Tuesday, August 18, 2026

Diplomat

Ada ketika sewaktu kita berasa kurang bermotivasi, Allah hadirkan kejadian yang membuatkan kita berfikir dan ketawa.

Kejadian lucu kelmarin apabila saya pulang dari pejabat menaiki Uber. Di sini, jarang sekali pemandu 'berbual' dengan penumpang, tidak seperti di Malaysia. Orang di Malaysia secara general lebih ramah dalam konteks ini. Saya pula jenis selesa tidak bersembang di dalam kereta dengan orang yang saya tidak kenal. Maka kejadian hari ini lain dari hari-hari sebelum ini. 

Pemandu Uber ini agak muda, saya jangkakan Gen Z. Berbeza dengan pemandu-pemandu yang sebelum ini. Sewaktu saya masuk ke dalam kereta, dia cuba untuk memulakan perbualan. Tetapi perbualan kami agak terbatas. Dia cuba berbahasa Inggeris dengan saya, "u speak Arabic?" tanyanya.

"A little. Anta taqallam Inglizi?", saya pula test Arabic sendiri. 

"La', Arabi" katanya.

Maka bermulalah komunikasi ayam itik kami, translate menggunakan teknologi melalui telefon bimbit.

Curious saya melihat dia yang agak gigih memandu sambil menaip untuk berbual dengan saya. Apalah agaknya yang dia nak tahu.

Kami berbual pendek. Sambil dia bertanya, saya menjawab. 

Dia tanya kenapa di luar pejabat saya banyak bendera? Pejabat apakah ni? Any problem?

Saya tak faham, cuma menjawab, "Ma fi problem". Saya akui, saya tidak berasa seperti mahu berbual. Tetapi bila tengok anak muda yang bersemangat ini, saya layankan curiousitynya. Bukan semua orang mahu tahu, getus hati saya. 

"Kullu muslim?" 

"Na'am. kullu muslim"

"Subhanallah very good. Muslim is good". Katanya semangat.

Dia tanya lagi, adakah saya Diplomat? bekerja di pejabat yang punya banyak bendera.

Saya akui, saya cuba bergurau dengan mengatakan ya. Niat saya pada awalnya untuk mematikan perbualan, kerana secara amnya pegawai di pejabat saya adalah diplomat, jadi tidak salah. Tetapi lain pula jadinya. 

Dengan curious pemandu itu bertanya lagi. Mana escort dan polis saya? 

Geli hati saya. Serba salah pun iya. Tapi, nak bersembang panjang tak pandai.

Tak sempat nak menjawab, bertalu-talu pula soalan dia bagi saya sambil menghulurkan telefonnya untuk saya baca.

Antaranya apa yang saya belajar dahulu sehinggakan saya boleh menjadi wakil Malaysia? (pada awalnya dia tanya saya dari mana). Di mana saya belajar berbahasa Inggeris? Berapa jauh Malaysia dari Saudi? Berapa lama masa yang diambil kalau dia ingin belajar berbahasa Inggeris?

Sambil tu beberapa kali dia kata It is a pleasure to meet you.

Subhaallah anak muda, semoga dengan perkongsian yang terbatas ini dapat memberi semangat buat kita semua.

No comments: