Tulisan oleh Ummu Sakinah Hj Muhammad.
Perkara ini juga boleh diaplikasikan untuk semua perbuatan kita,bukan hanya menulis semata-mata..
yakni,bila difikirkan secara mendalam..kembali ke objektif asal kehidupan kita..
Adalah kerana Allah SWT...
"Menulis kerana Allah
Source : Google
Sebelum manusia pandai menulis, Allah SWT telah terlebih dahulu "menulis" takdir manusia dalam lembaran-lembaran daun di lohmahfuz. Di atasnya tercatat takdir kehidupan manusia bermula ditiupkan roh sehingga mati.
Para malaikat yang diarahkan untuk mencatat amal kebaikan manusia sejak sekian lama "bekerja" melaksanakan tugasnya sebagai penulis atau pencatat amal kebaikan dan keburukan manusia.
Semua manusia sebenarnya penulis kerana kisah perjalanan setiap manusia tidak sama. Perkara yang membezakan penulis dengan "penulis" lain adalah pengalaman yang mereka abadikan menjadi sebuah tulisan, catatan atau buku.
Manusia menulis berdasarkan ilmu yang mereka ada, pengalaman yang mereka peroleh dan kehidupan masyarakat yang mereka perhatikan setiap hari. Semua itu mendatangkan idea tersendiri. Namun, sedikit sekali yang menulis untuk bermuhasabah diri.
Tulisan yang lahir daripada seorang penulis merupakan ukuran bagi tahap keilmuannya dan pengalaman yang dia dapatkan dalam kehidupan. Sangat penting bagi seorang penulis untuk menulis dan mencatat setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan. Catatan yang telah terkumpul boleh menjadi sebuah bahan berharga untuk memulakan kerjaya sebagai seorang penulis yang berjaya.
Untuk menjadi seorang penulis yang berjaya, kita perlu mempunyai sikap tekun. Bakat tanpa ketekunan tidak akan menghasilkan apa-apa, sedangkan jika seseorang itu tekun tetapi bakatnya kecil, insyaAllah bakat yang ada akan membesar setiap hari dengan usaha dan istiqamah.
Saudara A.Ubaidillah Alias menulis : "Ramai sekali penulis baharu yang patah hati apabila ditegur dan dikritik, lalu mereka beralih pergi dari jalan seorang penulis. Ramai penulis yang merajuk apabila ditegur dengan cara yang keras, akhirnya hasrat untuk menjadi penulis itu padam. Malah, ramai juga penulis yang menulis sekadar suka-suka dan mengisi masa lapang. Tanpa mempunyai kekuatan dan kemahuan untuk memperbaiki dan meningkatkan mutuu penulisannya. Maka hasilnya dari hari ke hari tetap sama sahaja, tiada peningkatan biarpun ditegur."
Dalam kalangan ulama hadis, terdapat sebuah kisah yang sangat masyhur tentang Imam al-Bukhari. Beliau telah menunjukkan cara untuk menjadi seorang penulis yang baik kepada kita.
Ketika beliau mengumpulkan hadis-hadis untuk dimasukkan dalam Sahih Al-Bukhari, beliau mandi terlebih dahulu kemudian solat sunat istikharah memohon petunjuk daripada Allah SWT. Bukan sekali, tetapi setiap kali sebuah hadis akan dicatatkan ke dalam kitab tersebut. Ini menunjukkan beliau sangat menjaga keberkatan dan bukan melemparkan idea semata-mata.
Pesanan buat Diri
Selain menyampaikan dakwah kepada orang lain, perkara yang penting adalah peringatan buat diri sendiri. Inilah pesanan yang sering diperkatakan oleh Imam Hassan al-Banna.
Menulis juga merupakan salah satu rancangan dalam kebudayaan, pendidikan dan pengajaran. Sa'id Hawa telah menulis dalam Rancangan Tentera Allah: "Sesungguhnya memiliki ilmu yang luas (tabahhur) merupakan fardhu yang dianjurkan. Para aktivis yang sedang melaksanakan sesuatu kewajipan selayaknya menjadi orang yang memiliki ilmu yang luas. Melalui ilmu itulah seorang manusia akan menjadi orang yang berharga".
Penting bagi seorang penulis mempunyai pengetahuan dan ilmu yang luas. Ilmu yang luas tidak akan menyebabkan idea tersekat. Apatah lagi jika perkara yang kita sampaikan itu berkaitan dengan Islam. Pengetahuan dalam Islam sangat luas sehingga perkara yang ditulis dan dibahaskan tidak akan pernah habis ditulis.
Seorang penulis mampu memberi penawar kepada pembaca. Bahkan tidak dinafikan, melalui medium penulisan maka dakwah tersebar dengan mudah dan cepat bergantung kepada kemampuan seorang penulis itu menyentuh hati pembaca melalui tulisan yang dinukilkan.
Tulisan oleh A.Ubaidillah tentang antara ciri-ciri penulis Islam adalah ikhlas. Tanpa ikhlas, seseorang akan menulis demi kemasyhuran, harta atau tujuan lain selain daripada Allah SWT.
Seorang penulis juga perlu menulis perkara yang benar, tepat, jelas dan adil. Cuba anda bayangkan media yang memaparkan berita yang tidak tepat, sumer antah-berantah dan tidak adil. Pasti kecelaruan terjadi kerana pembaca yang menjadi mangsa pembohongan.
Seorang penulis juga perlu mempunyai sikap amar makruf nahi mungkar. Inilah tujuan sebenar seseorang itu menjadi penulis. Bukan hanya hiburan dan keseronokan yang dicari, namun dakwah dan Islam yang menjadi maksud utama sesebuah tulisan dicipta.
Seorang penulis perlu menyebutkan tentang neraka, syurga, dosa dan pahala secara jelas. Di sinilah letaknya kepentingan ilmu pengetahuan kerana tanpa ilmu, maka seorang penulis tidak dapat menyampaikan tulisannya dengan tepat dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam".
Tepuk dada, tanya selera.
Anda menulis kerana apa?

No comments:
Post a Comment