Wednesday, January 21, 2026

Part 6 : Subuh di Mostar, Herzegovina

Kami tiba di Mostar kira-kira 30 minit sebelum masuk waktu maghrib. Pada waktu musim sejuk, seperti ini, cuaca cepat gelap. Waktu maghrib di sini kira-kira jam 5.30 petang.

Memandangkan kami semua sudah lapar, tourist guide hanya memberikan sedikit gambaran singkat tentang Mostar dan beberapa rekomendasi tempat makan sebelum melepaskan kami untuk aktiviti bebas selama satu jam. Kami dikehendaki berkumpul semula di kedai cenderahati di hujung jalan tempat kami diturunkan. 

Kami terus ke kedai makan berdekatan yang terletak di antara banyak deretan-deretan kedai. Subhanallah, cantik sungguh bandar Mostar.












Selesai makan, kami mengambil gambar di kawasan berdekatan. Cuba untuk mendapatkan gambar sunset, tetapi tak sempat. Sempat kami mengambil gambar di
Old Bridge, dan subhanallah, laungan azan Maghrib berkumandang dari masjid berdekatan.


Rezeki bertemu sahabat lama

Kami sekeluarga memilih untuk menetap semalaman di bandar Mostar. Sementara kami menunggu ahli kumpulan dan tour guide kami di hujung jalan tempat driver turunkan kami pada awalnya, saya terserempak dengan sahabat sekelas saya sewaktu sekolah menengah. Subhanallah! Sejauh-jauh tempat, sebanyak-banyak waktu, Allah temukan kami di bandar kecil Mostar. Murah sungguh rezeki kami, alhamdulillah. 

Saya dan Zaharah sama-sama sekelas sewaktu di tingkatan empat dan lima. Dan kami sekelas memang agak rapat. Saya tak ingat bila waktu terakhir kami pernah jumpa, mungkin 20 tahun lepas, atau lebih. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang.

Kami juga ditakdirkan menetap di hotel yang sama. Dia juga baru sampai dan akan ke Dubrovnik keesokan harinya.

Kami kemudian mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kepada tour guide dan driver kami. Mereka akan terus pulang semula ke Sarajevo bersama pelancong-pelancong yang lain manakala kami akan tinggal semalaman di Mostar.

Kami kemudiannya check-in ke hotel. Seusai meletakkan beg dan solat, kami keluar semula. Waktu gelap di kala musim sejuk agak awal. Maghrib kira-kira jam 5.30 petang dan oleh kerana masih mempunyai sisa masa, kami buat keputusan untuk sambung berjalan di bandar kecil Mostar.

Cuaca sejuk dan dingin. Kebanyakan kedai-kedai kecil menjual barangan telah tutup. Tutup lebih awal dari biasa kerana hari minggu. Yang masih beroperasi, ada beberapa kedai makan dan kafe-kafe kecil.

Kami singgah minum di kafe Turki, niat hanya untuk minum minuman panas. Menunya biasa sahaja, tetapi ada juga menyajikan kopi tradisional Bosnia. Interiornya cantik dan gah. Suhu kafe juga membuatkan kami berasa nyaman berbanding di luar yang sejuk.

Seterusnya kami terus berjalan, tidak ramai pelancong pada ketika itu. Aman dan sunyi. Tempatnya bersih, alhamdulillah.

Ketika kami dalam perjalanan pulang ke hotel, selepas melalui sebuah kafe kecil, ada seorang lelaki menegur kami.

"Assalamualaykum! Are you from Malaysia?" tegurnya sambil duduk dan meneguk minuman panas.

Kami memalingkan badan ke belakang ke arah lelaki tersebut, menjawab salam dan hanya angguk mengiyakan.

Takut juga, terlalu ramah dengan orang yang tak dikenali.

"Please come to my masjid for Fajr tomorrow, morning! It just nearby!" sambungnya lagi dengan penuh ramah.

In shaa Allah! balas kami. Kami terus berjalan.

Sedang kami berjalan, datang lelaki tersebut. Nampak gaya awal tadi tergopoh gapah menghabiskan air. Tau-tau, dia sudah berada berjalan di sebelah kami.

"Please come, don't worry. I am just trying to help you. You stay around here? nearby?"

Suami saya angguk.

"The masjid is just in front here on the left. You can easily find it. Please welcome we can meet during Fajr."

Dia perkenalkan namanya, kemudian dia terus berjalan menghala ke kiri ke beberapa bangunan berdekatan. 

Kami lihat di tempat lelaki tersebut masuk, di celah-celah bangunan. Lihat di atas, ada empat minaret yang jaraknya lebih kurang 100meter setiap satunya.

Saya terfikir, ada berapa masjid di sini? Empat ke? Saling berdekatan semuanya. Masjid yang mana satu yang lelaki tu ajak kami?

Di sini, saiz masjid adalah lebih kurang surau di Malaysia. Mereka memanggilnya masjid. Tetapi kebanyakannya mempunyai minaret.

Cuaca sudah gelap. Kami terus pulang ke hotel.

Keesokan paginya, suami dan anak saya ke masjid kira-kira 5 minit selepas azan Subuh berkumandang. Subuh di sini kira-kira jam 5.20 pagi.

Selang beberapa minit, mereka pulang. Katanya pintu pagar masjid berkunci dan mereka tak dapat masuk.

Baru sahaja anak saya mengangkat takbir untuk solat, iqamah berkumandang. Suami saya kemudiannya turun semula untuk solat berjemaah ke masjid.

Tidak ramai jemaah, kata suami saya. Hanya imam, dan dia. Lelaki semalam, tidak ada. Mungkin di masjid yang lain.

Asbab seorang lelaki, Allah rezekikan dan memanggil kita ke masjid. Alhamdulillah.

Keesokan harinya selesai sarapan di hotel, kami berjalan-jalan lagi di sekitar Mostar. Kami ke kedai roti kecil berdekatan hotel untuk membeli alas perut untuk pulang ke Sarajevo.


Bandar Mostar terlalu cantik, subhanallah. Saya pasti akan merindui suasananya yang aman, tenang dan mendamaikan.
















No comments: