Ayah pulang ke rahmatullah pada 4 Februari 2025 yang lepas, tengah malam waktu Malaysia, 15 Shaaban 1446H, kurang sebulan sebelum masuknya Ramadhan.
Hari-hari sebelumnya terasa berat. Sentiasa teringat.
Allah kurniakan adik-beradik yang saling sayang menyayangi. Bergilir menjaga ayah di IKN pada waktu-waktu terakhir ayah di alam sini, saya berpeluang dapat bercakap, melihat ayah dari skrin telefon setiap kali adik-beradik saya di sana. Hampir setiap hari.
Pernah tak kita melihat permandangan yang terlalu cantik yang Allah ciptakan, dan kita tak mahu kehilangan permandangan dan perasaan sayangnya pada ciptaan Allah itu, seperti itu jugalah perasaan saya setiap kali membuat panggilan video dengan ayah.
Kita hanya mahu lihat dan berdoa sebanyaknya.
Ayah orangnya kuat. A risk taker he is. Nothing stops him from doing things he wants to do in this life.
Prinsip itu juga diterapkan pada anak-anak. Do not limit yourself. Don't see things as hard. Buat je.
Dengan cara itulah kami diajar menjadi berani. Berani berjauhan dari keluarga dari kecil, berani membuat keputusan atas tanggungjawab kami sendiri, berani travel sendiri di waktu umur yang masih muda, berani untuk explore. Jangan takut untuk membuat salah dan kalah. Yang penting, kita belajar.
Kira-kira 17 tahun lepas, tahun 2008, ayah pernah secara randomnya belikan tiket penerbangan untuk saya ke Bali. Saya seorang. Ketika itu umur saya 24 tahun.
Saya ingat lagi. Ketika itu, Air Asia baru sahaja memulakan perjalanan ke luar negara. Penerbangan tambang murah, low cost carrier. Tony Fernandes membeli Air Asia pada tahun 2001. Ketika itu belum lagi famous tagline, Now everyone can fly.
Ayah mengambil kesempatan dan risiko beli tiket murah ni. Dia beli, lepas tu dia hantar kita pegi sendiri. Begitulah ayah. Adik saya pada waktu tu belajar di Indonesia. Ayah kata nanti saya akan ke Jakarta sendirian, akan ada kawan keluarga menjemput untuk tinggal di rumahnya beberapa hari, sebelum adik saya ke Jakarta dan kami sama-sama ke Bali.
Tahun 2008, Bali masih lagi cantik dan tidak banyak pembangunan-pembangunan komersil atas tujuan pelancongan. Sahabat sebilik adik saya di tempat belajar di Indonesia asalnya dari Bali. Keluarganya di Bali. Ibunya mengajar subjek agama Islam di sebuah sekolah di Bali.
Masih lagi saya ingat, pada waktu ini, akses makanan halal agak terhad. Kerana penduduk Bali kebanyakannya beragama Buddha. Sepanjang perjalanan kami, banyak didapati kedai-kedai makan yang menjual Babi guling.
Alhamdulillah, ibu kawan kami sering masak untuk kami setiap hari kami di sana. Teringat kami menaiki motor bertiga ke pantai yang namanya Sanur, cantik dan masih belum terusik. Memori indah saya direzekikan ke luar negara dan meluangkan masa bersama adik saya dan keluarga sahabatnya, subhanallah.
Beberapa kali ziarah saya dan keluarga pada tahun-tahun kemudiannya, kami menziarahi keluarga sahabat adik saya. Begitu juga mereka apabila mereka ke Malaysia.
Pernah sekali pada tahun 2015, saya menghadiri mesyuarat negosiasi di sana. Tidak sempat menziarahi keluarga sahabat kami, keluarganya datang ke hotel tempat saya menginap dan bermesyuarat, semata untuk bertanya khabar dan menghadiahkan ole-ole. Setiap kalinya juga begitu, subhanallah. Semoga Allah memberi setinggi balasan atas budi baik mereka.
Pengalaman yang lain pula dengan 3 tahun lepas, sewaktu saya dan keluarga saya ke sana untuk berlibur. Keadaannya berbeza, tanah pantai yang dahulunya halus dan bersih, semuanya sudah di'ganggu' asbab kerakusan manusia. Kawasan-kawasan yang dahulunya masih terpelihara alam kejadiannya, habis di tarah atas alasan pembangunan ekonomi pelancongan.
Kenangan kami 3 beradik, tak silap saya waktu ini di Penang.
Itulah caranya arwah mengajar kami mengenai perspektif dunia dan kehidupan.
Februari 16, 2025. 2 hari sebelum saya pulang ke Jeddah, ziarah pusara arwah ayah.
Allah kurniakan 'hadiah' buat saya, ketika sedang membaca Yasin, terhidu bau harum halus sahaja baunya di kawasan pusara. Bau yang tidak pernah dijumpa di mana-mana sebelum ini. Semoga dengan 'hadiah' ini dapat memujuk hati saya, memberi kekuatan dan kelapangan hati. Semuanya rahsia Allah swt.
Semoga Allah ampunkan dosa ayah, terima amal ibadah dan kebaikan ayah, lapangkan kubur ayah, serta tempatkan ayah di kalangan para solehin...Amin...



No comments:
Post a Comment