Bascarsija hari ke-2.
Tahun pertama tanpa ucapan selamat hari ulang tahun dari arwah ayah.
Saya baca hantaran mesej whatsapp yang dikirimkan arwah pada tahun lepas, bagi melepaskan kerinduan. Semoga Allah ampunkan dosa ayah, tempatkan ayah di kalangan para solehin, lapangkan kubur ayah dan jadikannya taman-taman syurga buat ayah. Al fatihah.
Setiap hari adalah hari yang istimewa, hari yang penuh dengan warna-warna tersendiri, begitu juga dengan hari ini. Kami tidak ada perancangan yang spesifik di tarikh kelahiran saya, kebetulan cuti sekolah dan rezeki kami ke sini pada waktu ini. Allahumma barik lahu. Setinggi-tinggi kesyukuran atas segala nikmat, ujian dan perasaan sepanjang kehidupan, semoga Allah kurniakan keberkatan usia dan rezeki selama di muka bumi ini, in shaa Allah.
Hari ini adalah hari kami meneroka Sarajevo. Melihat kepada cuaca sebegini, kami bercadang untuk melawat muzium di kawasan sekitar. Sebelum tu, kami sarapan di kedai kecil berdekatan, dan menu kami adalah Burek!
Burek, makanan tradisional Bosnia dengan lapisan doh lembut diisi dengan kentang, atau daging atau labu, dibentuk memanjang dan dibakar. Dihidangkan dalam loyang, dan boleh dinikmati dengan yogurt kosong.
Alhamdulillah, sedap.
Sambil menikmati sarapan, saya melihat di luar kedai. Terfikir bagaimanalah agaknya orang-orang di sini bersihkan salji-salji ni..dah tentulah jalan akan licin, dan pelancong luar seperti kami yang tidak biasa dengan keadaan ni harus lebih berhati-hati.
Point of view dari kafe tempat kami menikmati sarapan. Penjual-penjual di sekitar kawasan ini membersih dan mengumpulkan salji di perantara jalan lalu dibuka penutup pembetung dan mereka sama-sama menolak masuk timbunan salji tersebut ke dalam pembetung. Semua ini perlu dibuat sebelum salji bertambah tebal, keras dan licin.
Selesai sarapan, kami berjalan ke Muzium Siege of Sarajevo. Di sana, kami membeli tiket pakej bagi dua muzium, harga tiket lebih murah jika melawat lebih dari satu muzium. Kami memilih Muzium Siege dan Muzium of Crimes against Humanity and Genocide.
Pengalaman memasuki kedua-dua muzium ini sangat menginsafkan dan memberi kesan yang amat dalam pada saya. Melihat genocide dan kezaliman yang dihadapi oleh penduduk Bosnia dari tahun 1992-1994 sangatlah mendahsyatkan dan terkesan di hati. Dunia ini ibarat jauh dari nilai kemanusiaan, nyawa manusia seolah-olah tiada nilainya. Semuanya kerana kuasa.
Dalam muzium Siege, banyak dikongsi kisah-kisah dan pengalaman mangsa sewaktu Perang Bosnia, bagaimana terpisahnya mangsa dengan ahli-ahli keluarga mereka, bagaimana mangsa melalui fasa Genocide sewaktu zaman kanak-kanak, melihat dengan mata sendiri kezaliman yang dihadapi sewaktu kepungan dan perang. Allahuakbar.
Mereka juga manusia biasa, yang melalui fasa kanak-kanak seperti kita juga, mempunyai hobi, suka bermain dengan rakan sebaya, suka ke sekolah. Ada pengalaman yang baru hari pertama mula bekerja sebagai pemandu tram dan itulah kali terakhir harinya sebagai pemandu sebelum perang bermula.
Arca berbentuk manusia yang dibuat dari roti kering sebagai mengingati mangsa-mangsa dibunuh sewaktu berbaris untuk mendapatkan roti sewaktu kepungan. Keadaannya sama dengan saudara-saudara kita di Palestin Allahuakbar.
The book save my life.
Ini antara ratusan cerita mangsa perang di dalam muzium tersebut. Kisah seorang warga Bosnia yang pada ketika itu berumur 24 tahun dan dia bekerja di kilang stokin. Untuk ke tempat kerja, dia perlu melalui kawasan berbahaya, yang terdapat banyak tembakan rambang. Pemuda ini suka membaca dan meminati bacaan sastera. Dia ada sebuah buku yang sedang dibaca, dihadiahkan oleh seorang kenalan, dan buku iyu ditulis oleh penulis kegemarannya.
Setiap cerita menyentuh ke lubuk hati. Kita boleh rasa bagaimana ajal itu sangat dekat dengan kita. Nyawa boleh di ambil bila-bila masa dan bagaimana warga Bosnia melalui masa-masa sukar ini.
Ini kisah seorang wanita, pemilik sebuah restoran sebelum waktu perang. Pada waktu perang, dia ditangkap dan di bawa ke salah sebuah concentration camp di Omarska. Dia dan wanita-wanita yang ditangkap dan diletakkan di concentration camp bergilir-gilir menjalankan tugas sebagai tukang masak, cuci pinggan, dan dirog*l bergilir-gilir juga oleh tentera Serbia.



























No comments:
Post a Comment