Wednesday, January 21, 2026

Part 5 : Sebelum tiba ke Mostar

Keesokan harinya kami ke Mostar.

Dengan travel agen Meet Bosnia, agen yang sama yang kami gunakan untuk melawat Sarajevo pada hari pertama. Kami berkumpul di pejabat Meet Bosnia, jaraknya hanya lebih kurang 5 minit berjalan kaki dari homestay kami.



Kami menaiki van 18-seater untuk ke Mostar, bersama dengan pelancong-pelancong lain dari serata dunia. Kami diminta untuk memperkenalkan diri dan nyatakan negara asal kami. Ada yang datang dari Itali, Turkiye, Lebanon dan macam-macam lagi.

Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan sejarah-sejarah Bosnia oleh pemandu pelancong kami - seorang anak muda perempuan yang penuh semangat menceritakan sejarah negaranya. Kami berhenti di beberapa persinggahan wajib di antara Bosnia, dan Herzegovina.

Konjic - Bandar yang tersenarai dalam UNESCO cultural  heritage

Pit stop pertama kami. Konjic bandar yang terletak di antara Bosnia dan Herzegovina, dan sepanjang sungai Neretva, sungai terpanjang dan menjadi penghubung di antara keduanya. Bandar kecil ini menempatkan lebih kurang 10,000 penduduk dengan jumlah keseluruhan bandar lebih kurang 27,000 yang mana 52% penduduknya Bosniaks beragama Islam dan selebihnya adalah Croats, Serbs dan lain-lain.

Kawasan ni aman dan tenteram, menjadi tempat laluan penting waktu zaman Perang Bosnia. Industri ekonominya adalah metal, tekstil dan kayu-kayan selain dari sektor pelancongan. Dari sepanjang Sungai Neretva inilah dapat dilihat iklim yang berbeza bagi Bosnia dan Herzegovina walaupun hanya dipisahkan kurang 150 kilometer di antara gunung ganang. 

Tengok struktur bangunannya yang cantik dan klasik, diperbuat dari plak batu berpetak dan kayu-kayan yang padu. Subhanallah sangat cantik.

Kami berhenti di sini lebih kurang setengah jam untuk minum di kafe kecil sambil memanaskan badan, bergambar, dan ke tandas. Kerana kemudahan tandas untuk perjalanan selepas ini agak terhad.


Ini adalah Stara Cuprija bridge, jambatan yang sangat terkenal di bandar Konjic. Disenaraikan sebagai  Monumen Nasional Bosnia dan Herzegovina, rekabentuk arkiteknya diambil dari zaman pemerintahan Ottoman Turkiye, dan menjadi penghubung pejalan kaki di atas sungai Neretva.

Di Bosnia dan Herzegovina, terdapat banyak jambatan, baik jambatan untuk pejalan kaki, untuk kegunaan pengangkutan ringan, dan juga jambatan bagi kereta api. Ianya bukan sahaja simbolik perhubungan semata-mata, tetapi juga lambang perpaduan, kekuatan ekonomi dan ketenteraan negara. Jambatan Stara ini dibina pada kurun ke-16 oleh Ali-aga Hasečić, orang kenamaan dan berkedudukan tinggi sewaktu pemerintahan Sultan Mehmed ke-6 yang berasal dari Istanbul, Turkiye. Jambatan ini kemudiannya dimusnahkan oleh tentera German pada tahun 1945.  Kerajaan Yugoslavia pada sewaktu perang Dunia Ke-2 kemudian dibaik pulih bagi kegunaan awam. Ia kemudian dibina semula mengikut stuktur asal pemerintahan Ottoman pada tahun 2009 dan menjadi simbol ikonik Bosnia dan Herzegovina sehingga hari ini.


Minaret masjid yang kelihatan dari atas jambatan.



Salji putih lembut bak gula-gula kapas yang terbentuk mengikut aturan bentuk bumbung, terlalu cantik semuanya.

Sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu yang sia-sia, dan setiap inci bumi ini ada penggunaannya, subhanallah.


Alhamdulillah.

Blagaj Tekija (The Dervish House)

Seterusnya kami ke rumah Sufi, di kawasan Blagaj, kira-kira 12 kilometer sebelum sampai ke Mostar. Dikenali sebagai the Sufi house, atau the Dervish House ataupun Blajac Tekija. Tempat atau bangunan ini merupakan tempat ahli-ahli Sufi beribadah, dalam keadaan yang tenang di kawasan yang dikelilingi  persekitaran yang mendamaikan.  Dibina pada kurun ke-15,  rekabentuk arkitek campuran Turkiye dan Mediterranean, rumah ini terletak di kawasan berdinding batu natural yang tinggi berdekatan dengan sungai Buna. 

Sewaktu kami sampai, paras air sungai sangat tinggi dan arusnya agak deras memandangkan hari sebelum itu turunnya salji dan salji sudah mula mencair. Dapat dilihat paras air yang tinggi melebihi paras meja dan kerusi-kerusi di kafe-kafe di pinggir sungai. Sungai ini dikenali dengan airnya yang bersih, warnanya hijau turquoise subhanallah, dan di sini terletaknya ruang untuk pemusafir dan ahli-ahli Sufi melaksanakan aktiviti-aktiviti spiritual seperti berzikir, membaca Al-Quran dan sebagainya. Di dalam rumah ini juga punya ruang yang cukup untuk diadakan rutin harian seperti ruang ibadah, dapur untuk memasak, tandas, dan  bilik tidur. 
















The Gavrankapetanovic House, Pocitelj

Kawasan ini dikenali juga sebagai the Stone town. Untuk ke sini perlu berjalan menaiki bukit kerana kawasannya agak tinggi. Rumah ini dibina pada kurun ke-16 dan 17, cukup serba-serbi, ada masjid, ada hammam (tempat  mandi dan sauna - budaya orang Turki).

Stone town ini kawasannya agak luas, di sebelah atas bukitnya ada bangunan berbentuk seperti kubu, dijadikan sebagai tempat memantau kawasan sekitar. Terdapat masjid, dan juga karavan saray. Karavan saray sangat popular di negara ini dan beberapa negara lain seperti Turki dan negara-negara Stan seperti Uzbekistan. Ianya sangat popular terutamanya di laluan sutera (Silk Road), di tempat pedagang-pedagang pada zaman dahulu berdagang. Di Stone town ini, pemerintah menyediakan perkhidmatan karavan saray percuma pada hari pertama, di mana pedagang-pedagang boleh beristirehat dan makan sebelum menyambung perjalanan seterusnya. Pelbagai kemudahan disediakan di karavan saray ini cukup lengkap seperti tempat memasak, masjid, hamam, dan sebagainya. Pernah juga saya terbaca yang karavan saray ini bukan hanya semata-mata budaya, tetapi ianya juga menunjukkan adab yang tinggi oleh pemerintah dan rakyat dalam menghormati tetamu yang datang ke tempat mereka. 












Kravice waterfall

Setelah itu kami singgah di Kravice waterfall, air terjun tertinggi setinggi 25 meter di kawasan sempadan berdekatan Mostar. Air terjunnya bertingkat-tingkat, memukau mata memandang subhanallah.















No comments: