Saturday, May 21, 2016

perkara yang baik tak semestinya baik, perkara tak baik tak semestinya tak baik...

masha Allah 2 bulan mengabaikan blog ni.
sedangkan dalam hati melonjak-lonjak banyak perkara yang nak di share di sini, tapi tak terluah dengan penulisan.

minggu lepas, setelah sudah agak sekian lama saya tidak mendengar IKIMfm di pagi hari kerana sering keluar rumah lambat (selepas jam 7.30 pagi), maka hari itu saya berjaya mendengar slot motivasi pagi. 
Itu pun bukan dengar pada waktu pagi, ulang siaran di waktu petang, jam 6.30 hingga 7 petang.

Yang bestnya, melihat gelagat anak soleh Fawwaz, masa kami mendengar ulang siaran tersebut, yang mana waktu itu masih belum habis...kami sudah sampai di parking rumah.
Saya dalam hati, ingin dengar lagi sehingga habis siaran ini. Bila toleh ke belakang, anak soleh seperti senyap dan sedang menghadam apa yang dia dan saya sedang dengar. Seperti turut khusyuk. Masha Allah.

Slot petang itu, "Perkara baik, tak semestinya baik. perkara tidak baik, tak semestinya tidak baik".
Saya tak ingat Ustaz mana yang berkongsi cerita ini, tapi yang pasti, perkongsiannya menarik.

Ada seorang lelaki yang sudah tua dan miskin. Orang tua itu ada seorang anak lelaki, dan seekor kuda betina.
Suatu hari, kuda betinanya hilang, entah ke mana.
Lalu orang-orang kampung bersimpati dan datang ke rumah orang tua itu untuk mengucapkan takziah...

"Takziah orang tua, kasihan sungguh engkau. Sudahlah miskin, satu-satunya harta kuda betina engkau ada pula hilang..."
Orang tua itu pun berkata, "Perkara baik, tak semestinya baik..perkara tidak baik, tak semestinya tak baik.."
Orang-orang kampung tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh orang tua tersebut, lalu mereka pun berlalu pergi..

Selang beberapa hari, kuda betina orang tua itu pun pulang ke rumah.
Bahkan bukan balik seekor, malah ada beberapa ekor kuda jantan lain yang mengekornya.
Gembiralah orang tua itu.
Berita ini didengari oleh orang-orang di kampung itu, lalu mereka pun datang ke rumah orang tua itu untuk mengucapkan tahniah...

"Tahniah orang tua, kerana kuda kau semakin banyak dan beranak pinak"
Orang tua itu pun berkata lagi, "Perkara baik, tak semestinya baik..perkara tidak baik, tak semestinya tak baik.."
Orang-orang kampung tidak faham dengan apa yang diperkatakan oleh orang tua itu, lalu mereka pun meninggalkan orang tua itu...

Suatu hari, sedang anak lelaki orang tua itu bermain-main dengan kuda-kuda mereka, salah seekor dari kuda itu tertendang anak lelaki orang tua itu lalu anak lelakinya menjadi cacat.
Setelah mendengar berita tersebut, datanglah orang-orang kampung itu ke rumah mereka untuk mengucapkan takziah...

"Takziah orang tua. Kami bersimpati dengan nasib engkau, sudahlah ada seorang sahaja anak, telah cacat pula" kata orang-orang kampung itu.
Perkara yang sama dikatakan sekali lagi oleh orang tua itu, "Perkara baik, tak semestinya baik..perkara tidak baik, tak semestinya tak baik.."

Satu hari, negara yang diduduki oleh orang tua itu sedang mencari calon untuk melatih anak-anak lelaki yang masih muda untuk ke medan perang. Maka Kementerian Pertahanan negara itu telah pergi dari kampung ke kampung untuk memastikan anak-anak lelaki muda semuanya terlibat. Walau bagaimanapun anak lelaki orang tua ini dikecualikan kerana cacat.

Tahun berlalu tahun, kebanyakan anak-anak lelaki muda yang ke medan perang ramai yang tidak pulang. Sedang dalam masa yang sama, anak-anak perempuan di kampung tersebut ingin berkahwin dan kekurangan calon.
Oleh kerana tidak ramai calon lelaki untuk berkahwin, maka kahwinlah salah seorang perempuan yang kaya raya di kampung itu dengan anak lelaki orang tua itu..
Berita itu telah diketahui oleh penduduk-penduduk kampung itu, lalu pergilah mereka berjumpa dengan orang tua itu untuk mengucapkan tahniah..

"Tahniah orang tua. kerana mendapat menantu yang kaya raya".
Maka dijawablah dengan ayat yang sama oleh orang tua itu, "Perkara baik, tak semestinya baik..perkara tidak baik, tak semestinya tak baik.."

Pengajaran yang cuba disampaikan di sini adalah, janganlah ditangisi perkara yang tidak baik yang terjadi dalam diri kita, dan janganlah terlalu gembira berlebih-lebihan dengan perkara yang baik jadi dalam diri kita....

Maaf sekiranya ada ayat yang tak betul, tapi begitulah lebih kurang penceritaan yang saya dengan dari IKIMfm.
Semoga bermanfaat untuk kita semua...
Wallahualam.

No comments: