Pada satu hari Rasulullah SAW bertandang ke rumah puterinya Fatimah Az-Zahra. Ketika baginda sampai, terdengar Fatimah seperti sedang menggiling sesuatu. Rasulullah SAW terus mendapatkan Fatimah di dapur dan mendapati Fatimah sedang menangis sambil menggiling bahan makanan menggunakan penggiling tangan daripada batu.
"Wahai puteriku, apakah yang menyebabkan engkau menangis? Semoga Allah tidak menyebabkan kamu menangis?"
Tanya Rasulullah SAW sambil memerhatikan Fatimah yang berhenti menggiling apabila melihat baginda datang.
"Ayahandaku, saya menangis kerana melakukan urusan rumahtangga, bukan disebabkan Allah," jawab Fatimah sambil mempelawa Rasulullah SAW duduk.
Fatimah memandang ayahandanya seperti mengharapkan sesuatu kemudian berkata, "Ayahandaku, sudikah ayahanda meminta Ali (suaminya) supaya mencarikan saya seorang pembantu untuk menolong saya menguruskan rumahtangga?"
Rasulullah SAW tidak menjawab pertanyaan yang diajukan oleh puteri kesayangannya itu. Sebaliknya baginda mengambil sedikit bahan makanan yang hendak digiling itu dengan tangannya kemudian diletakkan di dalam penggiling sambil mengucapkan lafaz, "Bismillahirrahmanirrahim."
Sebaik sahaja Rasulullah SAW mengucapkan, batu penggiling itu berputar sendiri dengan izin Allah. Rasulullah SAW terus meletakkan bahan makanan itu di dalam penggiling dengan tangannya sehingga kesemuanya habis digiling.
"Berhentilah berputar menggiling dengan izin Allah," kata Rasulullah SAW apabila kesemua bahan yang hendak digiling sudah habis.
Apabila penggiling itu berhenti berputar, batu penggiling berkata kepada Rasulullah SAW dengan izin Allah, "Ya Rasulullah, demi Allah yang menjadikan baginda dengan kebenaran sebagai Nabi dan Rasul-Nya. Kalaulah baginda meminta saya menggiling bahan makanan ini daripada Masriq sekalipun, sudah pasti saya akan menggiling kesemuanya."
Rasulullah SAW begitu tekun sekali mendengar batu itu berkata-kata manakala Fatimah berasa hairan kerana kesemua bahan makanan itu sudah selesai digiling oleh batu itu.
Kata batu itu lagi, "Saya pernah mendengar dalam al-Quran ada satu ayat yang menyebut, "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu penjaganya adalah malaikat yang kasar dan yang keras dan tidak menderhakai Allah apabila diminta melakukan apa yang diperintahkan dan mereka melakukan apa yang diperintahkan. Saya terlalu takut ya Rasulullah mana tahu saya akan menjadi batu yang masuk ke dalam neraka."
Selesai batu penggiling itu berkata-kata, Rasulullah SAW pula berkata, "Bergembiralah kamu batu, kerana engkau satu daripada batu mahligai Fatimah Az-Zahra di dalam syurga."
Batu penggiling itu gembira mendengar jaminan Rasulullah SAW kemudian batu itu terus diam.
Setelah batu penggiling itu senyap, Rasulullah SAW memandang wajah puterinya kemudian berkata, "Jika Allah mengkehendaki, sudah pasti batu penggiling itu akan berputar sendiri untuk membantumu tetapi Allah hanya mengkehendaki ditulisnya beberapa kebaikan dan dihapuskan kesalahan dan kemudian mengangkat darjatmu. Puteriku Fatimah, orang perempuan yang menggiling makanan untuk suami dan anak-anaknya, Allah akan menuliskan satu kebaikan dan satu darjat daripada setiap makanan yang digilingnya."
Fatimah terdiam seketika apabila ayahandanya memberitahu perkara itu kepadanya. Sehubungan itu sudah terjawab mengenai pertanyaannya tadi yang meminta ayahandanya memberitahu Ali supaya menyediakan seorang pembantu untuk menolong menguruskan rumahtangga.
"Puteriku Fatimah, mana-mana perempuan yang berpeluh akibat menggiling gandum untuk suaminya, Allah menyediakan antara dirinya dengan neraka sejauh tujuh parit. Mana-mana perempuan yang meminyaki dan menyikat rambut anak-anaknya serta mencuci pakaian untuk mereka, Allah akan mencatatkan baginya ganjaran orang yang memberi makan kepada seribu orang yang lapar dan memberi pakaian kepada seribu orang yang tidak berpakaian."
"Apa lagi pesanan ya ayahandaku untukku jadikan pedoman?"
"Apa yang penting Fatimah, ialah keredaan suamimu apabila kamu melalukan sesuatu, Tetapi jika suamimu tidak reda dan marah bermakna itu kemarahan Allah juga terhadapmu," jelas Rasulullah SAW.
Fatimah menggangguk mendengar pesanan ayahandanya itu.
"Seperkara lagi yang ayahanda ingin ingatkan kepadamu Fatimah, setiap isteri yang tersenyum di hadapan suaminya, Allah akan memandangnya dengan pandangan rahmat. Manakala isteri yang menyediakan tempat berbaring untuk suami dan mengemas rumah, Allah akan mengampuni dosa-dosamu yang lalu dan akan datang. Oleh itu, berbaktilah kepada suami dan mengharapkan keredaannya," jelas Rasulullah SAW mengakhiri pesanannya.
Dipetik dari buku tulisan oleh Muhd Nasruddin Dasuki, terbitan oleh Oasis Buku..Aku Sanggup Duhai Muhammad, 100 kisah musuh mengejar, diburu, ditindas, terbelit tipu muslihat, digoda wanita, dicemburui umat dan pengakuan isteri-isteri..
Semoga kita memperoleh manfaat dari kisah tersebut, lebih mengenali Rasulullah SAW dan keluarga baginda.
Teringat saya sewaktu mendengar Ikim.fm dalam perjalanan pulang dari pejabat. Saya tidak ingat pada waktu itu,slot apa yang sedang dimainkan.
Tetapi saya mengingati sedikit apa yang Ustaz di konti itu ada menceritakan mengenai Ali R.A. Katanya beliau adalah seorang yang garang dan tegas, tetapi beliau tidak pernah memarahi ataupun memenuhi hasrat isterinya Fatimah Az-Zahra untuk mempunyai pembantu untuk membantu menguruskan rumahtangga mereka. Ini kerana Ali R.A mahu Fatimah menjadi seorang yang penyabar dan beroleh keredaan darinya.
Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat kita jadikan sebagai pengajaran untuk melatih diri kita sendiri dalam melakukan perkara sehari-harian, in shaa Allah...
No comments:
Post a Comment