Tempoh cuaca sejuk kali ini (penghujung 2024 dan awal 2025) di Jeddah agak pendek. Jika pada tahun 2023, musim sejuk bermula pada awal Disember sehingga hujung Januari/awal Februari, tapi tahun ni, musim sejuk bermula agak lewat iaitu memasuki minggu ketiga Disember, dan bermula minggu lepas (minggu kedua Januari), cuaca sejuk sudah mula beransur hilang.
Kira-kira musim sejuk kali ini dalam anggaran 3-4 minggu sahaja.
Musim sejuk merupakan antara waktu peak jemaah umrah datang mengerjakan umrah. Jika kita baca iklan-iklan yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat travel umrah pasti akan nampak pakej musim sejuk atau pakej hujung tahun. Selain cuacanya yang lebih sejuk, hujung tahun juga adalah musim cuti sekolah.
Rata-rata ada sahabat yang tanya bila waktu atau musim terbaik untuk mengadakan ibadah umrah, saya sejujurnya tiada jawapan.
Pertama, sudah tentu kita akan sentiasa memohon pada Allah bila waktu terbaik yang Allah akan jemput menjadi tetamuNya, hatta panas atau sejuk.
Saya cuma akan berkongsi gambaran dan pengalaman saya di sini, agar rakan-rakan yang berhajat ke sini mendapat sedikit gambaran secara keseluruhan.
Negara Saudi ini adalah negara padang pasir, purata suhu tahunan di antara 27C hingga 43C di pertengahan bandar dan sedikit sejuk 27C ke 38C di kawasan tepi laut. Keadaannya sentiasa panas dan kering, dengan purata hujan tahunan yang sangat sedikit di antara 0 ke 3 kali sebulan. Kerana itu reka bentuk bumbung-bumbung rumahnya berbeza dengan di Malaysia. Bumbungnya flat (rata), tidak curam seperti di Malaysia, yang lebih sesuai untuk menerima aliran hujan yang banyak.
Setiap orang ada preference nya sendiri, bagi yang sudah pernah ke sini untuk melaksanakan umrah, kadang kala mahu mencuba pengalaman ke sini pada waktu dan cuaca yang lain pula. Walau apa pun cuacanya, yang pasti bumi Haramain tidak pernah surut dan lekang dari menerima kunjungan ibadah dari segenap lapisan jemaah dari serata dunia. Subhanallah. Semoga Allah menerima niat dan setiap langkah ibadah kita semua serta menjemput semua umat Islam untuk menjejakkan kaki ke tanah Haram, Ameen.
Cerita kali ini tentang pengalaman musim sejuk kami. Alhamdulillah musim sejuk kali ni kami berkesempatan untuk berkhemah beramai-ramai. Winter camping di bawah khemah besar dengan rakan-rakan rakyat Malaysia yang lain.
Kami meminta bantuan seorang rakan untuk mencari tempat berkhemah yang sesuai. Memandangkan beliau lebih fasih berbahasa Arab sambil boleh tawar menawar, mereka sekeluarga juga sudah berpengalaman winter camping sebelum ini. Pada musim sejuk, banyak khemah-khemah besar dipasang dan disewakan di kawasan-kawasan luas padang pasir. Pengalamannya sangat menyeronokkan, ruang privasi untuk berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan. Ada juga khidmat sewa ATV di luar khemah, serendah SAR30 untuk 30 minit.
Kawasan yang kami pilih ini sepertinya baru di buka, kawasannya luas dan berbatu-batu juga. Kali pertama kami datang dua minggu sebelum untuk melihat tempatnya, cukup pada kami dengan ada tandas, tempat barbeku dan tempat bersantai yang sangat luas dan selesa. Basic needs, cukup,Alhamdulillah.
Harga sewa tempat ini dari jam selepas Zohor/solat Jumaat sehingga fajar esoknya adalah SAR500. Itu harga terakhir yang kami dapat, semuanya tertakluk pada tawar menawar dan budi bicara penyewa dan pemberi sewa. Asalnya ada juga cubaan pemberi sewa menaikkan ke SAR700 atas alasan waktu cuti sekolah, tapi berkat tawar menawar kawan kami, dapat juga kekal ke harga asal. Pada saya, harganya sangat berbaloi,dengan fasiliti dan pengalaman dan ruangnya Alhamdulillah.
Penyewa juga boleh bawa khemah sendiri (untuk ruang yang lebih privasi) sekiranya berhajat untuk bermalam. Rakan kami juga berjaya mohon agar kami dapat check-out jam 10 pagi esoknya, tetapi kami akhirnya membuat keputusan untuk pulang lewat malam itu juga.
Jika kita memandu di kawasan Jeddah ke Mekah atau Madinah pada waktu petang atau malam pada waktu musim sejuk, boleh nampak banyak kereta parking di kawasan padang pasir, ada juga tempat yang penuh dengan khemah berlampu sana sini, meriah ibarat fun fair di Malaysia.
Kawasan kami bercamping di Jeddah terletak kira-kira 30 minit dari bandar. Ia tidak jauh dari jalan besar, tiada sign board khas, kami ke sana berpandukan pada GPS location yang dikongsi oleh pemberi sewa khemah kepada sahabat kami. Nama tempat tersebut, Al Syuaibah.
Kami jangka di kawasan itu mungkin ada kurang lebih 50-100 khemah pelbagai saiz. Betapa luasnya.
10 Januari 2025, Jumaat sekitar jam 5.20 petang. Sudah nampak penampakan bulan,subhanallah. Waktu maghrib dalam jam 5.35 petang.
Kawasan khemah ditutup dengan kain-kain panjang mengelilingi kawasan ruang sewa.
Rezeki kami dapat berkumpul dalam 10 keluarga, alhamdulillah, buat pot luck, bakar bbq, makan shell out dan macam-macam lagi.
Semoga Allah berkati ukhwah kami keluarga Malaysia di Jeddah dan kumpulkan kami di syurga nanti, Ameen..













No comments:
Post a Comment