Monday, September 5, 2011

Syawal 1432H

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin semua.
Semalam baru pulang dari kampung sebelah mentua di Besut.
Sampai di Cyberjaya jam 1.30 pagi, terus tidur di rumah mentua sebab dah tak larat sangat selepas hampir 12 jam di dalam kereta.

Pengalaman Syawal kali ini, haruslah lain dari yang sebelum-sebelum ni..
Tahun ini beraya di sebelah mentua di Besut. Perjalanan pulang dari Cyberjaya ke Besut pada Jumaat, 26 Ogos 2011 yang lepas memakan masa 8 jam.
Dua kali ganda masa dari waktu biasa aku balik ke kampung di Johor.
Oklah, aku cuma jadi penumpang. Merangkap co-pilot sebab duduk di sebelah pemandu.
Pulang sekali dengan ayah mentua dan adik ipar.
Alhamdulillah jalan masih belum sibuk tatkala kami memulakan perjalanan sehinggalah sampai di Besut.
8 jam dalam kereta, tak senang duduk juga aku.
Maklumlah, tak biasa. Suami kata "haa..tak duduk diam.jauh lagi kita ni.hehe"

Paling jauh aku pernah memandu/menumpang hanya memakan masa tidak lebih 4 jam.
Sama ada menghala ke selatan tanah air, atau pun ke Kuantan atas urusan kerja.
Perjalanan ke Kuantan kali ini cumalah baru separuh perjalanan kami..maka aku hanya bertawakal dan berdoa supaya segalanya selamat,amin...

"Selamat Pulang Perantau"

Masuk sahaja negeri Terengganu, terpampang sebesar-besar banner dari Menteri Besar Negeri, "Selamat Pulang Perantau".
wahh..berbunga-bunga hati aku.
Maklumlah, balik kampung..ada greetings pulak tu.hehe
Dulu waktu zaman belajar di universiti, sewaktu cuti raya, aku pasti bertanya pada sahabat-sahabat yang ingin pulang jauh samada ke utara tanah air mahupun pantai timur.
Kerana aku merasakan betapa jauhnya perjalanan mereka, maklumlah..tidak pernah ada pengalaman.
Pada aku, jika perjalanan lebih 4 jam itu adalah lama.

Dan kali ini, aku sendiri menghadapinya.
Ya, aku sudah termasuk dalam geng perantau yang pulang ke kampung halaman.
Teruja rasanya.
Mengapa ianya lain dari waktu-waktu aku pulang ke kampung?

Pertama : Kerana pulang ke kampung bertujuan untuk menyambut Hari Raya
Kedua : Pertama kali raya sebagai seorang isteri
Ketiga : Pertama kali pulang ke kampung mentua menaiki kereta

Kami sampai di Besut hampir-hampir waktu berbuka, iaitu jam 7 petang.
Sempat berhenti membeli juadah berbuka puasa sebelum itu.
Buka puasa kami dengan kuih muih orang pantai timur seperti akok, nekbat, kuih puteri mandi dan sebagainya.
Ada yang aku pernah makan, ada juga yang baru pertama kali dengar.
Manis-manis belaka semuanya.
Selesai tarawikh, barulah kami makan makanan berat di kedai.

Pencuri di Pasar Payang

Kami berempat merupakan kumpulan pertama tiba di rumah di Besut.
Keesokannya kami ke Kuala Terengganu kerana kumpulan kedua (adik-adik ipar) tiba di airport KT.
Walaupun Besut adalah daerah di dalam negeri Terengganu, tetapi perjalanan ke Kuala Terengganu sendiri adalah lebih jauh dari ke Kota Bharu, Kelantan kerana ia terletak di sempadan Kelantan dan Terengganu.
Kami keluar awal, kerana niat untuk ke Pasar Payang. Untuk pertama kalinya ke situ.

Sudah tentu akulah manusia yang paling excited, dalam kepala ligat nak tengok macam-macam.
Batik terutamanya.
Periuk belanga, setelah nenek di Johor kata kebanyakan periuk belanganya di beli di pantai timur kerana lebih murah.
Rajin-rajin warga pantai timur mencari rezeki walaupun di penghujung Ramadhan.
Menurut salah seorang peniaga di situ, sedangkan ada antara mereka yang sudah mula berniaga pada raya pertama dan kedua.
Jadi tak perlu risau.

Sedang kami mencuci mata di kawasan orang-orang meniaga batik dan tatkala aku sendiri ibarat rambang mata sehingga tidak mampu berbuat apa-apa, ada seorang lelaki berumur lebih kurang akhir 40an sedang berlari ke arah aku.
Sambil berlari dia tersenyum. Tangannya memegang beg plastik yang dimasukkan ke dalam helmet yang dipegangnya kemas.
Bersungguh-sungguh dia lari walaupun tidaklah selaju mana memandangkan laluan tempat tersebut yang agak sempit.
Aku, suami dan peniaga lain hanya tercengang kerana tidak tahu apa yang sedang berlaku.
Sebaik sahaja lelaki tersebut melepasi aku, ternampak lagi 2,3 orang lelaki sedang mengejarnya dan menjerit "Kejar! Kejar"
Oh, terlepas. Rugi pulak aku tak sadung kaki dia.
Tapi rasa tak berani pun ada, kotlah ada tersimpan pisau/senjata dalam helmet yang dia bawa.
Tak pasal.

Dalam hati, aku simpati dengan lelaki tersebut.
Mungkin dia terasa kekurangan untuk memberi makan keluarganya sehingga dia terpaksa melakukan perkara tersebut, lebih-lebih lagi di bulan mulia.

Selang beberapa minit kemudian, aku terdengar peniaga sesama mereka menyampaikan berita,
"kena katok dah,kena katok kat bawah"
Mungkin pencuri tadi dah tertangkap di tingkat bawah, aku rasa.
Semoga Allah mengampunkan dosanya.

Ragam jemaah di masjid dan kelip-kelip.

Malam itu merupakan 2 malam terakhir Ramadhan.
Berbeza di kampung, kehidupan lebih tenang dari hiruk pikuk di kota.
Masjid hanyalah di dalam lingkungan jalanan kaki dari rumah.

Di sana, masjid besar dipenuhi jemaah-jemaah yang turut tidak mahu terlepas mengumpul sebanyak mungkin pahala di bulan yang telah Allah janjikan manfaatnya.
Solat isya' setelah niat, baruku perasan di saf depan kiri terputus safnya.
Terdapat lebih kurang 2 orang lagi yang boleh diisi di ruang tersebut.
Ralat di hati, tak mendapat manfaat solat berjemaah.

Selesai solat isya' berjemaah, seorang jemaah di sebelah kiriku ke hadapan mengisi ruang kosong tersebut.
Seorang wanita berusia lebih kurang 50an bergerak ke kanan mengisi ruang kosong di sebelah kiriku.
Walau bagaimanapun rapatnya dia tidak sehingga menyentuh bahuku, malah mana-mana bahagian kiri badanku.
Ada ruang lebih kurang 3 jengkal lagi untuk diisi. Terlalu luas untuk dibiarkan, terlalu sempit untuk diisi seorang lagi jemaah.
Lalu aku menegur wanita tersebut, "makcik, ada ruang kosong lagi. Boleh rapat sikit."
"Ah tak mau rapat-rapat. Aku panas."
Whoh! Panas hati aku dengar.
Langsung melayang pahala tarawikh 2 rakaat pertama aku bila hati ini tidak duduk diam memikirkan wanita di sebelah aku.
Semakin ke tengah saf, semakin jauh dari kipas, maka semakin panas. Kerana itulah wanita tersebut tidak mahu ke tengah saf dan lebih rela membiarkan ruang di antara kami.
Hati aku mendengus, terasa ralat tidak menjawab, kalau tak nak panas, boleh solat di rumah.
Boleh solat sorang-sorang tanpa menyempit-yempit dan letak kipas betul-betul di depan muka. Lebih baik.
Subhanallah. Tak tenteram hati aku waktu itu.

Selesai tarawikh, aku menceritakan peristiwa tersebut pada si suami.
Sedang kami dalam perjalanan pulang ke rumah melalui jalan belakang masjid yang gelap, ada kelip-kelip terbang betul-betul di hadapan muka kami.
Cantiknya, Allah saja yang tahu.
Hilang rasa amarah aku.

Hari-hari seterusnya sehingga Syawal kami menghabiskan masa mengemas rumah, membersihkan halaman rumah yang ditinggalkan.
Rumah tersebut hanya diisi setahun sekali, yakni ketika raya memandangkan semuanya berada di ibu kota.

Juadah Syawal di pantai timur berbeza jika dibandingkan dengan di selatan.
Nasi minyak, ayam masak merah, daging kurma, paceri nenas dan acar menjadi hidangan kami.
Untuk aku, semuanya aku telan.Hehe.
Tidak ada bezanya asalkan kita menyambutnya dengan orang yang tersayang.

No comments: