Sedari tahun lepas saya ikuti tazkirah ini bila berkesempatan, cukuplah untuk waktu terluang sebentar. Kadang kala saya memilih juga, tengok tajuk takzirah dan ustaz dulu..hehe
Jadi untuk bulan Februari lepas, tazkirah yang terakhir pada 28 Feb 2017 dari Ustaz Fauzi Mustafa. Tajuk tazkirah, Terminal Akhirat. Sangat menarik. Saya masuk agak lewat, jam 1.20 baru sempat dan tazkirah pun sudah bermula. Sempat mengambil nota, dan alhamdulillah di penghujung sesi Ustaz ada recap dan ini yang dapat saya kongsikan :
Semua manusia dan makhluk ciptaan Allah akan mati. Beberapa terminal akhirat yang akan kita hadapi setelah kita mati adalah :
Pertama : Alam kubur
Kedua : Padang Mashar
Ketiga : Hisab di alam barzakh
Pada waktu ini kita tidak akan dapat lari dari ditanya 4 soalan iaitu :
1) Umur - dari bermula waktu baligh sehinggalah tamatnya umur kita. Allah tidak akan tanya panjang atau pendeknya umur kita, tetapi apa yang telah kita lakukan sepanjang umur kita. Soalannya merangkumi keseluruhan aktiviti kita sewaktu kita hidup. Solatnya bagaimana? Berzakatkah kita? Bagaimana puasa kita, adakah berlapar dahaga semata? Haji? Berapa banyak manfaat yang telah kita lakukan dari umur yang telah Allah beri.. Atau adakah kita gunakan umur kita untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah?
2) Jasad kita - apa yang telah kita lakukan dengan jasad kita sewaktu kita hidup? Anggota badan kita, tangan, mata, hidung, kaki, telinga, jari segalanya. Ke arah mana kita gunakannya? Adakah ke arah kebaikan atau ke arah kemungkaran? Dan sesungguhnya orang yang menggunakan jasadnya ke arah kemungkaran adalah orang-orang yang rugi. Jasad kita akan mereput, tetapi amalan yang dilakukan dengan jasad itu akan berkekalan dan ditanya pada waktu ini..
3) Ilmu - saya tidak sempat catat hadith berkaitan ini. Tapi isinya adalah, ilmu yang kita ada sepanjang kita hidup, sebanyak mana yang kita amalkan? berapa banyak amalan yang dilakukan dari ilmu yang kita ada? Sebagai contoh, kita tahu menutup aurat itu wajib, tetapi kenapa kita tak ikut perintah Allah untuk menutup aurat? Solat 5 waktu, adakah kita amalkan? sedangkan kita tahu hukum hakam mengenai perkara ini tetapi adakah kita amalkannya?
4) Harta - Allah tidak akan tanya kaya atau miskin harta kita. Tetapi Allah akan tanya dari mana sumber harta kita? Halalkah harta kita? bersih kah? Setiap sen akan ditanya. Hatta sekiranya seorang menjual barang dengan harga 10 Dirham, dan 1 dirham adalah haram, Allah tetap akan soal.
Selain 4 soalan di atas, Allah juga akan menghisab amalan kita.
Perkara pertama yang akan dihisab adalah solat kita.
Yang pertama dihisab adalah solat. Surah Al-Baqarah ayat 43, "Dan dirikanlah solat, dan tunaikanlah zakat.." Solat adalah kepala kepada segala amalan. Orang Islam jikalau dia solat, pasti in shaa Allah dia tunaikan zakat, berpuasa dan melakukan rukun-rukun Iman yang lain. Tetapi orang yang berpuasa, belum tentu dia solat. Pernah dengar?
Keempat : Timbangan Al-Mizan (timbang) - siapa yg berat timbangannya maka amalan kebajikannya diredhai Allah. Tips mudah untuk memberatkan timbangan di hari akhirat kelak adalah semudah zikir. Perbanyakkanlah zikir, bertasbih, bertahmid in shaa Allah akan membantu kita di terminal ini. Sakinatalmizan : ringan di bibir,zikir.membantu memberatkan timbangan di Mizan.

"Dan ingatlah, Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk menimbang amalan makhluk pada hari kiamat, maka tidak ada sesiapa yang akan teraniaya sedikitpun, dan jika amalannya itu seberat biji sawi sekalipun nescaya Kami akan mendatangkan pahalanya dan cukuplah Kami sebagai penghitung" (Surah Al-Anbiya : 47)
Kelima : al-Haud (telaga/mata air/kolam yg dimiliki Nabi Muhammad saw.)
"Telagaku (panjang dan lebarnya) satu bulan perjalanan. Airnya lebih putih daripada susu. Air kolam rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih harum dari kasturi. Barangsiapa yang dapat minum air darinya tidak akan dahaga selama-lamanya"
Keenam : Sirat (Jambatan) - Jambatan yang sangat panjang. Jambatan ini terbentang di atas neraka jahannam. Semua manusia akan lalu di atas jambatan ini mengikut kadar amalan dan ilmu masing-masing. Orangg yang banyak amalannya akan lalu di atas jambatan ini seperti kilat. Ada juga seperti terbang, menaiki kenderaan seperti kuda, ada yang berlari, ada yang berjalan perlahan, ada yang mengengsot. Agak-agaknya yang mana satu yang kita mahu?
Titian sirat digambarkan oleh para ulama sebagai sangat dasyat. Titian ini lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari mata pedang. Semua manusia pada waktu ini akan berasa runsing dan cemas selagi mereka belum melintas titian sirat. Semua manusia tidak kira orang Islam mahupun kafir tidak akan lari dari melintasi titian ini. Akan tetapi dikatakan bahawa orang-orang kafir yang lalu akan terhumban di neraka jahannam.Malaikat akan menarik kaki orang-orang kafir, dan orang munafik ke dalam neraka.
Ketujuh : Al Manzil al Akhir (Terminal terakhir) - Al Jannah
Sesungguhnya orang yg beramal soleh, terminal terakhir untuknya adalah syurga. Di syurga, tiada siang dan malam. Tempatnya sentiasa bercahaya.Tiada sifat cemburu (ghillin ikhwana). Semua yang di dalamnya akan menikmati syurga. Kecantikan yang tidak terbayang oleh sesiapapun.
Semoga bermanfaat untuk semua. Yang baik datang dari Allah dan sebarang kelemahan dari penulisan dan catatan ini adalah dari saya sendiri.
No comments:
Post a Comment