Lapangan terbang Istanbul, 13 Februari 2026, 25 Sha'aban 1447H
Genap setahun seminggu kepulangan arwah ayah ke rahmatullah.
Dalam perjalanan dari hotel ke airport, mahu pulang selepas mission dari Istanbul ke Jeddah, saya bersama 3 orang rakan sepejabat, seorang dari Turki, Pakistan dan Nigeria.
Seperti biasa, kenderaan dari airport ke hotel dan sebaliknya, kenderaan yang biasa digunakan adalah kenderaan bersaiz sederhana seperti Vito,yang boleh memuatkan penumpang sehingga 9 tempat duduk termasuk pemandu.
Ramai atau tidak penumpangnya, adakalanya (atau kebanyakannya) membuatkan kami mabuk kenderaan (motion sickness). Selain dari rekabentuk keretanya yang besar, gabungan bentuk muka bumi yang berbukit-bukit, ditambah pula jika tempat duduk membelakangkan pemandu, dengan pemandunya yang agak kasar, trafiknya lagi, boleh mual dan sakit kepala jadinya.
Kali pertama saya ke Turki pada tahun 2021. Sewaktu tu saya masih berkhidmat di Kementerian, dan nasib saya baik kerana dapat tempat duduk di belakang yang menghala ke depan sama seperti pemandu. Pada waktu tu saya pegawai paling junior, duduk pula bersama pegawai-pegawai kanan dan juga KSU, saya berdoa sebanyak-banyaknya agar tak muntah. Ketika itu kami ramai dan ruangnya cukup-cukup untuk kami, jadi hentakan dan goyangan kereta taklah begitu terasa kerana ruang yang padat. Saya ingat lagi waktu itu saya mengunyah chewing gum, tak tahu pula yang ianya dapat membantu saya yang pening-pening pada waktu tu. Hasil kunyahan sedikit sebanyak dapat mengurangkan pening dan membuatkan saya sendawa dan lega selepas sampai ke destinasi, alhamdulillah. Sejak dari itu, setiap kali saya travel terutamanya ke Turki, saya akan bawa gula-gula getah dan ianya sangat membantu saya dan kawan2 saya pada kali ni.
Kembali ke cerita perjalanan kami dari hotel ke airport. Sahabat Turki saya yang seorang ni sejenis yang chatty. Mulutnya sentiasa ada sahaja yang ingin diborakkan. Tak padan dengan dia sendiri yang pernah motion sickness. Kali ini ceritanya tentang kenapa di Turki, terdapat banyak dan mudah dijumpai kawasan perkuburan. Katanya, antara sebab kenapa di Turki mudah kita nampak kubur, ibarat ianya adalah sebahagian dari kawasan bandar dan bukannya ditempatkan di kawasan-kawasan terpencil dan jauh dari bandar tumpuan yang sibuk adalah supaya kita sentiasa ingat pada kematian.
Jika diperhatikan, di kawasan bandar-bandar sekitar Turki, baik bandar besar mahupun kecil, kubur terletak berdekatan atau bersebelahan dengan masjid. Masjid-masjid juga banyak dan terletak berdekatan dengan kawasan perumahan dan juga pasar-pasar. Ibaratnya satu pusat komuniti yang menempatkan beberapa kawasan yang terdiri daripada masjid, kubur, pasar dan sekolah, semuanya dalam satu tempat, seperti nukleus.
Objektifnya adalah supaya apabila penduduk keluar rumah pada waktu pagi, menguruskan hal-hal dunia, i.e : pergi ke pasar, hantar anak sekolah, ke tempat kerja dan sebagainya, apabila kita terpandang kubur, akan mengingatkan kita pada mati, kita akan ingat pada ahli keluarga yang telah pergi meninggalkan kita serta mendoakan mereka. Pokok pangkalnya supaya kita akan sentiasa ingat bahawa kita adalah hambaNya. Dalam apa juga urusan kita di dunia, kita akan kembali pada Pencipta kita. Allahuakbar.
Kubur orang-orang Turki, (sama seperti perkongsian saya sebelum ini di Part X : Bosnia Herzegovina), bagi lelaki, diletakkan batu nisannya seperti bentuk serban - 2 meter panjangnya sama seperti kain kapan. Serban yang biasanya dipakai orang alim pada waktu hidupnya, agar sentiasa mengingatkannya tentang mati. Dan apabila waktu tidur, serban atau kain dua meter itu dibuka dan diletakkan di bawah alas bantal supaya sentiasa ingat akan mati.
Subhanallah, betapa tingginya hikmah orang zaman dahulu kala.
No comments:
Post a Comment