Cuti musim panas tahun ini, sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Kami pulang ke Malaysia. Istimewanya tahun ini, adik perempuan bongsu saya ke sini untuk mengerjakan umrah sebelum kami pulang.
Semoga dikurniakan umrah yang mabrur adik dan suaminya, Ameen.
Saya membuat kejutan kepada Ibu, tidak memberitahunya akan kepulangan kami. Tidak ada dalam pelan asal untuk membuat kejutan, Ibu hanya sangkakan kami akan bersama adik di Jeddah. Gembira dan mengalir air mata Ibu saat memeluk cucunya.
Subhanallah.
Jauh dari keluarga membuatkan kita lebih nampak 'banyak' perbezaan yang berlaku di sekeliling kita. Sebab kita jauh, pulang sekali dua setahun, dah tentu nampak banyak bezanya berbanding berjumpa sehari-harian.
Termasuklah bagaimana Ibu kita yang sudah semakin tua, semakin sensitif. Kalau dulu duduk berdekatan dan selalu jumpa, tak mungkin boleh nampak situasi ni.
Manusia dan fitrah yang Allah jadikan, yang jauh pasti akan dirindui dan lebih 'nampak' disayangi.
Setiap kali balik berjumpa keluarga dan kawan-kawan, pasti akan ada moment yang diluangkan untuk 'update' tentang kehidupan masing-masing.
Dua tahun lepas sewaktu kami pulang bercuti, suami kepada seorang sahabat saya telah pulang ke rahmatullah. Saya masih ingat wajahnya yang sugul, dan sedih sewaktu kami jumpanya di kubur. Saya menjadi saksi sahabat saya seorang isteri dan ibu yang baik. Menjaga suaminya yang sakit, kerap berulang alik menghantar suaminya ke pusat dialisis, ke hospital, dalam masa yang sama menjaga anak-anaknya. Struggle, tetapi tetap ikhlas berkasih sebagai isteri dan ibu.
Baru-baru ini kami makan tengahari bersama. Seusai makan,dia bangun kerana perlu pulang awal. Ditariknya tangan saya, "Farha, I ada benda nak cakap sikit".
Nervous saya.
Kami masuk ke sebuah bilik kecil di restoran. Dia memegang tangan saya, tenung mata saya dengan senyuman.
"Kenapa ni?" tanya saya.
Senyap, senyum manis terukir di wajah sahabat saya.
"Nak kahwin ya?" tanya saya lagi.
Senyumnya bertambah manis.
Subhanallah.
Allahuakbar. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Allah sebaik-baik Perancang dan yang Maha Mengetahui.
"Allah hantarkan pelangi selepas hujan, Farha. Doakan I dan anak-anak I"
Besar dan gembiranya hati saya untuk sahabat saya.
Sesungguhnya Allah yang Maha mengatur, meletakkan perasaan sedih, gembira dalam hati kita bila-bila masa yang Dia mahu.
Cerita lain pula, bila sahabat lebih 25 tahun yang sama-sama dari sekolah menengah, baru-baru ini dikurniakan cahaya mata setelah lebih 15 tahun berkahwin. Kami selalu berbincang perihal anak. Doktor pakar mana yang boleh bantu, makanan apa yang sesuai, ke mana harus kami pergi dan jumpa, dan terus usaha dan tawakal.
Saya saksi usaha dia dan suami bersungguh-sungguh untuk mendapatkan cahaya mata, we always there for each other, share and talk about life. Hanya Allah yang Maha Mengetahui, dari selepas kahwin sewaktu umur 26 tahun (kami berkahwin lebih kurang tahun yang sama), Allah kurniakan sahabat saya cahaya mata pada umur 42 tahun. Alhamdulillah, Allahuakbar. Kita semua bergerak atas perancangan dan takdir Allah. Hanya usaha adalah hak kita.
Bahagia apabila kita sentiasa diingatkan dengan perkara ini.
Semoga kita semua menjadi hamba yang sentiasa mengingati Allah dan sentiasa bersyukur, Ameen.
No comments:
Post a Comment