengan gaun kembang dan berwarna warni, mengelip dan dengan ikatan rambut yang cantik bagi anak perempuan. Diadakan juga aktiviti dan penbahagian hadiah-hadiah kecil bagi anak-anak di masjid ibarat sukaneka. Menggembirakan hati anak-anak. 

Yang lebih meriahnya di sini adalah Ramadhan. Bagaimana orang di sini menghidupkan ibadah dalam setiap perkara. Terasa sungguh istimewa. Rumah-rumah mula memasang lampu lip lap lip lap, menerangi kawasan sekitar. Begitu juga kedai-kedai, lampu-lampu besar bulan dan bintang menerangi segenap ruang. Salah satu cara menunjukkan kesyukuran dan keterujaan bertemu dengan Ramadhan.

Masjid-masjid sekitar sentiasa penuh.

Penuh dengan jemaah dan sedekah. Terasa penuh barakah. Setiap orang berlumba-lumba membuat amal kebaikan dari sebesar-besar sehingga sekecil-kecil. Kecil pada pandangan manusia tetapi besar ganjarannya pada Allah. Pokoknya percaya kepada Allah swt.


Antara infak di surau-surau dan masjid. Air minum memenuhi ruang bagi jemaah yang bertarawikh dan solat di masjid. 

Teringat pengalaman tahun lepas Ramadhan saya sekeluarga solat tarawikh di masjid lain dan berdekatan dengan rumah juga, selain air, ada hari kami menerima tasbih digital dan bukan digital, ada hari kami menerima kayu sugi. Macam-macam idea orang merebut pahala berlipat kali ganda. Semoga Allah terima segala amal ibadah kita dan saudara seIslam kita Ameen.

Cerita sehari sebelum 1 Syawal, kami ke hypermart berdekatan di rumah. Keadaannya sama seperti di Malaysia juga, ibarat dilanda taufan. Manusia membeli macam-macam dengan rakusnya. Ibarat tiada hari esok. 

Hari sebelum raya saya ke kedai berhajat  membeli strawberry atau buah yang sesuai untuk saya hiaskan di atas chocolate mousse. Cadangnya untuk dibawa ke rumah rakan kami pada hari esok 1 Syawal. Terkejut tengok rak-rak buah yang bersepah dan hanya tinggal beberapa pack yang buahnya tidak lagi elok atau belum masak. Syukur ada pistachio, boleh saya gantikan dengan buah.

Kisah raya.

Malam sebelum diumumkan esoknya raya, saya masak rendang ayam, kuah lodeh dan nasi impit sebagai juadah berbuka puasa. Ngam-ngam rendang pun masak, azan maghrib pun berkumandang, dan keluar pengumuman esok raya (30 Mac 2025). Sudahnya, itu sahajalah cerita rendang lauk buka puasa Ramadhan hari akhir merangkap raya kami. 

Esoknya selepas suami, anak dan Ibu selesai solat raya, kami ke rumah sahabat kami. Memenuhi jemputan, murahnya hati mereka menjemput kami, sama-sama keluarga kecil di perantauan.

Rumah rakan kami kurang dari 10minit perjalanan dari rumah kami menaiki kereta.

Syukur ada yang sudi menjemput sama-sama meraikan pagi Syawal. Sama seperti tahun lepas, kami sama-sama buka puasa hari terakhir Ramadan dan beraya bersama pada 1 Syawal. 

Sebelum tu, kami sempat singgah di Taybat International Museum berdekatan dengan rumah, untuk sesi fotografi. Saya sentiasa dan sangat sukakan rekabentuk muzium ni. Rekabentuk sejarah negara Arab, bertingkap kayu. Juga sebagai memori kami beraya bersama Ibu.




Allahumma bariklahu.

Alhamdulillah atas peluang dapat beraya bersama-sama dengan keluarga tersayang.


Seronok Fawwaz dapat duit raya dari aunty Sue dan uncle Faizal. Mereka antara kenalan Malaysia terawal yang kami kenal sewaktu kami mula berhijrah ke Jeddah. Baiknya hati mereka, minggu pertama kami di sini mereka bawa kami melihat kawasan sekitar dan makan tengahari di restoran di Jeddah. Semoga Allah luaskan rezeki kak Sue dan En Faizal sekeluarga.

Syawal dan Ramadan juga masanya kami rakan-rakan rakyat Malaysia di Jeddah berkumpul, makan, solat dan bertarawikh, mengeratkan silaturrahim sambil mengubat rindu dengan keluarga di tanah air.

Merekalah keluarga kami di sini. Gambar-gambar sekitar Ramadhan dan Syawal di bumi Jeddah.





Kak Sue dan kak Yati yang sentiasa ceria, antara rakan terawal kami sekeluarga di Jeddah.





Sambutan Gema Aidilfitri rakyat Malaysia di Jeddah, Taif dan Makkah 18 April 2025, 
20 Syawal 1446H. Seronok dan meriah. Berjumpa rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang pekerjaan  - paling ramai jururawat, ada adik-adik baru habis training Saudi Airlines cabin crew, ada jurutera, akauntan, chef dan macam-macam lagi.


Raya di rumah rakan di Mekah minggu lepas.

Juadah nasi daging, soto, ayam masak merah, kuih-kuih Melayu semuanya sedap-sedap belaka Alhamdulillah.

Meriah dan seronok, Alhamdulillah. Allah menetapkan tempat kita bermastautin dan menemukan kita dengan hambaNya atas asbab untuk berbuat kebaikan, mengeratkan silaturrahim dan agar kita sama saling mengingatkan dan berkasih sayang. Semoga Allah memberkati ukhwah ini dan semoga kita semua dapat bertemu semula di tempat yang lebih baik, Amin.


No comments: