Hari minggu lepas ke Makkah.
tempat yang tidak pernah jemu.
Tempat yang apabila kita datang dengan pelbagai emosi dan rasa dan apabila kita tiba, hati menjadi redup dan sayu.
Melihat banjiran manusia yang hadir dengan doa dan harapan.
Menantikan apa kejutan atau 'suprise' yang bakal tiba kali ini.
Membuat diri terasa kecil sekecil-kecilnya, mengingatkan kita kebesaranNya dan kekuasaanNya subhallah.
Perjalanan ke Tanah Haram kali ini tidak dirancang awal.
Anak cuti panjang minggu lepas, tidaklah kami ke mana-mana tempat yang istimewa. Meluangkan masa dengan aktiviti di rumah dan aktiviti rutin dengan jadual seperti biasa.
Bila dilihat pada jadual sekolah sehingga Januari tahun depan, setiap bulan anak soleh ada cuti sekolah.
Bulan ini seminggu fall break, bulan depan long weekend dan exam (yang mana jadual exam hanyalah 3 hari selang sehari,dan pelajar hanya datang pada waktu exam. Boleh pulang awal juga selepas selesai exam), dan seminggu lagi cuti di bulan Januari 2025.
Maka Jumaat lepas kami mengambil masa sendiri, bergerak dari rumah sesudah Subuh. Perjalanan ke Mekah sebelum2 ini kebanyakannya sama ada ke Mekah pada Khamis malam dan bermalam sehari, atau bergerak sebelum Subuh Jumaat, tiba di Haram untuk solat Subuh berjemaah dan pulang pada atau selepas Asar.
Masuk ke kawasan Haram, seperti biasa kami meletakkan kereta di Kuday, tempat khas disediakan untuk para jemaah yang memandu dan ingin ke Masjidil Haram. Ada 2 kemudahan dari Kuday ke masjid, menggunakan bas, ataupun teksi. Bas yang disediakan adalah percuma, jadualnya agak kerap tetapi tidak menentu.
Seperti biasa, pemandu-pemandu teksi dan prebet sapu akan meronda-ronda di kawasan ini, melihat kereta yang masuk ke kawasan parking Kuday, menawarkan perkhidmatan masing2 sambil tawar menawar harga.
Dari Kuday melalui Ajyad kira-kira 3-5 minit perjalanan menaiki kereta. Setelah sampai, kami mengisi perut dahulu, sebelum masuk ke masjid sementara menunggu waktu solat Jumaat. Perlu cepat untuk mendapat tempat di dalam masjid.
Selalunya jam 10 pagi sudah dikira agak lewat dan masjid hampir penuh, perlu bersesak-sesak untuk mendapatkan ruang.
Memikirkan keadaan ini, saya tidak boleh lupa pengalaman kali pertama kami ke sini pada waktu seperti ini, hari Jumaat dan berniat utk solat Jumaat di Masjidil Haram, pada tahun lepas. Tidaklah kami sangka jam 10 pagi pada waktu itu panas terik, pertengahan tahun hujung bulan 7, matahari seterik-teriknya dan sudah berkumpul lautan manusia di luar masjid. Pintu masjid telah ditutup oleh polis penjaga. Kami bertiga masih sedaya upaya berusaha merayu pada polis di pintu masuk masjid sedangkan untuk ke pintu itu sahaja harus melepasi lautan manusia. Saya melihat sekeliling di luar, dan terdetik di hati saya betapa kuatnya mental dan fizikal mereka yang sudah duduk di luar masjid ini, hamba Allah yang ingin beribadah. Duduk di bawah terik mentari suhu kira-kira 48C tanpa alas lantai. Semoga Allah beri setinggi-tinggi ganjaran buat mereka dan menjauhkan api neraka dari mendekati kulit mereka, asbab kesabaran mereka amin..Subhanallah wa biham dih subhanallah il adzim..
Setiap kali ke sini penuh dengan kejutan, adakala crowdnya terlalu ramai, adakalanya ok. Ok maksudnya masih ramai, dan boleh nampak laluan kita berbeza dengan terlalu ramai, sekeliling hanya dipenuhi manusia sehingga tidak nampak lantai. Adakala pintu ini ditutup, di sebelah sana dibuka. Waktu lain, boleh masuk melalui pintu kebiasaan kami masuk, tapi perlu ke tingkat atas. Adakala rijal dan nisa' boleh masuk bersekali melalui pintu yg sama, adakalanya harus berpecah dari luar pintu masuk lagi.
Setiap kali itu juga harus memasang beberapa strategi, perlu pantas berfikir dan bergerak, ibaratnya mahu pergi berperang. Jika strategi A tak menjadi, bagaimana plan seterusnya.
Yang pasti, semua orang yang ada di sana, mempunyai misi yang sama. Mahukan ganjaran berganda 100,000 dan sanggup meredah apa sahaja rintangan. Panas dan sesak, mana pasti ada laluan yg mudah bagi merebut ganjaran yang telah Allah janjikan.
Kali ini, saya berpecah dengan suami dan anak sedari luar pintu masjid lagi. Nisa' melalui pintu lain, Rijal di pintu lain. Saya akui saya agak teruja dengan kesesakan ni kadangkalanya kerana saya tidak tahu ke mana saya akan di bawa arus. Kadangkala seperti adrenaline rush, kadang kala rasa tenang melihat sekeliling. Kedua-duanya membuatkan hati saya mudah tersentuh. Agaknya seperti inilah gambaran di padang mahsyar nanti ya. Masing-masing tidak peduli tentang orang lain, hanya diri sendiri untuk mendapat rahmat dan kasih sayang Allah sebanyak-banyaknya. Teruja kerana sentiasa memohon pada Allah agar direzekikan mendapat ruang utk beribadah. Subhanallah.
Arus kali ini membawa saya ke tingkat 1.
Kesesakan sementara hilang selepas masuk ke dalam kawasan masjid yang berhawa dingin. Di kiri kanan, bentangan karpet masjid telah dipenuhi dengan jemaah. Ruangan laluan jemaah yang selalunya akan dibuka pada saat-saat akhir sebelum solat masih belum boleh diisi. Jemaah harus terus berjalan. Jalanlah kalian, cari sahaja mana2 ruang yang boleh asalkan tidak mengganggu jemaah lain.
Saya berjalan terus, setiap ruang kecil untuk masuk ke ruang solat telah penuh. Sambil mata saya melilau-lilau mencari ruang di dalam kawasan solat. Saya terus lagi menghala ke ruang tawaf tingkat 1, dan tahu-tahu, saya sudah berada di kawasan jemaah yg sedang menjalankan ibadah tawaf.
Agak gembira kerana walaupun ramai dan saya belum pasti di mana saya akan duduk, dengan masa berbaki 2 jam sebelum masuk waktu Zohor, saya boleh berjalan. Target saya untuk mencari tempat duduk paling lewat sejam sebelum masuk waktu Zohor. Melihat ada jemaah yg berzikir dan membaca Al Quran, masing-masing ralit dengan ibadah masing-masing, hati jadi gembira. Perasaan yg tidak dapat digambarkan. Ia adalah me-time terbaik untuk saya.
Gambarannya seperti setiap jemaah sedang membawa sebanyak-banyak bekas untuk diisi dgn perkara-perkara baik, dengan mengharapkan sebanyaknya ganjaran dari Yang Maha Pemurah dan Maha Esa. Semuanya berebut-rebut, sedar bahawa Allah itu Al-Karim, yang Maha Pemurah. Dilimpahkan kasih sayang dan rahmat pada semua hambaNya yang memohon dan mengingatiNya.
Dipendekkan cerita, saya mendapat ruang untuk solat di tingkat 1. Pada waktu ini banyak kerja-kerja penambahbaikan sedang dijalankan. Semua jemaah sedang menunggu waktu solat Zohor utk solat Jumaat, leka dengan ibadah masing-masing.
Rezeki kali ini, saya duduk di antara wanita dari South Africa di sebelah kiri saya dan Turkiye di sebelah kanan. Asalnya kami tiada ruang untuk duduk pun, hanya berdiri bersempit-sempit dan tidak boleh bergerak ke mana2 kerana ruangan tersebut telah 'diikat' dengan tape oleh polis penjaga. Perlahan-lahan selang beberapa minit kemudian, semua jemaah mendapat tempat duduk. Alhamdulillah, ruang saya di belakang wanita tua berkerusi roda. Pada asalnya wanita tua berkerusi roda itu mengambil 'ruang' yang saya fikir kepunyaan saya. Sedang saya berdiri dan baru berniat untuk duduk, datang seorang jemaah lelaki meluru betul-betul di hadapan saya dan terus 'parking' wanita tersebut di hadapan saya. Terdetik dalam hati, bagaimana ya untuk ruang solat saya nanti. Rupa-rupanya Allah rezekikan saya dapat ruang di belakang kerusi roda itu, dan saya dapat mengambil ruang selesa saya di belakangnya setelah penghadang 'diikat' oleh polis penjaga. Allahuakbar.
Wanita di sebelah kiri saya fasih berbahasa Inggeris. Umurnya beza 1 tahun dengan Ibu saya. Permulaan perbualan kami tercetus apabila melihat keadaan sekeliling yang agak hiruk pikuk dan sibuk, katanya lebih kurang begini,
"You know, 'they' only speaking 1 language that not all people understand, and 'they' also don't understand what we say. They should have been telling us properly where to go and guide us, but they are treating us like we are in a camp instead".
Saya hanya tersenyum. Saya faham. Tapi itulah dia cara dan gayanya di sini. Perbezaan cara kadangkala mengundang rasa tidak puas hati di kalangan jemaah. Kita faham kenapa ianya dilaksanakan, dan perlu dilaksanakan, tetapi untuk menjaga beratus ribu jemaaah juga bukannya mudah. Datang dari pelbagai pelusuk seluruh dunia dengan pelbagai cara, pemahaman dan jangkaan masing-masing.
Ikut sahajalah, ini yang terbaik. Peringatan ini pun banyak kali harus saya sematkan dalam hati dan fikiran saya. Bagusnya di sini, kita semua tahu semua datang dengan niat untuk beribadah. Maka tiadalah pilihan lain melainkan bersabar. Alangkah baiknya kalau diterapkan begitu di mana sahaja kita berada, kan? Bukan ibadah khusus sahaja, setiap perbuatan kita kalau kita niatkan untuk beribadah hatta sedang memandu, atau memasak, mengemas rumah, sekalipun, dan di sewaktu itulah kita berdepan dengan pelbagai cabaran, bersabar dan bertenanglah. Ya, bukan mudah. tapi itulah latihan hati.
Bersangka baiklah bahawa kita semua mahu yang terbaik, baik jemaah, mahupun penjaga. Bersangka baiklah yang Allah juga sedang melihat kita dengan kasih sayangNya.
"Staying & being here require lots of patience", kata saya.
Peringatan lebih kepada diri sendiri.
Struggle setiap kali ke sini berbeza, tetapi yang pasti saya akan ingat..lelah itu hilang apabila kita telah mendapat ruang. Semoga perasaan ini kekal sebagai ingatan dan motivasi buat diri. What ever it is, things will end up okay, in shaa Allah.
"It truly is. Its a test for us", kata wanita itu lagi.
Kami bertukar pandangan, lebih kepada peringatan. Dan katanya,
"U know, there are millions of flowers around the world, and have you ever imagined Allah will pick you up to be here today?"
"We are here and Allah wants us to be the ambassador. Tell people, your family and friends how its like to be here, in His house. The lesson learnt. Pray for them to come. We may not be the same people as we are when Allah has given us this chance."
"Be a better person,we shall be".
What another beautiful day with beautiful people around mashaa Allah.
Terima kasih Allah. Semoga Allah menerima ibadah kita semua di mana sahaja kita berada, memelihara hati dan iman kita selalu..Amin..



No comments:
Post a Comment